MEMASAK DARI HATI


Suatu pagi, ketika saya menunggu barang-barang yang dibeli selesai dikira jumlahnya oleh pekedai runcit, datang seorang wanita yang menurut agakan saya sudah mencecah usia 60-an, ke kaunter bayaran dengan memegang palstik dan bakul yang agak penuh di tangan.

"Tujuh biji kelapa parut ni ye nak..." Dia menyua plastik kuning berisi kelapa parut ke depan pekedai yang sedang mengira barang terakhir saya. 

Pekedai hanya mengangguk sambil meneruskan kerjanya. Makcik tua tersenyum manis. Cantik dan tenang wajahnya pada pandangan. Kelihatan dari barang-barang yang dibeli, agak banyak juga; ada seplastik besar air kelapa, beberapa bungkus rempah ratus dan barang-barang lain yang saya tidak pasti kerana telah siap berbungkus.

'Mungkin ada kenduri agaknya..tak pun berjualan..' Saya menebak. 

Saya menoleh ke arahnya, dan kebetulan juga dia sedang memandang. Lantas, kami berbalas senyuman. 

"Banyak beli kelapa, mak cik. Makcik berniaga?" Saya meramahkan diri.

"Taklah nak, untuk makan sendiri je ni...anak cucu kat rumah ramai. Mereka suka makan masakan mak cik." Senyuman manisnya bertambah manis pada pandangan saya.

"Mak cik nak masak apa ni? "Saya memanjangkan perbualan sementara menunggu pekedai siap memasukkan barang-barang ke dalam plastik barangan. 

" Nasi dagang...ini semua rempah-rempah yang mak cik guna," Makcik tua menyua beberapa bungkusan kecil rempah-rempah yang dibelinya. Saya meninjau. Ada halba, ketumbar, jintan manis, jintan putih dan kulit kayu manis. 

AIRTANGAN

Perbualan singkat ini memberi kesan tersendiri di hati. Ia mengingatkan saya kepada seseorang yang tak mungkin pudar dari ingatan, dengan izin-NYA, walau waktu terus beredar. Seseorang yang sebahagian usianya mengandung, melahir dan mengasuh saya sehingga dewasa.

Dan di antara jasa dan baktinya yang tidak mungkin saya mampu membalasnya ialah kasih sayang yang dicurahkannya pada ‘airtangan’nya. Dia yang saya dan adik beradik lain memanggilnya ‘Mak’ adalah seorang  ibu yang memiliki wajah penuh kelembutan beserta senyuman yang sukar lekang dari bibir merahnya;  tidak pernah gagal menyediakan juadah buat suaminya dan anak-anak di rumah.

Sepanjang tempoh membesar, memasak…bagai tidak pernah kami mendengar keluhannya meluahkan penat atau lelah.  Bermula dengan desiran gorengan cucur, bau kukusan kuih atau aroma roti canai yang telah diperap minyak pada malam hari, bersambung pula dengan menyediakan juadah tengahari, minum petang dan menu malam jika lauk dan sayur pada siangnya telah kehabisan. Maklum, dengan anak seramai sembilan orang, makanan biasa-biasa lagi sederhana pun sangat menyelerakan jika dijamah beramai-ramai!

Esok hari, sebaik mentari muncul menyinari bumi, membawa ke tengahari dan senja kembali memunculkan diri,  rutin memasak berulang kembali.  Akan tetapi,  apabila ada tetamu bertandang dan bulan Syawal semakin menjelang, kekerapan memasak semakin bertambah tetapi riak gembira tetap terpancar indah pada wajah mak.

“Tetamu, membawa rezeki…”

“ Kuih muih buatan sendiri lebih seronok untuk dinikmati di hari raya nanti,” Demikian didikan mak.

Sehinggakan, saya mencongak-congak. andai didarab bilangan hari sepanjang saya membesar di samping mak dengan kekerapannya memasak, pasti tidak terkira keringat yang mengalir kerananya. Inilah erti keberkatan yang melimpah dari jiwa wanita yang padanya tergalas amanah mengurus sebuah rumah. Ia bukan semata mencorak bahagia pada mahligai yang dibina, akan tetapi lebih dari itu ia mengandung makna syukur dan sabar pada Tuhan Yang Maha Esa.

PERUBAHAN ATAU ALASAN?

“ Ummi dah lama tak buat kuih..” Suatu ketika si anak dara nombor dua meluah kata.
Saya terdiam dan menoleh ke arah kak ngah.  Entah mengapa, menyelinap satu perasaan malu dan bagai tersedar dari sesuatu usai mendengar bicaranya itu.

“Dulu, masa kita di UK ( United Kingdom ), ummi selalu masak kek dan kuih…” Kak ngah menambah. Dia tersenyum hambar namun diiringi renungan penuh makna. Kata-katanya itu mengimbau perjalanan setahun sepuluh bulan kami di Wales dan Leicester.

Saya akui, keseronokan mencuba pelbagai menu dan resepi sangat menguja saya untuk memasak dan memasak. Apatah lagi, kawan-kawan senegara yang juga anak rantau seperti kami, selalu mengadakan perjumpaan dan pertemuan, maka agenda makan menjadi satu kemestian. Dari sini, kami saling merasa juadah airtangan masing-masing, bertukar-tukar resepi dan mengeratkan perkenalan antara satu sama lain.

“Kak ngah nak ummi masak kuih ye?” Saya membalas. Dia mengangguk. Kami berbalas senyuman. Walau dari dalam hati, jawapan yang ingin saya lontarkan sedikit berbeza dari apa yang telah dilafaz. Bagai ingin sahaja saya menuturkan ‘sebab’ mengapa saya tidak lagi memasak sekerap di luar negara dahulu.

Perubahan rutin harian setelah pulang dari luar negara setelah suami berjaya menyandang gelar Doktor Falsafahnya, dan kemudiannya saya sekeluarga dianugerahi pula seorang ahli baru menambah kecerian anak-anak sedia ada, menjadikan saya kurang memiliki keinginan dan ghairah memasak sebagaimana ketika di perantauan dulu. 

Selain juadah tengahari yang selalu saya masak sendiri, sarapan serta minum petang sangat jarang saya sediakan. Ditambah pula, apa sahaja yang terlintas untuk dirasa dan menggamit selera, mudah kedapatan di sini sana, tanpa perlu bersusah payah memikirkan barang, membeli dan kemudian ‘berperang’ di dapur dengan masa yang entah berapa lama pula.

Namun, setelah mendengar luahan pendek dari bibir kak ngah, saya tersentak.

Mungkinkah sebab-sebab yang menerawang dan menguasai fikiran itu sekadar ‘alasan’?
Hakikatnya, apa yang saya rasakan mudah dan memberi sedikit waktu lapang serta keselesaan diri itu, tidak disambut dengan rasa yang sama oleh anak-anak. Walau sesekali, saya dan suami membawa anak-anak menikmati makanan di restoran-restoran yang agak terkenal di kalangan masyarakat setempat, airtangan seorang ummi ini masih mereka nanti-nanti.

PUDING JAGUNG ALA TIRAMISU


Petang itu, saya membuka blog resepi yang telah lama tidak saya kemaskini. Keinginan memasak kembali membara setelah perbualan ringkas bersama makcik tua di kedai dan peringatan penuh kasih dari anakanda yang dikasihi.

Mata tertancap pada satu resepi pemanis mulut yang tidak begitu sukar disedia.
Resepi puding jagung ala tiramisu, ia pernah saya masak dan hidangkan untuk keluarga serta rakan perantau ketika di United Kingdom dahulu.

Pantas saya mengumpulkan bahan-bahan dari dalam almari kabinet dapur. Syukur, semuanya ada dan mencukupi. Langkah demi langkah saya lakukan sebagaimana yang pernah saya catatkan sendiri ke dalam blog.

Sambil mengadun bahan, terbayang keriangan wajah anak-anak menikmati puding yang lebih lazat dimakan dingin setelah dimasukkan ke dalam petisejuk, serta rasanya yang seakan-akan aiskrim.

Bahan-bahan :
*1 tin jagung manis
*1 tin ( 400 ml ) santan
*2 biji telur
*3 sudu besar tepung kastad ( dibancuh dengan sedikit air)
*Gula secukupnya
*1 cawan air.
2 sudu besar mentega/butter
1 bekas krim putar.
Serbuk koko
Chocolate Rice
Cara-cara :

1) Kisar jagung separa hancur, pukul telur dan campurkan air pada tepung kastad.

2) Campurkan semua bahan bertanda * dan masak di atas api yang sederhana hingga pekat. Pastikan adunan dikacau sentiasa supaya tidak berketul dan menghasilkan puding yang licin.

3) Setelah pekat, tutup api dan masukkan mentega, kacau sehingga sebati.

4) Masukkan dalam bekas dan sejukkan terlebih dahulu.

5) Setelah sejuk, ratakan krim putar yang telah dipukul sekejap dan dihias dengan serbuk koko dan chocolate rice.

MEMASAK DARI HATI

Apapun, saya pasti, setiap insan bergelar anak yang telah ditatang bagai minyak yang penuh, amat memahami bagaimana ‘enak’nya masakan daripada seseorang yang dipanggil ibu, mama, mummy, ummi atau emak.

Ini kerana, air tangan ibu memiliki makna tersendiri. Di dalamnya melimpah rasa cinta, melaut sayang untuk keluarga yang dikasihi. Mungkin itulah 'ramuan' tambahan penambah kelazatan apa jua masakan bonda.

Memasak dari hati!

Walau penat, memasak untuk keluarga tetap jadi keutamaan. Lebih menakjubkan, segala lelah bagai hilang melihat anak-anak berebut menjamah hasil masakan...penat terubat dengan sendawa mereka, kekenyangan.

Sesungguhnya, kelazatan pada lidah, membawa kerinduan pada jiwa, dua rasa membekas cinta nan indah, berkasih keranaNYA.

Saya membenarkan satu nasihat yang pernah diucapkan oleh seseorang yang saya hormati, bahawa apa-apa amal sekalipun memerlukan kesungguhan dalam menunaikannya, tidak terkecuali dalam menjalin ikatan kekeluargaan lebih-lebih lagi untuk kemesraan serta hubungan cinta antara pasangan, ibubapa dan anak-anak kesayangan.

Ia bukan sekadar senyum manis saat menyapa, atau susunan kata-kata simpati kala sakit dan musibah menimpa. 

Ia adalah inisiatif, bukan menunggu; memberi, bukan menuntut; tangan di atas bukan tangan di bawah...walau yang disua hanya puding kegemaran seisi keluarga.


Alhamdulillah.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.

Comments

Tq sharing Ina,
akak minta izin copy resepi ye.. nampak sedap tu..
nhhas said…
Betul kak ina...
walaupun makan nasi arab kat saba tu sedap, tapi masakan mama adalah yang terbaik dan terhebat. tiada tolok bandingnya

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA