7 December 2011

TUHAN, IZINKAN KAMI TERUS BERSAMA

Saya hampir kehilangannya. Ye, pernah…hampir-hampir kehilangan seorang insan yang amat saya kasihi. Seorang sahabat sejati setelah akad menyatukan kami, dia juga seorang suami yang sangat saya cintai.

Ketika itu, kami dan dua permata hati, kak long dan kak ngah masih berada di bumi asing, di Irbid, Jordan. Jauh dari sanak saudara, dengan kewangan yang juga amat sederhana.

Terbayang saat melihat suami terbongkok-bongkok menahan sakit, setelah bersusah payah melintas jalanraya, menggagahkan diri mendaki anak tangga dan mengetuk pintu rumah, hanya untuk memberitahu saya, yang dirinya akan dibawa ke hospital berdekatan.

“Nanti as jumpa abang di sana ye…” lemah nada suaranya sambil melangkah menuju ke ambulan yang menunggu di tepi jalan.

Saya bagai terpempan. Hanya mengangguk dan terdiam tanpa kata. Wajah anak-anak yang sedang leka bermain, saya pandang dengan mata mulai berkaca.

Saya menangis.

Takut. Bimbang….kehilangannya.

INGIN DI SISINYA

“As baliklah…abang boleh sorang-sorang, tak pe…” tegur suami melihat anak mata saya yang keletihan. Sejak tengahari, sebaik suami dimasukkan ke wad, saya meminta bantuan sahabat-sahabat Irbid yang rata-ratanya masih belajar untuk menjaga anakanda berdua. Sementara saya menemani suami di hospital sehingga mendapat kata putus dari doktor yang merawat.

Di bucu katil hospital saya merenung tubuhnya yang agak pucat, kadang sedikit ketar menahan kesakitan.

“As nak di sini…abang tentu perlukan apa-apa nanti. Biar As bantu ye…” jawab saya sambil melempar senyuman.

Jauh di sudut hati, saya menangis lagi. Andai saja saya dapat menggantikan tempatnya.

Walaupun saya tahu, ada jururawat lelaki yang dapat meladeni keperluan suami, namun hakikatnya, saya mesti berada di sampingnya. Biar suami tidak memerlukan saya, namun saya sendiri amat memerlukan dia berada di depan mata untuk semangat dan kekuatan diri.

Saya ingin berada di sisinya hanya untuk memastikan, bahawa saya dan dia, masih bersama. Masih dapat melihat dia membuka mata, walau tiada senyum, namun itu sudah cukup melega dan menenangkan.

PERUMPAMAAN

Saya yakin, tiada siapa sanggup menjamah minyak masak,beberapa biji telur mentah, tepung dan serbuk penaik.

“Semuanya meloyakan…yuck!!” Mungkin itu ungkapan yang keluar jika ada individu yang diminta memakan bahan-bahan berkenaan.

Akan tetapi, setelah semua bahan-bahan tersebut diadun bersama, dibakar sehingga menjadi sebiji kek, saya pasti semua orang tidak menolak untuk merasainya.

Demikian dalam hidup ini, banyak perkara buruk yang berlaku di dalamnya,kelihatan menyusahkan andai dipandang setiap satunya secara bersendiri. Namun, jika dilihat keburukan-keburukan yang berlaku itu secara bersama, pasti ada kebaikan di sebaliknya yang tidak dapat kita jangka.

Kahilangan orang tersayang, kerinduan yang mencengkam,kenangan yang tidak mungkin dapat diulang….setiap satunya sungguh memedihkan!

Namun,bila direnung penuh insaf dan sedar, semua itu hakikatnya akan melorongkan manusia kepada jalan-jalan keindahan menuju destinasi cinta Ar Rahman. Tiada yang kekal melainkan DIA. Tiada cinta yang lebih agung melainkan cinta-NYA.

Kerana itu, setiap kali kenangan yang banyak mengalirkan airmata itu datang bertamu, saya pasti terkenang kepada seorang wanita……

PERLINDUNGAN

Dia seorang isteri yang telah bertahun 'kehilangan' suami yang dikasihi, pergi tak kembali. Namun saat dia menceritakan ketabahan si suami berhadapan sakit sampai ke detik akhir perjuangannya melawan kanser, bebola matanya bercahaya.

"Beliau meninggalkan kami dengan 'perlindungan' yang kuat." Ujarnya dengan senyuman dan sinar mata yang galak mengimbas kenangan bersama suami tercinta.

Tidak terlihat riak sedih, apatah lagi kecewa, tetapi 'aura' semangat yang berkobar dan membara dari dalam dirinya bagai dapat saya rasa.

Saya cuba memahami apa yang dimaksudkannya dengan 'perlindungan'. Ye, suaminya tidak meninggalkan harta melimpah, jauh sekali dari rumah dan kereta mewah. Semuanya serba sederhana, berbekal wang pencen suami dan usahanya mengajar tuisyen sekali sekala, wang yang ada sekadar cukup untuk dia dan empat anaknya meneruskan kehidupan di dunia sementara.

Lalu, apa yang dapat saya fahami, perlindungan yang dimaksudkan adalah kasih sayang, didikan iman dan teladan kesabaran dari suaminya itu di sepanjang hembusan nafas yang diizinkan TUHAN untuk 'bekalan' si isteri serta zuriat yang dikasihi mendepani cabaran hidup yang tidak bertepi.

Hingga akhirnya, walau jasad si suami telah tiada, namun, budi dan akhlaknya yang mulia tetap 'hidup' mendampingi anak dan isteri tercinta.

Itulah perlindungan yang dimaksudkan!

PERINGATAN BERSAMA

Kini, di ulangtahun perkahwinan kami yang ke-13, sekali lagi kenangan itu menggamit ingatan. Kenangan lapan tahun lalu yang tidak akan pernah saya lupa.

Kenangan itu menjadikan setiap detik bersama suami yang dikasihi, Zaharuddin bin Abdul Rahman, hingga ke saat ini begitu saya hargai. Walau berencam rasa yang ada di dalamny; manis, pahit, ketawa dan tangis hiba, semua itu membulat sempurna sebagai detik indah dalam kehidupan saya dan suami tercinta.

Mengimbau setiap detik yang dilalui ketika itu, sentiasa mengingatkan saya, bahawa segala yang ada di dunia ini bukan milik sesiapa. Ia hanya pinjaman sementara dari Yang Maha Esa, hatta insan yang sangat dicintai pun, tetap akan kembali kepada ‘pemilik’ yang kekal abadi.

Di sisi ILAHI.

Tinggal lagi, ketika masih dipinjamkan hayat yang ada oleh Yang Maha memiliki, lakukanlah yang terbaik, sepenuh upaya yang termampu. Hargai setiap waktu bersama. Isikan ia dengan sesuatu yang menghampirkan jiwa kepada Pencipta.

Belajar dan berusaha meningkatkan kesedaran dan kualiti pertemuan agar jauh lebih baik dari sekadar pertemuan-pertemuan biasa, biar sekerap manapun.

Hanya dengan itu, ketika salah seorang daripada suami isteri lebih dulu dijemput ILAHI, tiada lagi sesal yang bertandang.Tiada lagi penyesalan yang melukakan, kerana memori bahagia bersamanya tetap hidup segar menghiasi hari-hari mendatang, InsyaALLAH.

Bagai terbayang kenangan cinta Junjungan agung, Muhammad SAW terhadap suri jiwa baginda, Sayyidatina Khadijah r.a.

“Dia ( Khadijah ) beriman ketika manusia lain kafir kepadaku, dia membenarkanku ketika manusia lain mendustakanku, dan dia membantuku dengan hartanya ketika manusia lain menghalangiku.”

“ALLAH tidak memberiku pengganti yang lebih baik daripada dia.”

“Sesungguhnya aku telah diberi kurnia dengan cintanya Khadijah kepadaku.” ( hadis riwayat Muslim)

TUHAN, IZINKAN KAMI TERUS BERSAMA

Detik ini, saya bersyukur kerana ALLAH SWT masih mengizinkan kami bersama.

Ditambah lagi, tatkala membaca lembaran sajak yang dikarang suami khusus sebagai hadiah istimewa di hari yang berbahagia, titisan jernih mengungkap segalanya :

Buat Noraslina Jusin,

Isteriku,

kehadiran dan keberadaanmu di sisi,

dengan senyuman dan ringan tulangmu,

amat menyeri perasaan dan jiwa ini.

Maka dengannya,

dapat kujalankan tugas dan amanah yang pelbagai,

harapan masyarakat dan amanah sebagai hamba-NYA,

dengan jaya dan wibawa.


Sayangku,

tanganmu yang amat berjasa,

penyedia juadah halal lagi baik,

juga yang kerap merawat dan menyegarkan tubuhku,

yang letih dan lesu selalu,

bukan sekadar fizikalnya malah mental

serta spritualnya,

rumah terurus kemas,

melegakan lagi memberikan inspirasi.


Cintaku,

Tusukan cintamu telah sekian lama menembusi jiwa ini,

lalu berkekalan sudah 13 tahun kita bersama,

walau sesekali dilanda ombak dan badai,

ia tidak sama sekali menjadikanku,

ragu-ragu untuk terus berenang dalam cintamu,

InsyaALLAH dengan kudrat kurniaan-NYA,

mahligai ini bakal diteruskan,

ke akhir hayat dan ke syurga,

ALLAHUMMA AMEEN,

Moga sakinah dan mawaddah milik kita selamanya,

Moga ia terus dilimpahi berkat dan rahmat,

Diberati hidup kita, dengan amal dan solat,

Ilmu serta iman,

Melebihi emosi, cemburunya dunia dan sedih sendu……

Suamimu.


Terima kasih Ya ALLAH kerana mengizinkan kami untuk terus bersama….Alhamdulillah wa syukru lillah….

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


9 comments:

ieda said...

moga semuanya kembali sihat & ceria...kadang2 kesakitan itu membuatkan kita beringat & lebih menghargai.

RoseLangkawi said...

salam ya ukhtie..
sungguh cinta dua hati itu, moga cambahan kasih Allah sentiasa memungkinkan kasih kita mekar, dengan izinNya jua. amin

Sofya said...

Semoga akak tabah menghadapi ujian ini.. Insyaallah semoga keadaan kembali seperti sediakala..

Asiah Yusro said...

Ya ALLAH satukanlah cinta yang indah ini di syurga... sangat menginspirasi kan.... doakan saya kak. Terima kasih banyak ajar saya ya... rasa nak menangis

sayang kakak <3

Zaujah Encik Mamat said...

Assalamualaikum =)... syikin mengikuti tulisan akak sentiasa walau kadang kala tidak smpt meninggalkan komentar...

masyaAllah .. indah sungguh kalau difikir2 balik pengaturan Allah kepada hidup kita.. semua di adun sebati ..

Alhamdulillah .. syukran atas perkongsiannya kak =)

Terbang Bersamaku said...

semoga segalanya baik2 sahaja..sy doakn akn doakn yg terbaik utk kelaurga akak ..semoga akak tabah hadapi ujian ini..

linda a.k.a ibusumaiyah said...

:)...moga sentiasa di bawah lindungan Allah..DI dunia dan akhirat..

Cimas Tc said...

Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar.. (T T) Semoga sentiasa dalam rahmat dan cinta-Nya..

Management Consultant said...

Allah SWT berfirman: “Dan kehidupan dunia ini hanyalah main-main dan senda gurau belaka. Dan, sungguh, kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka, tidaklah kamu memahaminya?” (QS Al-An’am [6] ayat 32).