22 November 2011

DI SEBALIK FOTO INDAHMU

Astaghfirullah!”

Meluncur kalimah tersebut dari bibir saya diiringi gelengan kepala tatkala menatap sekeping foto dari deretan News feed pada dinding ‘muka buku’ ( facebook ) pagi ini.

Tidak lama dulu, saya ada membaca beberapa tulisan di blog yang mendakwa gambar-gambar muslimah bertudung telah di’scan’ dan diedit sehingga ‘menjadi’ seperti sekeping gambar bogel. Diikuti kemudiannya, paparan beserta bukti bergambar yang menampilkan foto muslimah dieksploitasi sehingga seakan-akan menampakkan susuk badan.

Walaupun, asal foto-foto tersebut adalah bertudung dan menutup aurat sempurna, namun ia telah diedit melalui teknik super impose dan sinar x-ray untuk menampakkan bahagian dalaman.

Kini, cerita yang sama muncul semula. Dari paparan nota pada gambar dan komen-komen di bawahnya, dapat saya simpulkan bahawa cerita tentang gambar-gambar muslimah menutup aurat di'bogel’ka, kembali heboh diperkata.

Jujurnya, saya sendiri amat sedih melihat gambar-gambar tersebut dan bersimpati kepada pemiliknya.

PRIVASI

“Kak long, kak ngah…ummi nak kak long kak ngah privasikan gambar-gambar di fb. “ saya mengeluarkan arahan; mengetahui ada beberapa foto pada akaun fb mereka yang dimasukkan termasuk juga yang di’tagged’ oleh kawan-kawan sekolah.

“Kenapa ummi?” Kak long bertanya dengan wajah penuh tanda tanya.

“Ingat tak dulu, ummi ada tunjukkan kak long satu emel tentang gambar yang diedit hingga nampak bahagian dalam badan?” Saya menjawab soalannya dengan satu pertanyaan juga.

“Oh!Ya! Baru kak long ingat. Gambar muslimah bertudung kan ummi?” Kak long menyoalbalas. Saya mengiyakan dengan anggukan kepala.

“Sebab tu, ummi kurang mengizinkan kak long dan kak ngah masukkan gambar dalam fb. Kalau nak juga, cukup satu, dua sahaja. Tak perlu banyak. Berjaga-jaga itu sikap orang beriman. Ramai orang sekarang ni makin pandai. Sayangnya kepandaiannya disalahguna. Semuanya kerana untuk memuaskan nafsu.” Luah saya dengan suara yang sedikit ditekankan.

Serius!

Kak long dan kak ngah yang mendengar juga berkerut dahi.

SEDIKIT PANDANGAN

Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar. Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Ditambah pula dengan wujudnya pertandingan demi pertandingan seperti pertandingan memakai tudung dan seumpamanya yang semuanya bertemakan keanggunan wanita. Tidak cukup televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial juga menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.

Saya suka untuk menjelaskan sebagai renungan kita bersama bahawa dalam menjelaskan tatacara berpakaian antara wanita muda dan wanita yang tiada lagi berkeinginan untuk berkahwin kerana usia yang sudah tua dan telah putus haid, al Quran menjelaskan terdapat kelonggaran kepada wanita kategori kedua ini sebagaimana yang disebutkan dalam tafsir al-Tabari ketika mentafsirkan ayat :

وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاء اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian ( luar )mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” ( Surah an Nur ayat 60 )

Ibn Jarir menjelaskan : “Wanita tua yang sudah tiada nafsu keinginan kepada hubungan jantina, ketika mana orang lelaki tidak lagi berminat kepada, maka diringankan kaedah menutup aurat keperingkat yang lebih mudah, tujuannya bagi meringankan bebanan yang mungkin memenatkan mereka.

Jika menutup aurat sahaja terdapat perbezaan suasana penekanan dan keringanannya, maka sudah pasti terdapat juga perbezaan seumpama itu terhadap penonjolan antara kumpulan wanita kategori pertama dan kedua dalam masalah gambar dan foto untuk tatapan umum terutama menerusi blog dan laman-laman sosial seperti Friendster, Facebook, Twitter dan lain-lain.

Jelas dari ayat dan pentafsiran yang diberi, sungguhpun memperkatakan tentang kelonggaran ( rukhsah ) kepada golongan berkenaan, akan tetapi ia tidak lari dari memperkatakan tentang penutupan aurat dan menundukkan pandangan. Ini kerana, dalam menjayakan sesuatu manfaat, hikmah dan kebaikan dari arahan ILAHI ini, ia memerlukan kepada dua tindakbalas dalam masa yang sama.

Dalam hal ini, Islam bukan sekadar menyuruh manusia ( khususnya kaum wanita ) menutup aurat sahaja, tetapi ia juga menyuruh supaya pandangan itu dijaga, terutamanya kepada kaum jejaka.

Untuk itu, bagaimanakah hikmah dari dua arahan itu akan terlaksana sebaiknya, jika kaum muslimah sendiri dengan mudah menyebar foto-foto indahnya walaupun dalam keadaan menutup aurat sempurna?

Hakikatnya, ia menjadi beban dan masalah ke atas lelaki untuk menjaga pandangan mereka terutama kepada yang berpenyakit hatinya sehingga ketidakupayaan mereka untuk menundukkan pandangan ini, bukan sekadar menatijahkan tindakan mengedit gambar yang sopan menjadi lucah, bahkan ia sebenarnya dimulai dari ‘pandang tembus mata’ yang telah lebih dulu ‘membogel’kan foto berkenaan.

MASLAHAH MUHAQQAQAH

Terdapat sebahagian muslimah berhujah bahawa gambar-gambar yang menutup aurat itu, walaupun mungkin mendatangkan fitnah kepada seorang lelaki yang melihat, tetapi ia berkemungkinan membuka jalan hidayah kepada ramai muslimah lain yang menatap. Pada saya, itu hanyalah agak-agakan ( assumption ) semata yang boleh sahaja menjadi sebaliknya, iaitu hanya seorang wanita sahaja beroleh hidayah berbanding lebih ramai lelaki yang terfitnah!

Dalam kata lain, ia tidak lain adalah kebaikan/faedah yang diandaikan sahaja, sedangkan terdapat maslahah muhaqqaqah ( kebaikan/faedah yang lebih diyakini ) yang bersumber dari gesaan ALLAH SWT sendiri agar muslimah lebih melazimi diri mereka di rumah serta tidak keluar tanpa apa-apa tujuan dan keperluan sebagaimana firman-NYA :

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah ALLAH dan Rasul-NYA. Sesungguhnya ALLAH bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” ( Surah al Ahzab ayat 33 )

Oleh itu, demikian juga dalam masalah papaaran gambar-gambar muslimah ini. Sewajarnya usaha menghadkan penonjolan gambar-gambar tersebut dipandang sebagai satu ihtiyat ( langkah berhati-hati ) dan sadd al-dzari’ah (menutup jalan yang menuju pada kerosakan) dari diri muslimah itu sendiri agar dia terlindung dari sebarang keburukan yang mungkin sahaja timbul kesan dari banyak dan mudahnya gambar-gambar itu diperolehi.

Bayangkan, dengan hanya menekan butang download, atau sekadar klik pada paparan ‘save image as’, gambar seseorang muslimah itu sudah boleh di’hakmilik’ oleh sesiapa sahaja.

PENYAKIT AIN

Sebagai tambahan, saya juga suka untuk mengingaatkan diri dan para muslimah di luar sana tentang keburukan yang berpotensi timbul kesan dari penonjolan gambar-gambar tanpa batas ini.

Dalam hal ini, satu kaedah fiqh menyebut : درء المفاسد أولى من جلب المصالح”, iaitu menghilangkan kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mengambil sebuah kemashlahatan (kebaikan). Antara keburukan tersebut adalah penyakit 'ain yang berpunca dari tatapan mata.

'Ain itu diambil dari kata 'Ana'Ya'inu, iaitu apabila ia menatap dengan matanya. Bertitiktolak dari kekaguman orang yang melihat sesuatu, kemudian diikuti oleh jiwanya yang keji, kemudian dia menggunakan tatapan matanya itu untuk menyampaikan racun jiwanya kepada orang yang dipandangnya. Lantaran itu, ALLAH SWT memerintahkan Rasul-NYA, Nabi Muhammad SAW, untuk meminta perlindungan dari orang yang dengki ( hasid ) sebagaimana firman-NYA :


وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَد

Maksudnya : "Dan dari keburukan orang yang dengki ketika dengki." ( Surah al-Falaq ayat 5 )

Setiap 'ain (orang yang menimpakan 'ain) adalah hasid ( pendengki ) tetapi tidak semua hasid adalah 'ain. Karena hasid itu lebih umum dibandingkan 'ain, maka meminta perlindungan dari hasid berarti meminta perlindungan dari 'ain, iaitu ‘panah’ yang keluar dari jiwa pendengki yang tertuju pada orang yang didengki ( mahsud atau ma'in), yang adakalanya menimpanya dan adakalanya tidak mengenainya.

Ini kerana, ada ketikanya, keburukan ain terjadi tanpa kesengajaan dari orang yang memandang secara takjub ( kagum dan terpesona ) terhadap sesuatu yang dilihatnya. Lebih dari itu, pengaruh buruk ini juga boleh terjadi dari orang yang hatinya bersih atau orang-orang yang soleh sekalipun mereka tidak bermaksud menimpakan ain kepada apa yang dilihatnya.

Hal ini pernah terjadi di antara para sahabat Rasulullah SAW, sedangkan hati mereka telah dimaklumi oleh ramai orang, amat bersih dan tidak ada rasa iri atau dengki terhadap sesama mereka. Akan tetapi dengan kehendak ALLAH dan takdirnya, pengaruh buruk ain ini mampu juga terjadi.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ أَنَّهُ قَالَ رَأَى عَامِرُ بْنُ رَبِيعَةَ سَهْلَ بْنَ حُنَيْفٍ يَغْتَسِلُ فَقَالَ مَا رَأَيْتُ كَالْيَوْمِ وَلَا جِلْدَ مُخْبَأَةٍ فَلُبِطَ سَهْلٌ فَأُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامِرًا فَتَغَيَّظَ عَلَيْهِ وَقَالَ عَلَامَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ أَلَّا بَرَّكْتَ اغْتَسِلْ لَهُ فَغَسَلَ عَامِرٌ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَمِرْفَقَيْهِ وَرُكْبَتَيْهِ وَأَطْرَافَ رِجْلَيْهِ وَدَاخِلَةَ إِزَارِهِ فِي قَدَحٍ ثُمَّ صُبَّ عَلَيْهِ فَرَاحَ مَعَ النَّاسِ

Maksudnya : Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia berkata bahwa Amir bin Robi’ah melihat Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu berkatalah Amir : ‘Aku tidak pernah melihat (pemandangan) seperti hari ini, dan tidak pernah kulihat kulit yang tersimpan sebagus ini.” Maka terpelantinglah Sahl. Kemudian Rasulullah SAW mendatangi Amir. Dengan marah beliau berkata :”Atas alasan apa kalian mahu membunuh saudaranya? Mengapa kamu tidak memohonkan keberkatan (kepada yang kamu lihat)? Mandilah untuknya!”

Maka Amir mandi dengan menggunakan suatu wadah air, dia mencuci wajahnya,dua tangan,kedua siku,kedua lutut,hujung-hujung kakinya,dan sebahagian dalam sarungnya. Kemudian air bekas mandinya itu dituangkan kepada Sahl, lantas dia sedar dan berlalu bersama manusia. ( Hadis riwayat Malik dalam Al-Muwatta’ 2/938, Ibnu Majah 3509, disahihkan oleh Ibnu Hibban 1424. Sanadnya sahih,para perawinya terpercaya,lihad Zadul Ma’ad tahqiq Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qodir al-Arnauth 4/150 cetakan tahun 1424 H)

Selain itu, banyak hadis-hadis sahih lain dari Nabi SAW tentang penyakit ‘ain ini. Di antaranya apa yang disebutkan di dalam Sahihain dari ‘Aisyah r.a. beliau mengatakan :

“Bahwasanya Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya supaya meminta dirawat (ruqyah) dari ‘ain.” ( Hadis riwayat Bukhari, no. 5738, kitab at-Thibb; dan Muslim, no. 2195, kitab as-Salam).

'ROLE MODEL'

Kerana itu, saya berpandangan, sungguhpun menampilkan foto-foto tersebut tidaklah haram, bahkan ia masih berlegar dalam keharusan yang diberikan agama selagi mana syarat-syarat penutupan aurat telah diikuti sebaiknya, namun saya tidak melihat suatu keperluan yang amat mendesak untuk mana-mana muslimah meletakkan puluhan gambar-gambarnya yang indah bagi tatapan khalayak ramai termasuk juga kepada golongan pendakwah wanita atas nama keperluan dakwah!

Jika beralasankan sebagai role-model dan contoh ikutan, maka pada saya, sekeping dua atau beberapa keping foto yang sopan ( contohnya: bersama keluarga, gambar beramai-ramai bersama sahabat–sahabat muslimah lain atau gambar yang melebihkan objek lain berbanding fokus pada dirinya sendiri ), sudah mencukupi untuk memenuhi tujuan tersebut dan bukan dengan membiarkan sahaja gambar-gambarnya berlegar tanpa had dan batasan.

Tambahan pula, untuk mencari seorang role model berdasarkan kacamata syari’at yang mulia ini, tidaklah begitu sulit dan menyukarkan, termasuk juga role model kepada gaya dan penampilam berpakaian di kalangan muslimah. Ia SEBENARNYA TIDAK MEMERLUKAN kepada gambar-gambar selebriti ikutan atau ustazah pilihan yang selalu muncul di kaca televisyen dan menjadi tumpuan. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan hanya melihat dengan hati dan jiwa yang ikhlas lagi bersih di sekitar kita, siapakah individu yang lebih baik penampilan dan pemakaiannya, maka mereka itu layak diangkat sebagai contoh ikutan walaupun mungkin muslimah itu hanya seorang mak cik tukang sapu di jalanan.

Ini bersesuaian dengan saranan Rasulullah SAW agar melihat kepada orang yang lebih rendah dalam urusan dunia, manakala untuk urusan agama dan akhirat, maka lihatlah kepada individu lain yang lebih tinggi amalan mereka.

Rasulullah SAW bersabda :


اُنْظُرُوْا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْـفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوْا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ، فَهُوَ أَجْدَرُ أَلاَّ تَزْدَرُوْا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Maksudnya : “Lihatlah orang yang lebih rendah (kenikmatannya) darimu dan janganlah melihat kepada yang lebih banyak (kenikmatannya) darimu agar kamu tidak mencela nikmat yang Allah anugerahkan kepadamu.”( Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi )

DI SEBALIK FOTO INDAHMU

Akhirnya buat sahabat-sahabat muslimah yang saya kasihi kerana ALLAH, kalian pada saya semuanya MEMILIKI kecantikan tersendiri. Pendek kata, semuanya cantik-cantik belaka.

“Ha...yang TAK RASA dirinya cantik, itu TANDA tak bersyukur...bahaya tu.”

Ini kerana, ‘fatwa' ayahanda saya yang tercinta:

" Ada mata, hidung, mulut, cukup dua telinga tu cantiklah tu...."

Justeru itu, mari kita melihat masalah ini ( menahan diri dari meletakkan terlalu banyak gambar ) sebagai satu usaha akhlak yang utama, lebih-lebih lagi jika gambar itu dalam pose berisi jelingan manja atau senyuman 'terlebih gula' yang mampu meluruhkan sukma jejaka.

Privasikan ia..atau langkah lebih baik, simpan sahaja untuk tatapan peribadi serta keluarga yang menyayangi.

Di sebalik foto indahmu, ada tanggungjawab ke atas dirimu.

Justeru, hanya reda ALLAH menjadi dambaan jiwa yang tunduk dan ikhlas mengharap rahmat-NYA.


مَا الدُّنْيَا فِي اْلآخِرَةِ إِلاَّ مِثْلَ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ أُصْـبَعَهُ فِي الْيَمِّ، فَلْيَنْظُرْ بِمَ يَرْجِعُ

Maksudnya : “Perbandingan dunia dengan akhirat itu seperti salah seorang kalian memasukkan jarinya di laut, kemudian perhatikanlah apa yang tersisa pada jarinya ketika ia angkat.” ( Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi )

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


11 comments:

doasepi said...

Mohon share. Terimaksih atas nas yg sgt berguna.tik aasalah aurat semakin dirukhsahkan mengikut dunia..sangat2 sedih..

nur khalilah hassan said...

boleh sy kongsikan maklumat brguna ini jg? mmg sedih melihat gmbr2 muslimah dieksploitasikn sewenang2nya. ada jg yg brpunca drpd tuan empunya diri. sy ada trjumpa laman web yg tnpa segan silu mmpamerkn gmbr2 wanita muslimah dn diedit dn ia amat menyedihkan..moga kita sntiasa berada dibwh prlindungn-Nya..

Noraslina binti Jusin said...

Salam semua :)

Buat akh 'doasepi' dan ukhti Nur Khalilah, silakan untuk berkongsi.

Semoga ada manfaatnya buat yang membaca dan mencari reda Yang Maha Esa.

Jazakumallah khairan kathira.

'ain said...

salam ustazah, lepas ni na pun nak kemaskini FB na...mcm ustazah kata, 2-3 gambar jek...lain na nak delete...huhuhu, terasa diri ni terlalai lak...

melatiblossoms said...

Salam kak Ina,

terima kasih atas ingatan berterusan ni... :)

Ummu Noor said...

Terlebih dahulu, terima kasih Kak Ina kerana terus menerus dengan usaha mendidik kaum muslimah.. termasuk saya... Saya doakan semoga Kak Ina teruskan dengan perkongsian ilmu ini.. Moga Allah sentiasa memberkati usaha murni ini..

Di sini, saya ingin bertanya pendapat Kak Ina tentang isu rakan-rakan yang gemar meng'tag'kan gambar-gambar rakan-rakan muslimah pula? Adakalanya gambar-gambar yang di'upload'kan bukan gambar individu sahaja, tetapi gambar rakan-rakan juga. Malahan, adakalanya, gambar-gambar itu diletakkan tanpa keizinan dan tidak mendatangkan manfaat.

Tambahan lagi, dengan teknik (tagging) inilah yang membolehkan gambar-gambar individu tersebar luas tanpa kawalan dan menyebabkan koleksi gambar bertambah secara automatik.

Oleh itu, pada pandangan saya, perkara-perkara seperti ini juga wajar dielakkan... Antaranya dengan menyarankan agar muslimah lebih berwaspada dalam menyebarkan gambar rakan-rakan dan aktiviti-aktiviti bersama rakan-rakan ke dalam media fb, twitter dan sebagainya.

Mohon pandangan Kak Ina tentang isu ini juga..
Mohon maaf andai tersilap kata dari ayat-ayat di atas... Moga Allah ampunkan dosa kita semua.. Ameen..

Akhir kata,terima kasih dan take care Kak Ina... Wassalam...

RoseLangkawi said...

salam ukhtie and akhawat
memang betul FB adalah fenomena baharu dalam akhir zaman ini. adalah penting kita melihat Deen bukan hanya di tikar sejadah. Deen itu juga perlu dibawa ke FB sebagai panduan dan perlindungan, kan ukhtie?

ummu muhammad said...
This comment has been removed by the author.
Cinta Hatiku said...

memang pun... sampai takut nak letak gambar sendiri dlm blog mahupun fb...

hanani said...

Terima kasih atas ingatan . :)

http://muslimahbergaya.wordpress.com/

abu said...

ana akan mula mgemaskini akaun fb ana. terima kasih atas pkongsian utk manfaat bsama.