14 October 2011

CIPTALAH MUSIM INDAH KEHIDUPANMU

Saya pernah membaca sebuah kisah. Ia cerita yang ringkas, tetapi berisi pengajaran yang bernas.

Cerita seorang gadis yang dibesarkan di sebuah rumah kecil dan serba kekurangan di lereng bukit. Gadis itu gemar bermain di tengah-tengah padang bak ‘taman’ alam semulajadi yang luas dan indah berhampiran rumahnya. Saban hari, sambil bermain, dia mengkhayalkan kehidupan bak puteri di dalam istana yang megah dan mewah.

Walaupun cintanya pada keluarga tidak dinafi, tetapi impiannya yang satu ini kerap meng’hantui’!

“Betapa beruntungnya andai aku bergelar seorang puteri. Setidak-tidaknya, menjadi anak hartawan ternama saja sudah memadai berbanding kehidupanku yang miskin ini.”

Suatu ketika, setelah meningkat dewasa, sedang dia menghabiskan masanya sebagaimana biasa di padang tersebut, tiba-tiba dia melihat di kejauhan pancaran keemasan dari sebuah rumah yang besar di atas sebuah bukit bersetentang. Seakan-akan rumah itu diperbuat dari emas dan permata yang bersinar-sinar! Tingkap, pintu, bahkan dinding dan atapnya, semuanya memancarkan cahaya seiring terik mentari di langit tinggi.

Belum pernah dia melihat rumah sebegitu indah!

“Oh, rumah siapakah agaknya itu? Indah sungguh bentuknya!Pasti penghuni di dalamya juga di kelilingi rasa bahagia,” bisik si gadis teruja.

Perlahan-lahan dia menapak menuruni bukit rumah kecilnya menuju ke bukit yang menempatkan rumah besar itu.

Keghairahannya untuk melihat dengan lebih dekat kecantikan rumah besar itu membuatkannya berlari sekuat hati. Biar cepat sampai!

Namun, tatkala kakinya berada betul-betul di hadapan pintu rumah besar itu, dengan tarikan nafas yang masih tercungap-cungap kepenatan, matanya yang bulat itu hanya menyaksikan sebuah rumah usang dengan warna pintu, tingkap dan dinding yang kian pudar. Daun-daun kering berserakan di lantai. Tiada kedengaran gelak tawa….sekelilingnya sunyi sepi. Tidak berpenghuni.

“Benarkah ini rumah besar yang keemasan itu?” si gadis bermonolog sendiri.

Perlahan-lahan, dia membalikkan badan,membelakangi rumah besar yang disangkanya sangat indah itu dan mulai melangkah menuju ke rumah kecilnya. Sedih dan kecewa. Akan tetapi….

Alangkah terkejutnya si gadis. Bagai mahu luruh tangkai jantungnya kerana di atas bukit yang ingin ditujunya itu, dia melihat sebuah rumah kecil yang keemasan! Sinar matahari menambah cantik sinar rumah itu.
Kini dia menyedari. Selama ini dia tidak bermimpi. Bayangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa menguasai jiwanya, bersama keindahan alam semulajadi yang menceriakan hidupnya setiap ketika, rumah kecil itu sebenarnya adalah sebuah rumah paling ‘indah dan mewah’.

Ia ada di hadapan mata tanpa pernah dia sedar kewujudannya!

Si gadis akhirnya tersenyum. Senyuman paling manis dirasakan sepanjang hidupnya…..


PERSIS
Meneropong ke dalam hidup masyarakat, berapa ramai membandingkan kekayaan dirinya dengan individu lain yang lebih berharta. Berapa ramai pula yang menaruh dendam kerana iri dengan kejayaan dan kenaikan pangkat rakan sejabatan.

Kedengaran di sini dan sana, suara-suara ibu bapa yang kecewa bila anaknya tidak memperolehi deretan A sebagaimana anak jiran tetangga. Sang suami pula mengerling wanita lain yang dilihatnya lebih menawan dan jelita, bahkan perempuan bergelar isteri turut mengimpikan seorang suami sebanding lakonan aktor kacak yang membawakan watak suami penyayang, memahami dan prihatin di layar tv!

Terlalu ramai yang bermimpi dan berharap memiliki rumah yang gah, kereta mewah, penghasilan besar, berjawatan tinggi, pasangan yang kacak dan lawa, anak-anak yang membanggakan tetapi lupa dengan satu pertanyaan mudah yang sewajarnya mereka jawab di awal langkah kehidupan nyata itu.

Untuk apa semua itu mereka dapatkan?

Sudah pasti, jawapan dari semua keinginan itu adalah kebahagiaan.

Namun, kerana pencarian bahagia itulah, tanpa sedar, terlalu ramai manusia dewasa kini yang bersikap persis sebagaimana kisah si gadis tadi. Mereka mencemburui kebahagiaan dan kesenangan orang lain, tanpa menyedari bahawa kebahagiaan itu sebenarnya berlegar di sekeliling.

MEMBANDINGKAN
“Beruntung Ina. Duduk di rumah, tak perlu berkejar ke sini sana, Ustaz pun sesekali je tak ada di rumah. Banyak masa dengan keluarga….” Suatu ketika seorang kakak memuji. Saya menyambut dengan senyum manis. Alunan tahmid berlagu merdu di dalam hati.

“Ala…kakak pun apa kurangnya,” saya memulangkan kata-kata. Bukan bicara kosong tanpa makna, kerana saya juga mengenali keluarganya. Sungguhpun dia wanita berkerjaya, tetapi anak-anaknya, kesemua mereka remaja berbudipekerti dan berakhlak mulia.

Cuma….

“Entahlah Na…Kakak rasa sunyi. Semenjak naik pangkat ni, abang ( suaminya ) selalu sibuk. Jarang kami dapat bersua, berbual dan bertukar cerita,” luahnya dengan mata sedikit berkaca.

Saya memandang dengan kerdipan mata, tanpa bilah kata. Dia tunduk menyeka airmata.

“Kadang-kadang tu rasa bosan..ke mana-mana hanya dengan anak-anak. Kami dah jarang keluar bersama macam dulu. Kalaulah abang tak naik pangkat, jadi pegawai biasa macam dulu…” tambahnya lagi. Kali ini, nada suaranya bagai membuak gelombang rindu yang kuat.
Merindui masa silam. Mencemburui keindahan semalam!

“Suami kakak tak pernah lupa call bila berjauhan, bukan? Dan cincin yang kakak pakai ini, tentu ole-ole terbaru dari cik abang!” Saya mengusik.

Dia berpaling menghadapkan wajah bersihnya tepat memandang ke wajah saya. Senyuman terukir di bibirnya yang merah. Walaupun begitu, kesayuan pada mata bundarnya itu mengheret jiwa saya untuk turut merasakan kesedihan yang bertamu. Saya pegang bahunya, menepuk-nepuk lembut agar dia tenang semula.

“Kuantiti tak penting sebenarnya kak…kualiti masa itu yang harus kita jaga. Saya gembira melihat anak-anak kakak yang rajin dan ringan tulang tu. Mereka tentu selalu buat kakak gembira. Lagi pula, saya yakin, ingatan suami kakak pada kakak dan anak-anak sentiasa ada walaupun dia berada jauh dari pandangan mata,” saya berbasa basi. Penuh waspada menyusun kata. Bimbang menambah luka sedia ada.

“Kalau tidak…takkan sampai tiga empat kali telefon…” Saya mengenyitkan mata saat mengakhiri kata-kata.

KALAULAH…..
Saya pasti, setiap dari kita memiliki titik kelemahan yang biasanya dengan kelemahan itulah kita diuji oleh Yang Maha Kuasa. Mengapa dan kenapa? Sudah pasti, kerana DIA mahu kita mengatasi kelemahan itu, tidak putus pergantungan kepada DIA Yang Maha Esa, seterusnya mencari kekuatan buat menambah iman dan ketaatan.

Dan salah satu dari rantaian kelemahan manusia yang sedia lemah ini ialah ingatan kepada masa silam. Ia mengikat. Ia mengurung individu yang ter’perangkap’ di dalamnya dengan rasa kecewa dan kesedihan.

Kerana itu, ramai manusia bila diuji pada hari ini, mereka akan menyesali sesuatu yang telah berlalu semalam harinya. Lalu keluarlah kata-kata :

“Kalaulah…..”

Sedangkan, Rasulullah SAW pernah bersabda :

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَّرَ اللَّهُ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya :”…Jika kamu ditimpa suatu musibah, maka janganlah kamu mengatakan "seandainya ( kalaulah ) tadi aku melakukan ini dan ini, maka pasti akan terjadi begini-begini,” akan tetapi katakanlah : "Ini adalah takdir ALLAH dan apa saja yang DIA kehendaki, pasti DIA laksanakan.” Kerana perkataan "seandainya( kalaulah)" boleh membuka amalan syaitan.” ( Hadis riwayat Muslim )

Sesungguhnya di dalam hidup ini, tiada siapa dapat menjamin seberapa lama kebaikan yang dirindui itu akan mengiringi. Oleh itu, apa yang utama adalah mengisi masa-masa yang ada ketika ini dengan sesuatu yang menghadirkan bahagia.

Berbekal keyakinan kepada kasih sayang-NYA yang tidak pernah surut, terutama terhadap hamba-hambaNYA yang tidak jemu meminta dibantu.

KESYUKURAN
Sebelum angan-angan ’kalaulah..’ itu merosak lebih jauh lagi, tepuklah pipi, bukalah mata seluasnya. Lihat sekeliling dengan penuh rasa sedar dan syukur.

Andai kebahagiaan dan kegembiraan hidup itu diukur dari peristiwa dan perkara besar, apalah yang ada pada peristiwa dan perkara kecil.

Sedangkan…

Peristiwa dan perkara besar itu jarang berlaku dan sukar ditemukan, manakala peristiwa dan perkara kecil itulah yang banyak menemani perjalanan kehidupan.

Sentuhan lembut ibu dan ayah, usik-mengusik saudara dan taulan, senyuman anak-anak yang dikasihi, panggilan cinta dari pasangan hidup yang dirindui, ucapan terima kasih tanda dihargai, tiupan bayu membelai pipi, liang lintuk rumput dan lalang bagaikan menari, kicauan burung-burung memecah sunyi pagi; semua itu adalah sebahagian besar dari keindahan hidup yang mampu mencorak bahagia, namun sering diabaikan kehadirannya.

Insafilah, hakikat kebahagiaan itu dinilai dari sebesar mana rasa syukur kita terhadap apa yang dimiliki, kebahagiaan juga terletak pada setinggi mana keredaan kita terhadap kehendak ILAHI. Tanpa kita melupakan, bahawa kebahagiaan itu turut terpancar pada sesabar mana kita berhadapan ujian/cabaran kehidupan dan pada sebesar mana sifat Qana'ah ( cukup ) terhadap pemberian ar Rahman.

CIPTALAH MUSIM INDAH KEHIDUPANMU
Akhirnya, renungilah….Sesungguhnya hidup ini umpama pergiliran 'empat musim' yang mengisi hari-hari insan.
Musim bunga yang sungguh indah dengan pelbagai kuntuman berwarna warni. Juga musim panas yang dipenuhi pelbagai aktiviti....

Ketika itu, hidup jadi terisi, ceria dan bahagia.

Akan tetapi, bila tiba musim gugur yang menghilangkan keindahan warna pada alam...diganti pemandangan yang ada kalanya menggerunkan..pohon tanpa dedaunan, angin sejuk yang mulai menyucuk tubuh badan. Disusuli musim dingin yang membekukan rasa.

Ketika ini, suasana musim bunga dan panas berubah, bahagia sirna....rumahtangga dingin dari gurau senda, persahabatan dingin dari ambil berat...yang ada hanya mengambil kesempatan. Tiada aliran kasih mesra, tiada titisan simpati yang menghangatkan perhubungan.

Oleh itu, walau apa jua 'musim kehidupan' yang sedang dilalui, ingatlah...pada akhir segala-galanya, dengan berfikir positif serta mendahulukan sangka baik kepada TUHAN, seseorang itu mampu membina kekuatan dalamannya untuk mengurus impian masa depan.

Pelangi indah menyusul selepas gerimis tengahari...

Langit yang cerah akan tersingkap bila awan mendung berarak pergi....

Selagi kita bernafas, selagi itulah peluang diberikan pada kita oleh Yang Maha Esa. Justeru, hiduplah untuk terus menikmati kehidupan; 'empat musim' yang dianugerahkan sebagai ujian sebelum diadili di hari pembalasan.

وَنَبْلُوْكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَاِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ

Maksudnya : “KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenar-benarnya. Dan hanya kepada KAMI lah kamu semua dikembalikan”. ( Surah Al-Anbiya` ayat 35 )

Dengan semua itu, ciptalah musim-musim indah kehidupanmu kerana kita semua layak untuk menikmati bahagia!

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

6 comments:

Terbang Bersamaku said...

nce entry..kt memang kena sentiasa berysuur dengan apa yg kt miliki dlm hidup ini..

Asiah Yusro said...

mari bersyukur atas segala kaish sayang ALLAH, syukran kakakku =)

RoseLangkawi said...

salam ya ukhtie
ya, mari kita membina syurga kita sendiri berpandu restu ilahi, moga senantiasa kita diberkati,,syukur atas nikmat artikel sebegini:)

linda a.k.a ibusumaiyah said...

bersyukur dengan apa yang ada...a ah laa kak ina...kebahagian itu berlegar-legar di keliling kita...kiter jer yang tak cuba mencari..tapi lebih pada menanti...itu silapnye...:)

My Life My Journey.. said...

Salam Ustazah,
Sudah agak lama tidak ziarah blog Ustazah. Kupasan yg sungguh halus bahasanya, terkandung makna yang amat berkesan, mengalir masuk ke dalam hati terasa tenang. Kata ustazah d entri ini layak d gelar penawar. Terima Kasih Ustazah!

abu said...

masyaAllah sememangnya mata pena lebih menusuk daripada mata pedang