28 December 2010

MENJADI YANG TERBAIK, MEMBERI YANG TERBAIK

“Salam, adakah ayat "engkau terbaik untukku" masih valid sekiranya suami ditakdirkan bertemu jodoh lagi ?”

Pertama kali membaca persoalan di atas, hati wanita saya sedikit cemas. Entah bisikan apa yang menyusup masuk ke dalam jiwa, sehigga persoalan itu begitu membekas di jiwa.

Seolah-olah kata-kata yang saya tujukan khusus buat suami lewat artikel, Engkau Terbaik Untukku, dipandang kosong. Tiada makna.

Saya bagai hanyut dibawa ke alur rasa yang melemaskan ditengah-tengah kedamaian dan kehangatan sambutan ulangtahun ke-12 pernikahan saya dan suami tercinta. Lebih-lebih lagi, sambutan itu berlaku selepas beberapa hari kami berjauhan kerana suami berkelana ke bumi Praque di Republik Chezc.

Saya tidak pasti tujuan dari lontaran persoalan yang agak mengganggu itu. Adakah untuk meninjau pandangan saya tentang poligami, atau sekadar mahu mengacah-acah sambil melayangkan maksud rasa bahagia yang sedang saya rasakan ketika ini pasti tidak akan lagi saya rasai andai suami bernikah lagi.

“Suami dia belum ada isteri yang lain…bolehlah nak kata, engkau terbaik untukku…”
Mungkinkah begitu?


SEDIKIT TENTANG POLIGAMI
Saya sebenarnya tidak berniat untuk menyentuh tentang poligami; kerana pendirian dan pandangan saya mengenainya telah lama saya ketengahkan di dalam artikel, MANA MILIK KITA.

Saya menyedari ia merupakan satu topik yang begitu sensitif dan boleh mencetuskan kontroversi, hingga mampu menuai subur pro dan kontra yang tidak bertepi.

Memperkatakan tentangnya selama 2,3 hari mungkin tidak akan habis. Pasti akan ada tingkah meningkahnya, lantaran masyarakat hari ini melihat poligami bukan sebagai penawar yang mampu merawat ‘penyakit sosial’ yang melanda umat manusia tetapi ia adalah ‘racun’ yang menambah parah kepada penyakit sedia ada.

Walaubagaimanapun, saya tidak menyalahkan masyarakat dek salahtanggapan mereka, kerana terlalu jarang bahkan hampir tiada kejayaan pasangan yang mengamalkan poligami didedahkan kepada masyarakat. Sebaliknya, yang sering diperbesar-besarkan adalah kegagalan dan keburukan yang menimpa isteri dan anak-anak yang terlibat. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegagalan kaum lelaki untuk berperanan sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang adil dalam menjayakan poligami.

”Penyebab timbulnya imej negatif terhadap praktik poligami yang dibolehkan dalam
Islam sebenarnya adalah pada kaum Muslimin yang tidak komitmen dengan petunjuk
agama dalam menjalankan tanggungjawab. Penolakan para muslimah di seperempat
bahagian masyarakat Muslim lebih disebabkan kerana kaum laki-laki Muslim sendiri
jatuh dan tidak mampu memenuhi fungsi keagamaan dan kehilangan karektor
kelelakiannya.”

Demikian kata-kata Maryam Jameelah, seorang Muslimah yang berasal dari sebuah keluarga Yahudi Amerika lewat pernyataannya di The Islamic Bulletin, San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Justeru itu, selama mana tanda aras kita merujuk kepada individu dan pasangan yang mengamalkannya, tanpa melihat kepada manfaat dan hikmah mengapa sistem tersebut diharuskan oleh agama, selagi itulah poligami dilihat bermasalah dan tidak menambah apa-apa kecuali keburukan, terutama kepada kaum perempuan sehingga terbit luahan rasa :

“Kami hilang bahagia kerana suami berkahwin dua…”


PENYEBAB KETIDAKBAHAGIAAN
Hakikatnya, ramai manusia yang hilang rasa bahagia bukan kerana poligami semata-mata. Berapa ramai orang yang tidak terlibat dengan poligami, tetap tidak merasakan bahagia yang hakiki.

Andai kita meluaskan skop pandangan mata di sekitaran hari ini, bukan setakat rumahtangga yang mengamalkan poligami sahaja yang bergolak, bahkan rumahtangga berstatus monogami juga turut banyak berkocak. Saban hari ada saja kisah perceraian yang dipaparkan di dada akhbar.

Terlalu banyak dan sangat menggusarkan!

Fenomena perceraian ini sangat menggerunkan, kerana ia umpama indikator kepada keberhasilan 'jarum' halus yang dicucuk oleh musuh Islam secara perlahan-lahan ke dalam masyarakat Islam iaitu bila mana sistem perkahwinan digambarkan sebagai punca ketidakbahagiaan, maka lama kelamaan generasi muda akan meninggalkan perkahwinan. Mereka lebih gembira berpacaran tanpa apa-apa ikatan.

Inilah yang berlaku kepada institusi perkahwinan di barat yang semakin dipinggirkan. Panggilan 'this is my partner' sudah biasa kepada mereka berbanding, 'this is my wife/husband'.

Jika direnung-renungkan, suasana ini, tidak lain adalah berpunca dari keimanan yang lemah. Ditambah lagi, dengan kurangnya penghayatan kepada konsep ilmu di dalam Islam yang berfungsi sebagai cahaya yang memandu manusia untuk keluar dari lorong kegelapan, kemusnahan dan kerosakan.

Di samping itu, keberhasilan sesebuah keluarga, baik yang berpoligami atau tidak, sangat ditentukan oleh sejauh mana tingkat pemahaman serta ketaatan masing masing (suami dan isteri ) kepada didikan agama. Kurangnya pemahaman dan pengamalan ajaran Islam akan menjadi sumber pemicu kepada keretakan rumah tangga. Tetapi jika disandarkan kepada pemahaman yang benar serta komitmen untuk melaksanakannya, diiringi saling pengertian, saling berkasih sayang dan saling membantu di antara suami isteri, kebahagiaan tersebut pasti dapat dibangun secara bersama-sama.

Justeru, apa yang patut dan perlu diperbincangkan ialah bagaimana langkah sepadu dan efektif dapat dilaksanakan dari pelbagai pihak terutama institusi dan badan-badan swasta juga kerajaan yang banyak terlibat secara langsung dalam menggubal kursus-kurus perkahwinan Islam, untuk menerap kesedaran iman dan penghayatan ilmu kepada pasangan lelaki dan wanita bagi melaksanakan kewajipan, tanggungjawab dan amanah selepas bernikah.

Poligami semata-mata sebenarnya bukanlah sesuatu yang harus dibahaskan dengan panjang lebar. Kemelut yang melanda institusi rumahtangga hari ini bukan berpunca dari sistem perkahwinan itu sendiri ( baik poligami atau monogami), tetapi individu yang melaksanakannya.


YANG TERBAIK
Oleh itu, sebagai satu usaha kecil yang dapat saya lakukan melalui penulisan ini, saya merasakan bahawa antara jalan keluar kepada keruncingan ini ialah dengan menyuntik kesedaran, keinsafan dan motivasi ke dalam diri pasangan suami isteri tentang peranan serta penunaian hak-hak yang diwajibkan ke atas mereka. Gesaan mempertingkatkan usaha dan memperbaiki layanan, khidmat bakti dan kasih mesra dari semasa ke semasa dalam rangka memberikan yang terbaik kepada pasangan dan cahayamata yang disayangi.

Sementelah Rasulullah SAW sendiri sebagai tauladan unggul, sentiasa mencetus galakan dan saranan agar umatnya berusaha untuk menjadi yang terbaik, yang paling dikasihi dan seumpamanya sebagaimana yang dinyatakan di dalam rantaian mutiara hadis-hadis baginda.

Antaranya :

1. “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

2. “Hal terbaik bagi seorang mukmin setelah ketaqwaan pada ALLAH SWT adalah (memiliki) seorang isteri solehah, iaitu yang patuh jika disuruh, menyenangkan bila dipandang, membenarkan jika suami bersumpah atasnya, dan pandai menjaga diri dan harta jika suami tidak ada.”( Hadis riwayat Thabrani dari Abdullah bin Salam )

3. "Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah." ( Hadis riwayat Muslim)

4. "Yang terbaik daripada wanita di dunia, ada empat: Maryam binti 'Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Asiah isteri Firaun." ( Hadis riwayat Ahmad )

5. “Yang terbaik daripada kaum muslimin adalah yang menahan tangan dan lidahnya ( dari menyakiti ) Muslim yang lain." ( Hadis riwayat Muslim )

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menganjurkan sedemikian.

Saya percaya, usaha yang ikhlas kerana ALLAH SWT dari seorang isteri untuk ketenangan dan kedamaian suami di rumah, pasti akan diberikan ganjaran yang melimpah ruah dari sisi-NYA. Sebagaimana kata-kata suami kepada saya tatkala menegaskan pandangannya tentang hubungan suami isteri :
“…..hasil dari ketenangan di rumah, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang
dígalas atas nama ALLAH, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang
bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan
keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh….”

Begitu juga, usaha keras dan ikhlas dari seorang suami dalam memberikan nafkah yang wajib beserta didikan, belaian dan kasih sayang kepada anak isteri, dengan izin-NYA pasti akan berbalas kesetiaan, penghormatan dan cinta yang selayaknya selagi mana ia masih berada dalam sempadan yang dibenarkan oleh agama.


SILAP FAHAM
Terdapat silap faham dan kegelinciran tafsiran yang telah lama ingin saya ketengahkan setiap kali berbicara tentang perkahwinan, tanggungjawab isteri dan kaitannya dengan poligami, iaitu tanggapan dan saranan kepada pihak isteri agar menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka sebaiknya agar suami tidak berpaling mencari wanita lain.

Saranan itu pada saya agak tersasar dan bersalahan dengan konsep keimanan dan ketaqwaan yang tuntas kepada ALLAH ar Rahman.

Mengapa?

Kerana pada saya, layanan istimewa dan khusus yang diberikan buat suami bukan untuk menjauhkannya dari ruang keizinan berpoligami; akan tetapi semua itu adalah tanggungjawab dan curahan bakti yang sewajarnya dilaksanakan oleh seorang isteri sebagaimana yang diperintahkan Ilahi.

Saling memberi dan menerima dalam ikatan rumahtangga bahagia.

Bukan atas alasan saling memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana ILAHI.

Bila mana seorang isteri meletakkan usahanya sebagai GALANG GANTI agar suami tidak bernikah lagi, maka telah berlaku dua kesilapan yang mampu merobek kebahagiaannya andai ditakdirkan suaminya benar-benar mengahwini wanita lain :

1)KESILAPAN KERANA BERGANTUNG SERTA YAKIN KEPADA USAHA FIZIKAL SEMATA
Manusia sememangnya dituntut untuk berusaha, akan tetapi jangan sesekali kita lupa bahawa penentu kepada keberhasilan usaha yang dilakukan tetap tergantung kepada ALLAH SWT. Justeru, seiringkan usaha fizikal dengan kemantapan usaha spiritual iaitu melalui doa dan munajat yang berpanjangan agar ikatan bahagia di antara suami isteri berkekalan, walau tanpa atau dengan berpoligami.


2)KESILAPAN KERANA ‘MENDAHULUI’ ALLAH DAN KEHENDAK-NYA
Seyakin manapun manusia kepada usahanya, sepasti apapun ikhtiar makhluk kepada kita, ia tidak akan menjamin apa-apa kecuali dengan qudrah dan iradah-NYA. Tidak salah berharap, tetapi dengan menyandarkan usaha yang diberi pasti dapat menjauhkan suami dari bernikah lagi, hakikatnya keyakinan itu telah ‘mendahului’ kehendak ILAHI, sedangkan ALLAH SWT sendiri menegaskan di dalam firman-NYA :

اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya : "ALLAH, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-NYA); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-NYA apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi ALLAH tanpa izin-NYA. ALLAH mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu ALLAH melainkan apa yang dikehendaki-NYA. Kursi ALLAH meliputi langit dan bumi. Dan ALLAH tidak merasa berat memelihara keduanya, dan ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." ( Surah al Baqarah ayat 255 )


PASTI vs TIDAK PASTI
Saya bersyukur kerana keimanan dalam diri masih mampu mengawal dan memandu saya mengingati ILAHI, beristighfar dan mengembalikan sepenuh keyakinan kepada-NYA. Betapa syaitan sedang cuba memainkan sentimen emosi ke dalam jiwa saya hanya kerana satu pertanyaan yang dengan mudah saya mampu menjawabnya.

Cinta saya kepada suami yang baik budi selama ini bukanlah begitu murah harganya. Kasih yang terbina antara kami rentetan dari pelbagai ujian kehidupan sepanjang bergelar suami isteri tidak akan lebur dan hancur begitu sahaja; hanya kerana suami mengasihi wanita lain sebagai isterinya.

Keyakinan saya bahawa hidup, mati dan jodoh, semua itu telah ditentukan oleh-NYA. Manusia hanya dituntut berikhtiar dan bertawakal kepada-NYA.
Apa yang pasti, pada saat ini, saya adalah seorang isteri dan ummi. Sedang suami akan berpoligami atau tidak, ia tetap tersimpan di dalam pengetahuan ILAHI. Mungkin poligami akan berlaku, dan mungkin juga ia tidak akan pernah terjadi. Belum pasti.

Jika memang ditakdirkan suami mengahwini wanita lain, maka pasti ia akan berlaku.

Apabila ALLAH menentukan sesuatu ketetapan maka tiada siapa dapat menghalangnya walaupun manusia di seluruh dunia bersatu untuk berbuat demikian. Sebaliknya, tiada sebarang kuasa pun yang dapat mengadakan sesuatu melainkan apa yang di izinkan oleh-NYA.

Lalu mengapa harus sibuk memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan meninggalkan sesuatu yang memang pasti di dalam hidup ini.

Saya menginsafi, di bahu ini terpikul seribu satu amanah dan tanggungjawab untuk membahagiakan anak-anak dan suami yang dikasihi. Perjuangan sebagai isteri dan ummi tidak akan habis selagi nayawa ini masih berbaki. Saya tahu kekuatan juga kelebihan diri yang disenangi oleh suami dan akan sentiasa berusaha mengekalkannya. Begitu juga, saya tahu kekurangan dan kelemahan yang ada dan akan sentiasa berusaha untuk memperbaikinya.

Di pihak suami, seawal musim pertama pernikahan lagi, saya melihat usaha kerasnya memberikan yang terbaik untuk kebahagiaan kami; dan untuk itu, saya akan terus berdoa, memohon ‘inayah dan rahmat dari-NYA sambil menghulurkan tangan, membantu suami bagi menjayakan peranannya itu.


MENJADI YANG TERBAIK, MEMBERI YANG TERBAIK
Akhirnya, sebagai balasan kepada persoalan di atas, beserta senyuman lebar dan keyakinan yang membakar, jawapan ini saya berikan :

“Ya, ayat : Engkau terbaik untukku, masih valid walau suami ditakdirkan bertemu jodoh lagi, InsyaALLAH.”

Saya percaya, bunga-bunga bahagia yang indah akan tetap bersemi bila hati dibajai iman, taqwa dan ilmu serta usaha yang ikhlas hanya kerana Yang Maha Berkuasa.

Sesungguhnya kebahagiaan ini dari-NYA. Tinggal lagi, kegigihan untuk meraih bahagia berpandukan petunjuk yang benar dari-NYA, al Quran dan sunnah Rasul yang mulia.

Hanya kepada DIA kita memohon segala.

Saya mengakhiri nukilan ini sambil mengimbau gurauan suami suatu masa dulu. Gurauan yang sinis tetapi mendalam maksudnya :

“Orang lelaki yang soleh dan beriman, kalau pun tak dapat berpoligami di dunia ni, dalam syurga nanti tetap berpoligami juga..”

'Ya tak ya juga.....'

Oleh itu, mari kita berusaha untuk menjadi yang terbaik, memberikan yang terbaik, InsyaALLAH ganjaran yang terbaik pasti dapat dikelek.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

29 comments:

UMMU NUH said...

SubhanAllah.. FatahAllahu 'alaik.. Alhamdulillah.. entah mengapa, air mata bercucuran membaca post kali ini.. Memberi yang terbaik demi redha Ilahi, semoga kita sama-sama mencapai redhaNYA.. benar-benar mengingatkan diri, bahawa mati itu pasti, sedangkan hidup..insya Allah..bila-bila masa mungkin akan tiba ke penghujungnya.. Nikmat menjadi seorang isteri & ummi, cukuplah buat diri ini untuk menghargai & mensyukuri, bukan untuk memaksa suami mentauhidkan diri ini..

Menuju Cinta Ilahi said...

Kak Ina solehah.. terima kasih atas perkongsian yang sangat baik.

Saya pun nak berkongsi jawapan yang sama .. ya, suami yang ALLAH takdirkan untuk kita tetap yang terbaik untuk diri yang lemah ini.

Seandainya ALLAH mengizinkan suami berkahwin lagi, kita bersangka baik bahawa ALLAH ingin kita menguatkan cinta denganNYA..

Rashidah Ismail said...

salam kak ina..izin copy ke blog saya ye..terima kasih..

ibuaiman said...

Perkongsian yang amat bermanafaat lebih-lebih lagi di kala pertambahan kes-kes perceraian yang semakin meningkat di Malaysia akibat jahil agama..Terima kasih K'Ina..:)

Epul Comp said...
This comment has been removed by the author.
aku said...

Memperjuangkan iman adalah tunggak utama dalam kehidupan berpoligami,jika bukan
kerananya,usahkan poligami,hukum-hukum Allah yang lain juga tidak mampu untuk
diperjuangkan.Imanlah yang mendorong wanita bahawa poligami itu baik,cantik dan berfaedah
kepada manusia,masyarakat dan agama.
Memang tidak dinafikan adanya rasa sakit bagi wanita yang berpoligami,tetapi hati yang takut
dengan azab Allah akan menjadi tenang,dan hati akan menjadi benteng diri daripada melakukan
sesuatu perkara yang tidak baik.Iman akan memujuk nafsu jahat agar tunduk dan tidak liar terhadap
suami dan madu anda.Inilah mujahadah namanya.Mujahadah dalam menundukkan kekuatan nafsu
dan pujukan syaitan yang sentiasa mencari peluang menjerumuskan kita ke dalam neraka.Hak untuk
beriman adalah hak untuk semua orang.Bukan terbatas pada orang-orang tertentu sahaja.Sebab
Allah telah membuka peluang pada setiap hati.
"Alhamdulillah, saya antara wanita yg telah dipilih olehNya utk menerima ujian ini.Mmg sakit untuk melalui fasa demi fasa.Bermula dgn gerak hati yg suami sudah punya org lain, kemudian pengakuan suami, diikuti permintaannya utk menikah lain.Masa tu diluah mati bapak, ditelan mati mak.Saya tak sanggup kehilangan suami, disamping tak kuat utk bermadu.Tapi Allah telah berikan kekuatan itu.Tika dia menikah, saya amik cuti sminggu balik kg.Skang, sudah sebulan saya hidup bermadu.Banyak hikmahnya yg saya nampak.Suami makin menyayangi, makin romantik, ungkapan sayang, ciuman selalu diberikan.Semua tu saya tak pernah dpt sebelum ini.Ya Allah, bersyukurnya saya padaMu.Hidup saya makin tenang, skang nih dlm fasa utk berbaik-baik dgn madu saya.InsyaAllah doakan saya,moga kekuatan tu terus bersama saya.

ash_mza said...

...berusaha untuk menjadi yang terbaik, memberikan yang terbaik, InsyaALLAH ganjaran yang terbaik pasti dapat dikelek... mekasih utk artikel bguna ini^^

KAKTINY said...

Salam..

Sangat setuju dgn artikel kak ina ni..

Lambat atau cepat, tetap lelaki itu akan berpoligami..
Tak dapat di dunia, Allah bg di akhirat.. (utk yg beriman dan beramal soleh la kan.. hihi).

Kita wanita ni tamak kan.. nak suami jd hakmilik kekal.. sedangkan yg kekal itu hanya Allah.. konon kita umpan dgn taat setia, sedangkan taat setia itu haknya hanya kpd Allah..

.. jika ditakdirkan bermadu, apakah kita masih tetap akan setia kepada Allah dgn menerima takdirnya?.. (cuba memotivasikan diri sendiri..).

dan.. saya setuju.. bg yg belum diuji dgn poligami, tak usah difikirkan perkara yg BELUM (atau mungkin TIDAK) terjadi..

bagi yang berhadapan dgn ujian sebegitu.. berpegang teguh bahawa, suami itu bukan hakmilik abadi.. dia juga makhluk Allah.. kepunyaan Allah.. adalah hak Allah untuk menentukan takdir hidup beliau..

.. matlamat hidup kita adalah untuk mencari redha Allah kan..
.. dan redha Allah hanya akan kita perolehi seandainya kita redha atas apa yang dianugerahi oleh-Nya...

benarkan begitu kak?..

salam..

aku said...

Buat Kak Ina, terima kasih hanya mampuku ucapkan atas ungkapan2 dan bait2 kak ina dalam blog nih.yang bisa buat hati saya menangis, terdetik keinsafan di dalam diri betapa diri ini cuma insan yang hina, yg lemah disisiNya.Selama ini saya lalai n lupa kepadaNya.Tapi betapa Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih diberinya saya peluang utk kembali mengadapNya, kembali bersujud dan merayu kepadaNya melalui ujian yang sangat berat ini.Dan Alhamdulillah dengan izinNya, melalui penulisan Kak Ina dlm blog ini saya mendapat kekuatan untuk terus menghadapi hidup bermadu ni.Banyak yg dapat saya jadikan penduan.Moga Allah terus merberkati hidup akak sekeluarga.

mummy umar said...

Artikel yang sangat bagus!

ummubalqis said...

Melangkahlah ke alam perkahwinan dengan nekad memberi yang terbaik. Suami dan anak-anak bukan hak milik kita. Bahkan perantara untuk menghambakan diri kepada Yang Maha Esa. Justeru, semaian cinta dan kasih yang terbina bersama mereka... adalah laluan untuk menggapai cinta dan kasih Yang Maha Pemberi segalanya.

Jazakillah atas perkongsian yang sangat indah ini....

maizura said...

Terima kasih kerana mengupas isu ini dengan baik...jazakallah...

ummieAisya said...

ustazah,
memang menarik dan mendalam post ini, saya teringat kata-kata seorang ustaz yang menasihati kawan saya yang sentiasa rasa tidak bahagia ketika disamping suaminya...hanya 1 ungkapan yang amat bermakna dan menusuk dalam jiwa nurani seorang isteri..kata ustaz.."untuk mendapat redha Allah, kamu mesti daptkan redha suami...jika suami x redha dengan sikap kita dan dengan apa yang kita lakukan maka Allah akan lebih murka kepada kita"...satu persoalan yg sentiasa bermain di fikiran saya...adakah kita boleh menjadi yang terbaik???

mai said...

Assalamualaikum ustazah..

terima kasih. artikel yang banyak menginsafkan saya. saya selama ini sentiasa menanamkan dalam kepala, yang suami bukan milik saya. tapi saya selalu takut dan sedih, jika saya di duakan. Saya sangat sangat inginkan kabahagiaan, tanpa ada perasaan sangsi dan curiga. Ayah saya berpoligami. Dan sebagai anak, saya nampak kesannya. terus terang saya nyatakan di sini, saya trauma (sentiasa terfikirkannya).

ustazah,
sudi apalah kiranya berkongsi doa2 yang dapat menenangkan hati isteri saya ini. saya tidak mahu menjadi isteri yang tamak. saya sangat ingin menjadi isteri yang solehah. bukan isteri yang sebegini (sangsi, curiga, bersedih2 selalu) sehingga saya sendiri pernah meminta bersungguh2 supaya suami bernikah lain. Dan lebih teruk lagi, melepaskan saya. hanya kerana alasan yang bodoh bahawa 'daripada dia tinggalkan aku, baik aku yang tinggalkan dia dahulu'. jahilnya saya. terkadang saya terfikir, benarkah cinta Illahi yang saya cari? nampaknya saya masih memntingkan diri dan tidak bersyukur dengan apa yang saya miliki. Seorang suami dan ayah yang sangat sempurna, terbaik buat saya.

bantulah saya ustazah.

terima kasih banyak-banyak..

asmayati said...

Menjadi isteri yg mendpt kerahmatan dan keredhaan dari suami amatlah dihargai para isteri, apatah lagi menjadi permaisuri yg diangkat darjatnya di syurga memanglah amat diingini. Namun mampukah kita mengusir perasaan irihati dan takut yg senantiasa terukir disanubari sejak azali kerna sikap manusia sendiri. Telah byk zmn yg kita lalui dari bayi,kanak2,remaja,alam rumahtangga hinggalah zaman tua begitulah juga seiringnya segala cerita sukadukanya.Berbicara dgn Allah kerna Dialah Pencipta dan mengenali diri kita lebih dari orang lain membuat daku lebih tenang.

True Destiny said...

Salam Ustazah,

Saya cukup kagum dengan perkongsian bahagian silap faham sebab jarang saya jumpa dengan wanita yg mengatakan demikian. Alhamdulillah.

terima kasih.

m.azam said...

Salam semua...sabda baginda s.a.w jika manusia dibolehkan sujud kpd manusia lain,pasti aku akn menyuruh wanita sujud kpd suami mereka...sy juga seorg suami...sy pernah ajukn soalan ini kpd istri sy...alangkah manis jwpn yg sy terima...xpe...kawin jelah...kn blh sampai4...tp pastikan awk xlupakan sy nnt...berlaku adil...jgn zalimi ht kami...nak menitis air mata sy dgr jwpn wife sy...http://twitter.com/sinarbaru

Ahliah Zuhairi said...

Assalamualaikum wbt

Suka untuk saya kongsikan kata-kata yang pernah suami saya titipkan kepada saya :

Isteriku...Jangan dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah ‘beratnya’ iman untuk menghadapi ujian itu! Kehebatan seseorang itu sering diukur oleh ‘kebesaran’ ujian yang dihadapinya. Semakin besar ujian, semakin besarlah kehebatan seseorang. Maka begitulah dengan cinta kita, semakin diuji, maka semakin kukuh

Hans said...

TAhniah.. perkongsian yg baik.. siapa lagi nk betulkan persepsi masyarakat ini kalu bukan umat islam sndiri. jika indivudu umat islam itu sendiri tidak membaiki diri mereka terhadap agama mereka, maka mereka sgt mudah salah anggap trhdp syariat Islam yg begitu murni dan suci.. Islam itu selamat dan sejahtera.. masakan poligami tidak mmbawa bahagia?! semoga Allah merahmati penulis dan suami tercinta

khalifah0606 said...

assalamaulaikum....

salam dari tuhan anda semua..

PENYOKONG POLIGAMI NAMPAKNYA..SALAH..

PENYOKONG KUAT PERINTAH ALLAH..

ANDA MEMANG BENAR..

ALLAH SENTIASA MEMBERI YANG TERBAIK...

YANG TERBAIK ADALAH TAG LINE ATAU PENANDA ARAS DALAM SETIAP PERBUATAN DAN AMAL.LIDAH,HATI DAN AKIDAH...

3 : 110 ...

PARA NABI DAN RASUL BERADA DAN BERJALAN DI ATAS TAG LINE INI...

POLIGAMI YANG WAJIB MESTILAH SATU ARAS PEMIKIRAN YANG SAMA DENGAN SETIAP PASANAN..BUKANNNYA MACAM YANG DI SUNNAHAN OLEH KELOMPOK KAYA DAN ELIT HARI INI...

IA MESTI DIFAHAMI DENGAN BAIK..
NABI BERPOLIGAMI DENGAN ORANG YANG SETAHAP DAN SEUSIA DENGAN BAGINDA ..ATAU LEBIH KURANG..KECUALI AISYAH...ATAS SEBAB KEILMUAN..

INI SEBAB PERTAMA..

SEBAB KE-2..

DARURAT..
ISTERI TIDAK BOLEH MEMEBERI ZURIAT..

muslimdaryz.blogspot.com..

selamat berkunjung dan MAAF TIDAK BOLEH KOMEN DAN BERHUBUNG...

KAMI MENCARI PENYELESAIAN UMMAT...

BUKAN MENAMBAHBAIKKAN DAN MEMPERPANJANGKAN MASALAH...


SALAM.....

khalifah0606 said...

ralat..

DISUNNAHKAN

maaf..

SELAMAT DATANG KE PROJEK TRANSORMASI PERADABAN KEEMASAN....

ETR 2011

zanariz said...

Salam.
Saya seronok membaca nukilan kak ina yg penuh dgn hikmah..begitu menyentuh jiwa..

saya hanya ingin berkongsi sedikit cetusan rasa..di awal thn 2011 saya mendapat tahu suami telah berkahwin lagi sethn yg lalu..mmg saya tidak menjangka dia bersembunyi selama ini..dan hati begitu hancur lebur..mujurlah dia berterus terang, memujuk dan membantu saya..

Alhamdulillah..dari situ saya seumpama dikejutkan tentang kelalaian..kealpaan dlm menjalankan perintah Allah selama ini.. Saya banyak membaca buku2...terutama buku karangan Dr 'Aidh Abdullah Alqarni..antaranya Jgn Bersedih, Jadilah wanita yg paling bahagia.. di samping berusaha bangun malam dan membaca AlQuran setiap hari untuk memperolehi ketenangan dan kekuatan jiwa serta memohon keampunanNya.

Saya berusaha utk menjaga hati dan fikiran supaya tidak terlalu larut memikirkan yg tidak2..krn saya seorg yg suka berfikir itu ini..dan membuat sangkaan.. Saya cuba memandang dlm sudut positif krn suami saya tetap seperti dulu..cuma hanya dia sudah ada seorg lagi isteri.. Sesungguhnya inilah taqdir drNYa..mungkin ianya tidak disukai tp terselindung kebaikan.. Doakan saya supaya terus istiqamah dgn amalan dan terus dan terus mencari mardhatillah.

wassalam.

UmmuZ

zuraini khair said...

untuk mendapat syurga bukan nya mudah dan tidak sukar juga untuk mendapatkannya...,moga dimudahkan Allah

ummiraihan said...

Salam Ummuz,
Saya kagum dengan kekuatan anda. Sesungguhnya tiada suatu kebaikan yang kita lakukan tidak dinilai oleh Allah. Usaha anda dalam menjana kekuatan diri amat relevan dan insyaallah pasti Allah merahmati anda.Sesungguhnya kebahgiaan yang hakiki hanya....di syurga menanti. Berkat kesabaran dan redhanya anda atas qada' dan qadar maka Allah akan mengganjari anda dengan kebahgiaan yang tak terucapkan baik di dunia ini apatah lagi disyurga.... menanti.

UMMU NUH said...

maaf, saya ingin kongsikan maklumat yg baru saya dpt, saya hadir lagi ke sini namun dgn fikrah yang sedikit berbeza. saya baru mendapat tahu bahawa memohon cerai daripada suami kerana tidak mahu berpoligami bukanlah satu sifat tamak ingin memiliki. Ia fitrah insani. Ada yang rasa boleh berkongsi suami, ada pula yang rasa tidak mampu berkongsi, dan Islam meraikan kedua-dua fitrah ini dengan menyediakan contoh-contoh tauladan. Buat isteri yang mampu berpoligami, para isteri Nabi & sahabat menjadi contoh. Manakala, buat yg tidak mampu berpoligami lantaran rasa cemburu yg amat boleh menjadikan Fatimah r.a. sebagai contoh. Imam Bukhari RA berkata (hadis 5230): Qutaibah meriwayatkan kepada kami daripada Laits daripada Ibnu Abi Mulaikah daripada Miswar ibn Makhramah dia berkata, saya mendengarkan Rasulullah SAW berkata dari atas mimbar, "Sesungguhnya Bani Hisyam ibn Mughirah meminta izin untuk menikahkan puteri mereka dengan Ali ibni Abu Talib, maka aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan. Kecuali putera Abu Talib ingin menceraikan puteriku dan menikah dengan puteri mereka. Kerana dia adalah darah dagingku, membuat aku sedih apa yang menyedihkannya dan menyakitiku apa yang menyakitinya."

Dalam hadis sahih Riwayat Bukhari Muslim, Rasulullah sendiri menyuruh Sayidina Ali menceraikan Fatimah sekiranya mahu menduakannya. Dalam syarah Imam Nawawi, perkahwinan Ali dengan puteri Abu Jahal adalah harus tetapi Rasulullah SAW menegahnya kerana baginda takut agama Fatimah rosak akibat cemburu. Ada ulama mentafsirkan bahawa tegahan Rasul itu bagi meraikan hak Fatimah (yang merasakan poligami itu menyakitkannya). (Rujuk Fathul Bari, penjelasan ke-3).
Maka, hak isteri yang cemburu dan tidak mahu berpoligami patut diraikan sebagaimana hak isteri yang boleh berpoligami patut diraikan. Jadi kita tidak boleh menuduh isteri yang tidak mahu berpoligami dgn meminta cerai sebagai seorang yang tamak, kerana Fatimah r.a. adalah wanita terbaik namun lantaran bimbang agamanya rosak lantaran cemburu, maka cerai diminta andai Ali r.a. ingin berpoligami. Namun alhamdulillah, Ali r.a. tidak jadi berpoligami & terus setia bersama Fatimah r.a. hingga akhir hayat Fatimah r.a. Maka, ukhti Fatimah Syarha mencadangkan buat para isteri yang sememangnya tidak mampu berpoligami agar meletakkan syarat ta'liq agar diceraikan sekiranya suami berpoligami -sumber rujukan http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2011/05/islam-memahamimu-duhai-pengantin.html#comment-form

starry_angel said...

mohon share puan..mohon sesangat.. artikel yg sangat menarik

cilipadi said...

Asm.Ustazah.Saya baru terbaca artikel ini selepas saya buat carian mengenai poligami.Terima kasih atas pencerahan.Cuma saya nak beri input yg sedikit berbeza...selepas membaca artikel2 di blog dan juga majalah Ustazah,saya dapat merasakan ustazah menulis dalam konteks atau suasana yang 'ideal',mungkin kerana ustazah berada dalam suasana sedemikian.Artikel2 ustazah kemungkinan tidak sesuai untuk individu2 yang tidak berada dalam suasana yang sama...kurang ekonomi,kurang tahap ilmu,kurang sihat terutama psikologi,kurang islamik,etc.Saya mengandaikan seorang isteri yang berada dalam suatu hubungan yang 'abusive' samada kerana beliau atau suami ada masalah kejiwaan mengambil pengajaran2 ini dalam konteks yang tidak sesuai akan memburukkan suasana...Mereka mungkin berterusan akan bertahan berada di situ.Maaf jika ustazah terganggu dengan komen ini.

nhhas said...

Assalamualaikum wbt...

Puan, saya kagum... dengan penulisan ini... dan lebih kagum, puan telah redha sebelum ianya betul2 berlaku sekarang...
barakallahufikum...

Saya doakan semuanya berjalan lancar dan bahagia milik semua... Insya Allah...

cilipadi said...

ASM...maaf saya perlukan sangat jawapan yang ikhlas drp ustazah...poligami yang sedang ustazah hadapi sekarang kelihatannya menepati yang digambarkan oleh Allah dan rasulnya...Adakah ianya berjaya kerana ustazah,suami dan isteri baru berada pada jalan lurus seperti yang di kehendaki oleh Allah dan rasulnya?Tiadakah sesiapa yang dizalimi dalam konteks poligami yang ustazah sedang jalani?Maaf,saya memerlukan input drp ustazah untuk membantu saya dalam menghadapi isu poligami yang saya sedang alami...