3 November 2010

SOLATLAH ANAK-ANAKKU

Sekejap-sekejap saya meninjau ke anak tangga. Namun, kelibat Kak Long dan Kak Ngah masih belum terlihat di mata.

“Hmm…dah dekat pukul lima dah ni…” saya berbisik di dalam hati sambil mengerling sekilas jadual waktu solat yang ditampal di pintu bilik.

“40 minit lagi dah masuk maghrib…”saya mencongak-congak sendiri.

Di tingkat bawah, riuh rendah suara anak-anak bermain menerobos masuk ke cuping telinga. Sesekali tercuit juga mendengar telatah mereka berbual dan bergurau. Usik mengusik dan saling berbalas kata hingga banyak kali si kecil Solehah menangis akibat dikenakan oleh kakak-kakak dan abangnya, Khalil.

“Hmmm, asyik betul bermain….” Bisikan di hati bertemali.

Di luar rumah, suasana terang kian kelam. Siang pergi, malam pula mengambil ruang untuk mengabdikan ‘diri’. Bukti ketaatan yang tidak pernah culas kepda Pencipta Yang maha Suci.


MELENTUR BULUH

Biarpun saya dan suami tidak pernah dilatih untuk menunaikan solat ketika kecil oleh kedua ibubapa kami, namun melihat kepada perkembangan kurang sihat di kalangan generasi hari ini, juga tatkala menerima sekian banyak luahan diri, masalah peribadi, pergolakan keluarga, keruntuhan rumahtangga dan seumpamanya yang melibatkan individu-individu yang bermasalah dalam pelaksanaan solat mereka; kami menyimpulkan bahawa penekanan solat sememangnya penting agar kefahaman di sebalik pelaksanaan ibadah solat yang sempurna mampu menatijahkan manfaatnya iaitu sebagai benteng kepada sebarang perlakuan buruk, seterusnya mengukuh jatidiri seorang mukmin bertaqwa dari menghampiri sebarang aktiviti maksiat dan berterusan dalam dosa.

Firman ALLAH SWT :



Maksudnya : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al Ankabut ayat 45 )

Kerana itu, saya dan suami meyakini bahawa semua itu dapat dicapai dengan memulakan didikan solat kepada anak-anak sejak kecil lagi, iaitu bila mereka sudah mula menunjukkan minat meniru setiap geraklaku ibu bapa yang biasanya terjadi seawal usia dua tahun lagi.

Melentur buluh biar dari rebungnya, demikian nasihat orang-orang dahulu kala.

Sungguh! Ada relevannya.

Sebelum anak-anak mencecah usia 7 tahun, saya dan suami sendiri bermula hanya dengan ‘mengajak-ajak ayam’ anak-anak agar mereka mahu untuk solat bersama, menghampar sejadah dan memakaikan tudung agar mereka merasa teruja untuk mengikuti pergerakan-pergerakan yang ada di dalamnya.

Betul atau salah cara mereka menunaikan tiang agama itu dari sudut perbuatan, bacaan mahupun bilangan rakaat solat yang ditunaikan pada ketika ini bukan menjadi persoalan kerana objektif utama hanyalah untuk menanamkan minat dan memperkenalkan anak-anak kepada ibadah solat.

Tidak perlu menggunakan kuasa ‘veto’ ibu bapa untuk memaksa anak-anak melakukannya kerana sebarang perkembangan kemampuan anak-anak melakukan gerakan solat akan berlaku hasil dari kematangan proses belajar yang diberikan. Pengalaman dan pelatihan yang berterusan sebenarnya mempunyai pengaruh kepada mereka, bermula dengan didikan asas sejak kecil dan ia akan berkembang selaras dengan pertambahan usia mereka.

Seterusnya, setelah usia anak-anak mencecah 7 tahun ke atas, barulah suami meminta saya untuk mengajar anak-anak berwudu’ dengan cara yang betul, menyemak bacaan solat mereka terutama bacaan-bacaan yang dikategorikan sebagai rukun solat seperti al Fatihah dan tahiyyah, sementara s
emakan lebih serius dan 'digeruni' oleh mereka dilakukan sendiri oleh suami setiap kali selepas solat maghrib.

Manakan tidak, rotan juga 'disediakan'.

Selain itu, kami juga membelikan mereka pakaian solat sebagai satu ransangan dan motivasi yang akan menghadirkan perasaan gembira untuk menunaikan solat bersama-sama.


HUKUMAN

“Abang, kak Long kak ngah belum solat Asar lagi. Dah masuk waktu Maghrib ni. Asyik sangat bermain la tu, sampai lupa waktu,” lapor saya kepada suami di bilik studi.

Seperti biasa, tanpa banyak bicara, suami bingkas bangun dan mengambil penyangkut baju di belakang pintu. Saya hanya memandang. Telah maklum apa yang akan berlaku sebentar lagi.

“Kak long, kak ngah..naik atas kejap.” Dari dalam bilik studi saya mendengar suara suami memanggil. Sejurus, kedengaran bunyi tapak kaki berlarian mendaki satu demi satu anak tangga.

“Dah solat Asar ke belum?” Tanya suami. Tegas. Saya mencuri-curi pandang dari balik daun pintu bilik studi. Terlihat wajah anak-anak menekur lantai anak tangga. Jawapan balas yang diberi juga sayup-sayup masuk ke cuping telinga saya. Lemah. Nada orang bersalah.

“Hulur tangan,” arah suami. Masih tegas dan menggerunkan hati anak-anak yang mendengar. Suami memukul tapak tangan kedua-duanya. Dua kali setiap seorang. Wajah kak long muram. Kak ngah juga demikian.

Pukulan yang tidak begitu kuat, tidak melukakan tetapi cukup sebagai pengajaran dan diharap tersemat kukuh di dalam ingatan.

“Ambil wuduk sekarang.. qada’ solat asar.” Arahan suami masih belum selesai. Kak long dan kak ngah menurut perintah. Saya memandang suami. Suami juga melihat ke arah saya. Kami saling berpandangan. Penuh makna.

Kami sentiasa memikirkan bagaimana sensitiviti anak-anak di luar pandangan dan ingatan kami, adakah mereka akan kekal patuh dan ingat kepada tanggungjawab mereka?


GALAKAN DAN CEGAHAN

Sememangnya melatih dan mendidik anak-anak untuk melazimi solat fardu yang lima bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, konsentrasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapa. Baik suami, juga isteri, kedua-duanya perlu saling bekerjasama dan tidak bertelagah dalam menentukan corak didikan terhadap anak-anak.

Amat membimbangkan apabila saya pernah membaca di dada akhbar beberapa tahun dahulu, peratusan umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah solat fardu lima waktu dengn sempurna. Laporan tersebut merupakan hasil kajian seorang pakar motivasi terkenal tanahair, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Justeru itu, saya dan suami bersetuju untuk melaksanakan peraturan baru dalam didikan solat anak-anak kami terutama kepada kak long dan kak ngah yang telah menjangkau usia 9 dan 11 tahun pada tahun ini.

Jika ketika mereka kecil, saya dan suami hanya mengajak dan memberi galakan, tetapi sebaik sahaja mereka melangkah usia mumayyiz, kami mahu melihat keinginan untuk solat itu bukan terhasil dari suruhan atau perintah ibu bapa, sebaliknya ia hadir dari kesedaran mereka terhadap penunaian solat sebagai satu kewajipan yang mesti dilaksanakan ke atas setiap muslim yang taat kepada TUHAN ar Rahman.

Peraturan tersebut ialah kami tidak lagi mengingatkan mereka setiap kali waktu solat tiba. Pada tahap ini, saya dan suami cuba untuk menyemai mujahadah ( kesungguhan dari diri sendiri ) pada diri anak-anak agar pemahaman dan ilmu yang ada tentang solat dapat diakui oleh hati.

Tambahan lagi waktu solat di UK ini yang sering berubah-ubah mengikut musim, menyebabkan perlu sentiasa peka dan berawas sentiasa dengan masa. Berbeza dsekali dengan waktu solat di malaysia, waktu di sini boleh berbeza 1 - 6 minit setiap hari. Lebih megelirukan apabila waktu diawal dan dilewatkan sejam kerana perubahan musim panas dan sejuk. Bukan anak-anak sahaja yang keliru, malah orang dewasa yang baru sampai ke UK juga begitu.

Untuk lebih membantu anak-anak tanpa meninggalkan mereka begitu sahaja, suami menampal jadual waktu solat di pintu bilik mereka. Jika masih leka dengan bermain dan sebagainya, sehingga solat tidak ditunaikan di dalam waktunya, maka kami akan mengenakan hukuman ringan sebagai satu pelaksanaan kepada gesaan dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :


“Suruhlah anak-anakmu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun..” ( Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud )


POHON PENILAIAN

“Cuba kak long, kak ngah tengok gambar ni.” Saya berkata sambil menghulurkan dua keping gambar tidak berwarna kepada mereka.

Kak long dan kak ngah segera mengambil dan mengamati gambar-gambar yang diberikan.

Gambar pertama merupakan lakaran sebatang pohon dengan tujuh dahan yang dipenuhi lima helai daun dan sebiji buah pada setiap satunya, manakala gambar kedua, juga merupakan lakaran sebatang pokok tetapi lebih besar dengan dahan yang lebih banyak dari yang pertama.


“ Ni untuk apa Ummi. Ala, dalam bahasa arab. Kak ngah tak faham..” balas kak ngah sedikit mengeluh tatkala melihat tulisan yang tertera pada gambar di hadapannya bukan di dalam bahasa melayu atau inggeris.

“Apa kak long, kak ngah kena buat dengan pokok-pokokni Ummi?” kak long pula menyoal. Tergambar keterujaan pada riak wajahnya.

“Ini jadual penilaian namanya, untuk solat fardu, subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak...cukup lima kali sehari semalam, tapi dalam bentuk sebatang pokok. Gambar pokok yang pertama ni untuk penilaian seminggu, yang kedua ni pula untuk sebulan,” saya menjelaskan.

“Dengan pokok’ ni kak long dan kak ngah boleh tengok bagaimana penjagaan solat sehari-hari. Adakah dah jaga masa solat dengan baik atau tidak. Cuba tengok ni...” saya mengarahkan tumpuan ke bahagian bawah helaian tersebut.

Di situ tertera panduan mudah bagaimana pokok penilaian itu diaplikasikan.

“Kalau kak long, kak ngah solat awal waktu, tak lewat atau terlepas, daun pada dahan ini kak long dan kak ngah warnakan dengan warna hijau. Kalau lambat atau dah habis waktu, baru nak solat…warna daun diwarnakan dengan kuning. Kalau banyak daun hijau, itu tandanya solat kak long, kak ngah bagus. Tambah pula dengan gambar buah-buah ni yang diwarnakan dengan warna merah kalau kak long dan kak ngah ada buat perkara-perkara baik.

Wah! Tentu cantik pokok kak long dan kak ngahkan?” jelas saya lagi.

Kedua-duanya tersenyum-senyum senang hati.

“Kalau kita tengok pokok yang daunnya warna hijau, kan cantik. Segar je. Orang lain pun boleh duduk di bawahnya ketika panas sebab redup. Berbanding pokok-pokok yang daunnya warna kuning…tanda layu dan nak gugur. Lama-lama tak ada daun, tinggal batangnya je…” tambah saya panjang lebar.

“Haah…macam daun-daun masa autumn kat UK ni kan Ummi…” kak long tersengih menampakkan gigi. Saya menganggukkan kepala mendengar kata-katanya.

“Dan lagi, bila habis je seminggu dan ummi tengok ‘pokok penilaian ‘solat kak long kak ngah penuh dengan daun-daun hijau, ummi akan beri setiap seorang 50pence (= RM 2.30) sebagai hadiah. Simpan dalam tabung tau…but please don't forget, kak long dan kak ngah perlu jujur dengan diri sendiri....macam tadi, tak bohong bila ayah tanya dah solat asar atau belum.

Walaupun kak long dan kak ngah dah tahu, kalau lewat dan tertinggal waktu solat kena hukum. Orang yang solat, sentiasa berusaha bercakap benar. Apa hadis yang kak long, kak ngah hafal tu?" saya mengambil kesempatan menduga ingatan kedua-duanya.

"عليكم بالصدق , always be truthful.." jawab kedua-duanya serentak.

"Alhamdulillah. Be honest ok,” saya mengakhiri kata-kata sambil menghadiahkan senyuman manis buat anakanda berdua.

Dalam pada itu, saya teringat suami pernah membuat kejutan selepas merotan keduanya kerana terlepas waktu solat, namun kemudian menganugerahkan £2 kepada mereka sebagai penghargaan bercakap benar. Lebih-lebih lagi, saya baru sahaja memaklumkan kepada suami bahawa keduanya sangat ingin membeli buku cerita sempena pesta buku di sekolah.

Kelihatan terubat kesedihan mereka dengan anugerah yang tidak disangka itu.

"Ingat.. lain kali kalau tertinggal solat, kena rotan..kalau cakap benar pun tak ada hadiah lagi tau" tegas suami kepada mereka.


MENJAGA FITRAH

Sesungguhnya tiada sebab lain dari semua yang saya dan suami lakukan di atas melainkan ia adalah sebagai satu usaha dari saya dan suami untuk menjaga fitrah anak-anak agar tidak terpengaruh oleh hal-hal negatif sebagaimana maksud dari sabda baginda SAW yang lain :

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ( suci ). Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi “. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Setiap ibu bapa seharusnya menginsafi bahawa melalui metod latihan solat yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan mungkin wang ringgit ini, ia tidak lebih adalah sebagai langkah awal untuk memperkuat fitrah ilahiyah yang wujud sejak azali di dalam diri setiap manusia. Ia disubur dan dikembangkan melalui pelaksanaan lima rukun islam yang disyariatkan oleh ALLAH SWT di mana salah satu darinya ialah ibadah solat fardu yang lima.

Untuk itu, usaha selanjutnya harus dikembangkan kepada kesedaran untuk meningkatkan kualiti solat, sehingga dengannya, ia mampu mencegah anak-anak dari perbuatan keji dan mungkar. Kualiti ini secara lahiriahnya terungkap dari bagaimana nilai-nilai solat itu ‘hidup’ dalam diri individu yang mendirikannya. Mereka yang solat dengan pelaksanaan yang benar, akan mampu menjaga waktu, memiliki taqwa kepada ALLAH dengan menjaga tingkah laku, memelihara lidah dari berkata yang sia-sia dan menipu, serta merasakan pengawasan ALLAH pada setiap ketika, walau di mana mereka berada.

Andai iman itu seumpama akar tunjang bagi sepohon pokok, maka solat pula diibaratkan sebagai batangnya.

Syari’at Islam yang syumul tidak akan dapat disempurnakan sebaiknya jika solat tidak didirikan. Justeru itu solat berperanan sebagai tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama.

Benarlah sabda baginda junjungan yang maksudnya :

"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi." (Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).


SOLATLAH ANAK-ANAKKU

“Ummi, ummi…tadi kat sekolah Kak Ngah dah cakap pada Miss Bodycote…” Petang itu, sebaik selesai mengerjakan solat Zohor dan Asar, Kak Ngah menyapa saya yang sedang membasuh pinggan dan mengemas dapur.

Mendengar kata-katanya, saya menoleh. Selalunya bila Kak Ngah berbicara tidak jelas sebegitu, dia mahu berbual dan bercerita.

“Kak Ngah cakap apa pada cikgu?” saya menyoal. Menurut agakan saya, tentu perkara yang dibicarakan itu hanya berkaitan kerja-kerja sekolahnya sahaja. Akan tetapi…

“Pasal solat la Ummi..” Kak Ngah menjawab.
“Solat?” Saya mengerutkan dahi.

“Ye la Ummi…sekarang kan waktu sembahyang dah cepat…jadi Kak Ngah pun cakaplah pada cikgu Kak Ngah : Miss Bodycote, the time to pray for muslim is getting early, so we don’t want to miss prayer, we need a place in school to pray , in a clean place, we will bring our praying mat to school. “ Kak Ngah bercerita sambil penuh ekspresi memek muka.

Saya tersenyum tanpa bicara. Seungkap kalimah tahmid merecup indah menyelimuti jiwa.

Sekalung doa menyusul ke hadrat Yang Maha Esa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”(Surah Ibrahim ayat 40 )

Solatlah anak-anakku....

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

44 comments:

MKay said...
This comment has been removed by the author.
Nana Aziz said...

mohon share ye..;)

Fazlinil Irma said...

Alhamdulillah. artikel yang ditunggu sudah pun keluar.

Membaca entry kali ini dan akan datang akan menjadi lebih bermakna sebab boleh gambarkan bagaimana Kak Ina dan Ustaz mendidik anak-anak.

Sungguh, saya kagum. Moga Allah juga berikan kekuatan dan kesabaran pada saya untuk mendidik anak-anak kecil di sini.

Zana's sanctuary said...

Syukran ustazah. Panduan yg sgt berguna utk mendidik anak-anak solat. Walaupun blm ada cahayamata sendiri tapi dpt sy jadikan panduan utk mendidik anak2 buah dan jika diizin Allah, bila punya anak sendiri nanti.

ratna said...

salam kak ina,

saya suka :)
saya sedang berfikir2 mcm mana nak bagi solat tu seronok untuk anak saya. memang bercadang nak lukiskan apa-apa gambar dan minta dia warnakan setiap kali dia berjaya solat. tapi masih tak ada idea nak lukis apa. nampaknya kak ina dah bagi saya idea! syukran jazilan kak ina... :)

Sri Mulyati said...

Assalamualaikum...artikelnya bagus2 bolehkan aku izin copi utk dibagi2 keteman2ku...syukron

Asiah yusro said...

assalamualaikum kak... saya tidak tahu mengapa saya menangis baca tulisan akak ni.... syukur alhamdulillah... mungkinkerana saya teringat zaman silam saya dulu yang tak jaga solat dan ALLAH masih bagi peluang kepada saya... alhamdulillah... melihat cara akak dan ustaz mendidik anak anak.... subhanALLAH... mengalir air mata saya ... terima kasih atas bimbingan melalui tulisan.... saya rasa ditarbiyah

Ana_ummu said...

Alahmdulillah....nk menangis bila baca part akhir tu...semoga ank saya pun begitu juga kelak...menjadi solehah dan menjaga solat dengan sempurna...amin:)

atyn3168 said...

saya juga mohon keizinan utk share ..sangat bermanfaat untuk semua.

left-handed girl said...

alhamdulillah. :) sungguh bermakna post akak ne.. sy mohon utk share ye (:.

tena said...

mohon share jugak

Min said...

terima kasih untuk kesekian kalinya kak ina...

Huda said...

Terima kasih k.husna atas perkongsian, teringat zaman kecil, ayah, mak n kakak2 selalu solat jemaah kat rumah then saye n adik yang umur sekitar 4 5 tahun turut solat.. bab pakai tudung pun same, mula2 rasa nak pakai tudung sebab tengok mak n kakak2 pakai tudung, then bila belajar baru faham kenapa perlu buat semua tu..

perindu ilahi said...

Slm, ustazah.ana dpt banyak sgt ilmu tuk didik anak-anak. w/pun ana blm agi brkahwin, tp ana bhasrat nak jd cam ustazah n ustaz utk hari kelak.sgt berhemah dlm mndidik anak.i.allah..barakallahufik..=)

ALI MD TAIB said...

Memang menduga kesabaran kita bila menyuruh anak2 solat..Ya Allah KAU tabahkan la kamidlm mendidik anak2..

F-H said...

artikel ni mmg sangat terkesan dalam hati especially part yg akhir...
terima kasih byk2 pd ummu husna..saya mohon utk share artikel ni utk panduan diri,keluarga dan rakan2...
semoga Allah memberkati usaha dakwah yang dilakukan ummu husna...

almukhlis_su said...

Assalamualaikum,perkongsian yg menyentuh perasaan,terutama pd kata-kata Kak Ngah kpd Miss Bodycote.Terkesan sehingga tak sedar titisan jernih mengalir dari mata..walaupun belum berumahtngga,sy jdkan sbg panduan dan berhasrat agr dlm rumtnga sy kelak jga demikian dimana suami isteri memain peranan utama dlm mdidik anak2 t'utama solat.memberi dan terus memberi dan sy akan terus mencari dan mencari.Terima kasih Kak Ina ats perkongsian.

Ummi Hajjah said...

Salam.Tentang merotan ni betulke merotan anak2 patut dilakukan di tapak kaki dan bukan di tangan. Katanya bila dipukul di kaki..deria rangsangan akan teruja hingga ke otak lantas memberikan reaksi yg lebih signifikan. Boleh Ina tolong semak semula fakta ini sebab akak dengar ni dari ustazah anak2.Wallahualam.

am0i Ida said...

Salam..

Jazakillah kak ina kerana meberikan tips dan panduan berguna...

Memang mencabar mendidik anak solat tetapi tidaklah sesukar mendidik orang dewasa...

Anak ida juga selalu tarik tali apabila diajak bersolat tapi adakalanya tanpa disuruh mereka meminta izin untuk solat pula...terasa ada juga hasilnya walaupun sedikit..

Boleh diaplikasikan gambar pokok tu agar anak2 lebih minat untuk mendirikan solat...

Mudah-mudahan hati dan jiwa mereka selalu dekat dengan Allah apabila mereka rajin ikut kita bersolat

Fazilah said...

mohon share ye.....

support@safiudin.com said...

salam,

terima kasih perkongsian n3 ini.

terkadang pelbagai karenah anak2 yang kita senditi tidak jangka kan.

qudwaH_Humaira' said...

mohon share ustazah.

IMAN said...

jazakallah kak ina,
sy sedang mencari tip2 begini utk bekalan anak2 yg makin menjejak ke alam persekolahan.
alhamdulillah boleh ditiru tip2 yg best ni..

suzi

Ummu Noor said...

Terima kasih Kak Ina...

Moga anak-anak ini akan mengerjakan solat ikhlas kerana Allah SWT dan faham tentang kewajipan menunaikannya. Bukan kerana takut dimarahi oleh kita (ibu bapa).

Moga Allah membantu kita dalam mendidik anak menjadi anak yang soleh dan solehah.

aby said...

salam ziarah dari aby,
entri yg menarik,

klu boleh jgn la tergolongan dalam org2 yg ketika kakinye melangkan memasuki syurga, tiba2 ade nak menarik dari belakang...

yg menarik itu adalah kelalaian kite membentuk anak dan isteri kite bersolat ..

tertangguh la kite utk masuk kesyurga ...

semut merah said...

Jazakallah ukhti..saya juga tercari-cari formula bagaimana nak menyuruh anak solat dengan sempurna dan tanpa perlu paksaan setiap masa. Umurnya menjangkau 9tahun tetapi jika disuruh solat..byk alasan. Kalau saya di bawah dia akan lari naik atas. Begitulah sebaliknya dan kadang2 terlepas pantau sebab kesibukan kerja2 rumah selepas balik dari pejabat. Insyallah akan terus usaha dan berdoa.

Noraslina binti Jusin said...

Salam, semua :)

Alhamdulillah, terima kasih atas respond, perkongsian pandangan dan pengalaman dalam mendidik anak-anak mengerjakan solat.

Memang bukan mudah, perlukan kesabaran dan kerjasama yang baik antara satu sama lain. Jika di rumah, ibu bapa berperanan. Jika di sekolah, guru-guru pula mengambil tanggungjawab ini.

Bahkan, di dalam al Quran, ALLAH SWT sendiri menyebut pentingnya sifat sabar dalam mendidik ahli keluarga untuk solat. Firman-NYA :

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya : Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

( Toha 20:132 )

Noraslina binti Jusin said...

Kepada yang meminta untuk share artikel ini, dipersilakan :)

Yang baik dari-NYA jua. Semoga kita semua beroleh manfaat.

Noraslina binti Jusin said...

IRMA : Alhamdulillah, yang baik dari ALLAH jua Irma.

Ambil yang baik dari apa yang Irma lihat ye...dan tinggalkan sebaliknya. Tiada antara kita yang sempurna, baik kak ina atau ustaz, kami juga masih belajar dan akan terus belajar untuk mendidik anak-anak.

Semoga ALLAH SWT membantu.

Doakan kami :)

sharizah said...

Salam K Ina..
Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi, perkenalan dgn seorang rakan di ofis telah menemukan saya dgn blog K Ina ini.Kejahilan lampau membuatkan saya hidup terumbang-ambing sekian lama. Namun, apabila membaca catatan2 yg K Ina loretkan di dlm blog ini, seakan2 membawa sinar baru dlm kehidupan saya.Betapa jauhnya saya dr kehidupan yg diredhai Allah selama ini. Betapa bnyknya dosa yg telah saya lakukan. Sesungguhnya kini saya bersyukur, saya bertemu insan2 yg secara langsung/tak langsung yg dpt mmbantu saya utk terus mencari Nur Ilahi.. K Ina, terima kasih di atas segala ilmu yg K Ina & suami share kan bersama kami...semoga hati ini akan terus berusaha utk mendekati kehidupan Islam buat bekalan kehidupan nun di sana.

satu said...

Salam kak Ina,

Ya Allah rindu rasanya untuk membaca cerita-cerita sebegini lagi dari kak Ina. Buat beberapa ketika ini,saya agak mengejar masa...tapi setelah membaca 'sharing' kak Ina tentang didikan solat ini...rasa tenang di hati.

Memang asas didikan solat penting untuk diterapkan sedari kecil. Alhamdulillah kak Ina dan UZAR telah menunjukkan teladan yang baik buat mereka. Kak Long dan kak Ngah pula semakin matang pemikirannya dengan penegasan sebegini masyaAllah.

-ibunoor-

PutraRocker said...

solehkan diri insyaAllah yg solehah menanti..wooot3 o_O

ummu said...

assalamualaikum kak aslina
masyaAllah,akak sediakan sekali rajah.bolehkah saya print untuk anak saya? (umur 6 tahun)

akak,saya fikir pendekatan akak ini boleh dijadikan modul untuk Motivasi solat.

kebetulan ada beberpa pelajar saya yang tidak istiqamah dan ada yg tidak tahu solat, bolehkah saya mohon izin akak untuk saya print dan berikan kepada pelajar saya?

syukran ya kak.
wassalam

Pengejar Pencipta said...

Alhamdulillah...begitulah harapan kita agar generasi yg akan dtg lebih hebat keimanan & ketakwaan mereka...InsyaAllah.

free adsense article said...

Assalammualaikum


Saya menggunakan teknik pacing and leading di dalam mendidik anak untuk solat.

Pacing and leading digunakan di dalam menjemput mereka solat bersama saya. Bukan mengarahkan mereka solat.

Saya praktiskan dengan anak saudara juga. Kesannya Alhamdulillah.

Simple tetapi anak dan anak saudara sekecil umur 4 tahun bangun solat apabila mendengar azan malah mereka pula mengajak ibu bapa solat bersama.

Jiwa Positif Hidup BerTuhan
Fuad Latip
http://www.fuadlatip.com

Nama: husnadiasofeaulfa said...

salam,

waktu selesai solat zohor tadi, dan selepas menyuruh kak long solat, tiba2 terlintas di fikiran saya zaman kanak2 dulu semasa mula belajar solat. Saya ketika itu bersolat kerana ibu-ayah suruh dan akhirnya menjadi kebiasaan sehingga usia remaja dan takut sangat jika tertinggal. Tetapi roh solat ketika remaja belum terasa. Hanya apabila sudah dewasa, barulah roh itu terasa walaupun agak lalai sikit. Bagaimana utk. menanamkan roh solat di dalam jiwa anak-anak, sekurang-kurangnya yang berusia remaja...

zeera said...

Salam Ina,

Kak zira mohon share entry ni di FB kak zira. Kak zira kagum dengan kesabaran Ina serta Ustaz dalam mendidik anak2 menjaga solat. Kaedah yg Ina gunakan bagi menggalakkan anak2 memelihara solat memang kreatif serta ia menunjukkan kebijaksanaan Ina sebagai seorang ibu. Tahniah.

idah azim said...

salam ustazah.. Alhamdulillah dapat ilmu dan tips mendidik anak bersolat yg sy cari2...kagum dengan kesungguhan ustazah mendidik anak2. sy mohon tuk copy gambar pokok tu ye...anak sy masih kecil baru setahun 3 bulan...tp pokok tu untuk sy menilai solat sy sendiri...insyaAllah akan sy praktikkan pula bila anak sy dah besar nanti...boleh ye ustazah...

amintj said...

salam, artikel yang baik. Alhamdulillah, btuah rsa diri ini sbg slh seorang pembacanya. :-)

maizatul hasniah said...

salam...tahniah! artikel yg menarik.

Bistradenet said...

Assalamualaikum ustazah, mohon share maklumat ini di blog saya http://www.citrapena.blogspot.com.

Terima kasih.

kuzer said...

salam.sy nk share sikit pengalaman sy tika kecil2 dulu. fisrt time sy cukup solat 5 waktu adalah tika sy darjah 2..asalnya adalah kesan drpd ajaran seorg ustaz..ustaz bercerita tentang kasih-syg kpd ibubapa.kata ustaz, jika anak2 semua syg kat mak/ayah, anak2 perlu membuat kebaikan; kerana jika kita berbuat kebaikan, Allah akan balas dgn pahala.selagi kita belum cukup umur (baligh), semua pahala tersebut Allah akan kasi kpd mak/ayah kita....so, bermula drpd hari tersebut, sy cukup solat 5 waktu,selalu baca alquran,byk berbuat baik, belajar rajin2...pd tika itu, sy buat baik adalah kerana sy sayang akan mak/ayah..tp, bila dh masuk darjah 4 gitu, br sy faham tentang kewajipan kita sbgai seorg muslim, kita perlu solat, puasa, dan sbgainya..:)..pd pendapat sy, utk mendidik anak2 kecil, kita hanya perlu bercerita apa yg ada kaitan dgn diri anak2 tersebut..bila dh umur dlm 10 thn gitu (mcm anak2 ustazah), br la kita isikan dgn sebab2 kenapa kita (muslim) perlu solat atau sebagainya.

dino said...

tqvm, ilmu yg sgt bernilai. minta share

Destinasiku said...

terima ksh utk panduan yg diberikan. mntk izin share ilmu ini.