KITA YANG BERNAMA MANUSIA


“Adik, jom mandi,” saya memujuk Solehah. Seperti biasa, Solehah menggeleng kepala. Bibir merahnya dicebekkan tanda tidak suka. Saya faham, dia keberatan.

Saya merapati Solehah. Cebekannya semakin ketara.

“Ala..mandi ya. Nanti Solehah bersih, wangi, cantik..” saya memujuk lagi beserta kata-kata pujian. Tapi, Solehah tetap bertahan. Tidak berganjak dari tempat duduknya. Bila-bila masa sahaja, riak ‘mendung’ di wajahnya bakal menurunkan hujan air mata.

Melihat itu, saya diam sebentar. Memikir-mikir cara lain yang boleh diguna untuk melembutkan hatinya. Tanpa begitu memaksa.

Oh! Ya! Saya teringat sesuatu di minda.



UMPAN
“Solehah mandi ya. Lepas mandi Ummi beri gula-gula.” Kali ini, saya memujuk dengan sedikit ‘imbuhan’ sebagai ‘umpan’. Jika tidak, tentu semakin sukar pujukan saya.

Mendengar perkataan gula-gula, wajah murungnya berubah ceria. Solehah bingkas bangun tanpa dipaksa. Saya pula yang menggeleng kepala melihat telatahnya.

Begitulah kebiasaan yang berlaku setiap kali saya mengajak Solehah mandi. Jika tidak diumpan dengan gula-gula atau makanan lain yang digemarinya, ajakan saya sukar berjaya.

Padanya, mandi bukan satu aktiviti yang menyeronokkan. Ditambah pula dalam cuaca dingin seperti ini, walaupun pemanas elektrik telah dihidupkan, kesejukan selepas ke bilik air, boleh menggigil seluruh badan.

“Ha..kan dah cantik..wangi lagi,” saya memuji Solehah sebaik selesai menyisir rambutnya yang halus.

“Adik cantik,” Solehah mengulangi pujian kepada dirinya. Saya tersenyum.

Sejurus, saya dan Solehah turun ke ruang tamu. Janji perlu ditepati, kata harus dikota. Tiga biji gula-gula pelbagai rasa saya berikan kepadanya. Solehah tertawa gembira sambil memeluk anak patung kesayangannya.

TENTANG HATI
Saya melirik jam di dinding. Masih berbaki lebih kurang sejam sebelum anak-anak pulang.

Sementara Solehah, masih leka bermain anak patung dan kereta. Lalu, kesempatan yang ada saya gunakan untuk menjengah ke ruangan komentar di blog ummuhusna99 dan akaun Facebook saya. Masih banyak komentar dari pengunjung dan mesej daripada beberapa kenalan yang belum saya jawab.

Sebaik membuka kotak pesanan Facebook, saya tertarik membaca satu pertanyaan dari seorang teman :

“Bagaimanakah selayaknya untuk seseorang itu bertindak bagi mengelak maksiat dalam hatinya, setelah segala amal-amal pencegahan seperti baca Al-Quran, zikir, solat malam telah dilakukan... namun hasilnya, maksiat masih membelenggu akal fikiran. Apakah caranya lagi, kak?

Moga perkongsian dari akak, dapat memberikan pencerahan kepada hati-hati yang ketagih ilmu.”


SUKARNYA MENJAGA HATI
Termenung seketika memikirkan persoalan darinya. Saya akui, menjaga hati sebagai ‘rumah’ bagi jasad luaran bukan suatu tugas yang mudah.

Syaitan dan iblis yang begitu konsisten dengan kerjayanya untuk menyesatkan manusia, sentiasa memiliki teknik dan taktik yang licik dan cerdik. Kekuatannya akan bertambah dengan bantuan dan kerjasama nafsu ammarah yang selalu mengajak kepada keburukan dan kebinasaan.

Sungguhpun telah melakukan kebaikan dan amal soleh, tanpa pengawasan dan sikap berjaga-jaga seseorang itu dengan mudah boleh terjebak ke dalam perangkap dosa tanpa disedarinya. Dosa hati yang mengundang penyakit yang akan memusnahkan amalan. Penyakit riak, ‘ujub, sum’ah dan pelbagai lagi hasil tusukan halus jarum hasutan Syaitan laknatullah.

Lantaran itu, pada saya, hati yang sihat sempurna ialah hati yang dipenuhi oleh nilai ibadah yang benar iaitu melakukan setiap suruhan dan perintah hanya kerana Allah. Hati sebegini mampu memahami manfaat dan hikmah dari sesuatu perintah Allah. Tidak menambah atau menguranginya.

Mengerti dengan kesedaran yang amat dalam, bahawa perintah yang dilakukan bukan kerana menjalankan tanggungjawab sebagai hamba semata-mata, tetapi lebih dari itu, merasai ghairah dan kenikmatan dalam melaksanakan suruhan Yang Maha Esa.

BUKAN MINTA BALASAN
Menyebut tentang ini, saya teringat kepada perbualan bersama Kak Long dan Kak Ngah, usai solat berjamaah bersama.

“ Kak Long, Kak Ngah..Ummi nak tanya, kenapa Allah perintahkan kita solat, puasa, baca Quran, berzikir dan sebagainya?” saya bertanya.

“Allah suruh solat, puasa dan lain-lain sebab nak balasan ke ?” saya menambah tanya.

“Taklah, Ummi. Allah nak kita jadi orang baik la,” jawab Kak Ngah mendahului Kak Longnya.

“Kalau tak solat dan buat ibadat? Allah rugi ke?” sekali lagi saya mengasak anak-anak dengan soalan yang menguji minda mereka.

“Kitalah yang rugi, Ummi,” balas Kak Long pantas.

“Bagus..betul tu. Allah tak rugi apa-apa kalau manusia tak mahu beribadah dan taat kepada-Nya. Tetapi yang rugi adalah manusia sendiri. Allah sentiasa mendengar dan melihat, manusia sahaja yang menjauhkan diri dengan berbuat maksiat.

Kekuasaan Allah tidak bertambah sedikitpun walau semua manusia mengerjakan perintah-Nya. Dan kemuliaan Allah sebagai Tuhan sekelian alam tidak akan berkurang sedikit pun, walau seluruh manusia melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Semua itu sama sekali tidak akan menambah apapun bagi Allah,” saya menjelaskan penuh keinsafan.

“Apa yang perlu kita faham, Allah perintahkan solat, puasa dan ibadah lain bukan sebagai balasan kepada apa yang telah diberi-Nya kepada kita, tetapi semua itu sebagai salah satu bentuk kasih sayang Allah kepada kita,” saya menambah bicara.

MATANGKAN IBADAH
Memang benar, Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Kaya, dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya menawarkan manusia peluang untuk meraih redha dan maghfirah ( keampunan ) daripada-Nya.

Perintah dan gesaan agar manusia melaksanakan ibadah yang benar, bermujahadah ( bersungguh ) melawan nafsu yang membuat onar, bertaubat dari segala khilaf dan salah, tujuannya adalah supaya kelak kita kembali kepada-Nya bersama jiwa mutmainnah ( tenang ). Bersih dari noda dan dosa sebagaimana ketika lahirnya kita ke dunia.

Firman Allah SWT :
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةًفَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي

Maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku.” ( Surah al Fajr ayat 27 – 30 )

Justeru itu, dalam usaha meraih hati yang sihat sempurna, antara perkara pertama yang boleh dilakukan ialah dengan mematangkan ibadah yang dilakukan seharian. Matang, dalam ertikata tiada maksud dunia yang berselindung disebaliknya.

Solat wajib dan sunat yang didirikan bukan kerana inginkan kekayaan dan pangkat, sedekah yang dihulur bukan untuk meraih pujian masyarakat, puasa yang dilaksanakan bukan semata-mata kerana ingin cantik dan sihat, tetapi semua itu dilaksanakan adalah semata-mata ikhlas kerana Allah yang Maha Hebat.

UMPAMA ANAK KECIL
“La, dah tidur..” saya berkata tatkala menoleh kepada Solehah yang sudah pun melabuhkan tubuhnya ke sofa berhampiran. Tenang dan damai melihatnya.

Terimbas kembali kesukaran memandikan Solehah. Betapa kerdilnya saya untuk memahami bahawa setiap yang berlaku di hadapan mata sebenarnya adalah satu bentuk pendidikan dari Allah buat saya menilai diri.

Betapa anak yang masih kecil tidak memahami kebaikan dari mandi untuk kesihatan tubuh dan kebersihan diri, sehinggalah diumpan dengan gula-gula atau makanan kegemarannya, barulah dia mahu mengikut ajakan saya.

Begitulah perumpamaan ibadah yang belum matang. Laksana kanak-kanak yang memerlukan umpan!

Pelaksanaannya hanya kerana tertarik dengan maksud dunia yang ditawarkan di sebaliknya. Jika tiada, hilanglah kesungguhan dan keghairahan di dalam jiwa.

Oleh itu, amat penting untuk memastikan ibadah yang dibuat adalah didasari ilmu. Biar pun sedikit tetapi istiqamah, itu akan lebih mudah untuk menerapkan ikhlas kepada Allah.

Rasulullah SAW pernah menegaskan hal ini melalui sabda Baginda yang bermaksud :

“ Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit.” ( Hadith Riwayat Bukhari ).

USAHA TAMBAHAN
Saya membalas secara ringkas pertanyaan yang diajukan itu. Di dalamnya saya senaraikan serba sedikit usaha tambahan yang dapat dilakukan bagi memastikan hati sentiasa terarah kepada ketaatan dan terhindar dari godaan Syaitan yang menyesatkan. Antaranya ialah :

1) Melazimi istighfar dan taubat walau belum melakukan dosa yang berat. Firman Allah SWT :


وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa.” ( Surah Ali Imran ayat 133 )


2) Melihat orang yang di atas dalam hal ehwal akhirat dan keagamaan, sebaliknya melihat kepada orang yang dibawah dalam perkara keduniaan. Dengan itu, kesyukuran atas setiap kurnia dan ujian daripada-Nya akan terus berpanjangan.


3) Menginsafi dengan hati yang tulus bahawa setiap kebaikan yang dilakukan adalah kerana rahmat Allah dan petunjuk-Nya, lantas ia menjadi pendorong untuk lebih merendah diri, tidak sombong, belas kasihan serta mendoakan mereka yang belum menerima hidayah Allah SWT.


4) Menginsafi bahawa setiap kejahatan atau kemungkaran yang dilakukan adalah kerana kealpaan dan kelalaian. Dengan itu usahakan mujahadah yang berterusan melawan bisikan syaitan.


5) Berkawanlah dengan teman yang soleh atau solehah yang sentiasa membawa sahabatnya dekat kepada Allah. Dan bukan sebaliknya.

Kebaikan yang ada diterima, keburukan yang terlihat dinasihati penuh cinta. Sahabat yang baik kerana Allah bukan sekadar menyayangi sahabatnya yang lain kerana dunia, tetapi lebih dari itu kerana inginkan kebahagiaan di akhirat sana dapat dikecapi bersama-sama.

KITA YANG BERNAMA MANUSIA
Akhirnya, mari kira renungi, bahawa sebagai manusia biasa, kita memang tidak akan pernah sunyi dari dosa sama ada yang sengaja dilakukan tatkala nafsu menguasai minda dan jiwa, atau lebih-lebih lagi yang tidak disengajakan kerana sifat lalai dan lupa ini.

Allah menciptakan manusia dan jin bukan untuk melahirkan hamba-Nya yang sifar dosa, tetapi tujuan dari penciptaan ini adalah untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada DIA Yang Maha Mencipta. Tiada manusia yang tidak berdosa, kecuali para Rasul dan Nabi yang mulia.

Firman Allah SWT :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : “Katakanlah, wahai hamba-Ku yangmelampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah az-Zumar, ayat 53 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu (manusia) tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan mendatangkan satu kaum lain yang berdosa lalu mereka menyesal dan meminta keampunan Allah, kemudian Allah akan mengampunkan mereka." ( Hadis riwayat Muslim, no 2749, 4/2106 )

Namun perlu diingat, At Tibi menjelaskan :

“Bukanlah hadis ini untuk menggembirakan puak-puak yang sibuk melakukan dosa sebagaimana yang disangka oleh orang-orang yang tertipu dan terpedaya. Tetapi hakikatnya, ia bagi menjelaskan bahawa dibangkitkan para nabi bagi menghalang manusia dari terus ditutupi dosa-dosa, lalu menerangkan keampunan Allah serta membangkitkan semangat ahli maksiat untuk bertaubat.” ( Tuhfatul Ahwazi, 7/193 )

Kerana itu, teruslah mengharap kasih sayang-Nya, basahkan bibir mengucapkan istighfar, Kembalilah kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya. Taubatan nasuha…

Pintalah keampunan kerana rahmat-Nya sangat luas mengatasi dosa semua manusia di dunia.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Mohd said…
Org bile da skit trlantar kat hspital
Bgi la mknan sdap2..tobat die tak jamah
kalo psakit llaki pulak..
ltak la pmpuan cntik2 dn seksi kat dpn,NsyaAllah takde selera nak jling pn

Mcm tu gak Imannnn..
kalo iman da skit(lmah)
nak buat amal rsa berat je.kalo bleh mcm tak nak buat je
nak zkir mls,bca qran mls
thajud takyah citer la...
tpi kalo iman sihat(kuat)
nak solat rsa khusyuk dn nkmat je
bca qran mcm Allah ade kat dpn
dgr hdith mcm Nbi ade kat dpn
rse bes je dlm ibadat

So,kite enjoyyy
So,kite kna usha atas IMANNN
NsyaAllah?
Jard The Great said…
panjang entri neh.. tp bermakna.. =)
kak Nisha said…
Assalamualaikum semua,
Sangat setuju dengan ummuHusna. Bagi akak, teruskan beristiqomah apa yang telah kita lakukan(solat sunat/baca Quran/Bangun malam utk bermunajat). Pada peringkat awalnya memang ada sifat-sifat mazmumah tu, yang penting kita terus lawan sifat itu. Lama-lama ia akan hilang. Tapi bukan setahun, mungkin 10 tahun baru hilang. Teruskan sahaja sehingga kehembusan terakhir nafas kita. InsyaAllah ia akan berakhir dengan kebaikkan.

Terima kasih ummu Husna atas nasihat demi menguatkan lagi keyakinan diri.

Wassalam
Zulfadli Jusoh said…
Teruskan usaha baik ini.. berdakwahlah dengan apa daya yang kita ada dan setiap kisah dan pengalaman yang kita lalui pasti ada pengajarannya untuk kita dan orang lain.. oleh yang demikian menjadi tanggungjawab kita untuk berkongsi dengan umat manusia yang lain.. Tahniah atas terbitan terbaru buku puan.. ada kelapangan bolehlah saya mendapatkan tips untuk menerbitkan buku.. dh banyak tanjuk n kulit buku sy siapkan tp masih belum berjaya menyiapkan kandungannya dan harapannya 2010 bakal menjadi tahun permulaan terbitan buku..
Salam,

MOHD : Saya setuju kata-kata saudara. Iman yang sihat, semua godaan dunia tidak memberi bekas dalam dirinya.

Namun adat manusia yang imannya meningkat dan menurun, kerana itu Rasulullah SAW mengajarkan doa untuk itu :

""Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu." ( Hadis Riwayat Ahmad no.315, al Tirmidzi no.3522, dianggap sahih oleh al Haithami )

Jadi, mari sama-sdama kita usahakan.
JARD THE GREAT : Alhamdulillah, yang baik dari Allah jua.
KAK NISHA : Alhamdulillah, betul tu kak.

Jangan sesekali menyerah kalah dengan bisikan syaitan yang ingin merosakkan.

Pertembungan antara kebaikan dan kejahatan sentiasa berlaku di dalam diri manusia. Justeru hanya kepada Allah kita memohon agar sentiasa diberikan taufiq dan hidayah-Nya.

Semoga ayat Allah ini menginsafkan hati-hati kita yang lalai dan leka, firman Allah SWT :


الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengatahui”

(Surah Al-Baqarah : 268)
ZF.AL AMR : Alhamdulillah, terima kasih atas kata-kata sokongan.

InsyaAllah, semoga dipermudahkan semua urusan oleh Allah untuk tujuan yang murni itu.
alif ba ta sa said…
Assalamulaikum kak
menitis air mata bila saya mendgr lagu video akak upload ini dan membaca atikel akak ini
Makbonda61 said…
Terimakasih Dr Husna,pengobat rohaniku
mawarku said…
kak husna... mawar minta izin nak kongsi dengan rakan2 di fb ye... sejak mawar jumpa blog kak husna, mawar dah jadi follwer akak.. saya ingin menjadi wanita solehah, isteri dan ibu mithali seperti akak..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA