QURRATU'AYUN AYAT CINTA KAMI

Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.

Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :

“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )


WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA

Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.

“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.

“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.

“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.

“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.

Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.

Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.


CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA

Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.

Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.

Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :

1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.

Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.

2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :

"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.

Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.

4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.


QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI

Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.

“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

( al Furqan : 74 )

Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, Insya Allah.

21 Rabi'ulakhir 1430

17 April 2009

Comments

kaklongnie said…
Salam....
Syabas & Tahniah atas tulisan2 yang bermanfaat & menyentuh nurani...
Semoga Allah akan terus memberi kekuatan & ilham utk ustazah terus berkarya...sama spt uzar....Amin yarabbal alamin.
Anonymous said…
Salam.
Kak Seri dari Lampeter ni. Kak Seri baru sahaja terjumpa blog yang sangat baik ni. Tahniah Kak Seri ucapkan, Kak Seri doakan Ina akan terus aktif menulis untuk manfaat semua pembaca/para mad'u.
Salam Ukhuwah dan Salam Sayang dari kejauhan.

-Kak Seri, Lampeter.
asalamualaikum wbt..

erm..bagusnya entry ini.sangat bermanfaat..semoga saya juga dapat menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa buat bakal suami saya nanti.. :)
Azni Nabela said…
Assalamualaikum..

saya merupakan pengikut setia blog ummhusna ni..sebab saya rasa pengisiannya undeniably bermanfaat dan yang paling penting entry2 nya sangat tulus dan ikhlas sebab lahir dari hati dan segalanya terlaksana secara zahir..

mohon izin publish untuk artikel mingguan Helwa (Hal Ehwal Wanita) MISG (Malaysian Islamic Study Group USA and Canada) boleh ya? =)

Jazakumullah khairan wakathiran...
Abd Razak said…
Salam...sangat bermanfaat sekali entry kali ini, teruskan usaha yang sangat baik ini agar dapat selamatkan orang Islam dari kehancuran dan api neraka
Unknown said…
"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Al-Anfaal 8:74)

Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya....dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq
Amoi Ida said…
Antara tulisan yg saya nanti2kan selama ini dari kak Ina...

Terima kasih sudi berkongsi, ibarat sebuah hadiah hari lahir buat saya...

Memang tidak semua masyarakt memahami tetapi mudah2an dengan wujudnya serikandi zaman moden sekarang yang berusaha menjadi wanita solehah sebenarnya, akan membuka mata dan hati mereka agar memahami dan kembali kepada fitrah muslimah sejati sebenar...
shaza said…
Salam,

Kak Ina, betapa tingginya darjat wanita solehah yang menjadi penyejuk mata hati suami dan anak-anak. Kesannya hingga membawa kepada kemajuan sebuah negara.

Benarlah janji Allah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.

Semoga kak Ina dan UZAR sentiasa MANTOP dan saling menguatkan dan berjaya di Dunia dan Akhirat.

Semoga penyejuk mata hati kalian menjadi insan dan pemimpin yang soleh dan solehah.

Doakan untuk saya juga...:)
UMMUSHIFA' said…
ALhamdulillah..bila Allah izinkan tangan kita mencatit cerita,ilham diberi tanpa sekat,dikurnia rasa berhikmah agar sampai makna ke dalam jiwa..syukur atas kurniaan bakat mengulas hidup yang memberi panduan setia pada agama dan umat yang dahaga.Moga perjalanan hidupmu terus menjadi inspirasi dan saya berdoa moga ketemu dirimu suatu hari nanti...amin..syukran atas bingkisan bermakna..
~junior merindui senior~
Salam semua,

Alhamdulillah dan terima kasih atas perkongsian pandangan.

AZNI : Boleh, silakan. Semoga bermanfaat buat yang membacanya.

Wassalam.
ard said…
assalamualaikum,
alhamdulillah...1 entry yg amat bagus...
Bukan mudah nak jd isteri solehah sebagaimana di sunting dlm artikel ni...
anda boleh berjanji akan jadi isteri yg solehah bila berkahwin kelak, namun bukan mudah. lg2 tentang komunikasi antara suami isteri.kdg2 isteri buat suaminya mcm kwn2 sj layaknye...mgkin sbb gaji besar.Perlu ada hormat mghormati...jika isteri seorang yg hormat pd suami..insyaAllah suami akan bertambah hormat pd isteri,bertambah syg..dan makin semangat utk berkorban utk isteri.tak jauh hati dgn isteri.tp dlm zaman moden ni, ssh nak dpt isteri yg betul2 ikhlas.juga ssh nak dpt suami yg betul2 bertanggungjawab. Namun, bagi diri sy utk isteri2 sekelian, peliharala h kata2 mu yg boleh menyakitkan hati suami...suami boleh bersabar...tp dlm hati dia kita tak tahu samada dia betul2 redha dgn perbuatan kita. Bagi yg bergaji lebih bsr dari suami, berlapang dadalah dlm membantu suami.Bg suami berusahalah utk menampung nafkah keluarga agar tiada yg terabai.
u_humaira said…
assalamualaikum kak ina.

terima kasih buat suami yang memperkenalkan saya dengan blog kak ina..

memang menyusuk dan berkesan dalam jiwa. kekadang terasa pedasnya. barulah saya insaf dan sedar yang selama ini hanya dunia yang dirisaukan akhirat hampir terabai.. teruskan usaha dalam menyebarkan hidayah dan dakwah.. saya akan terus menjadi pembaca setia.
Dewi said…
salam kak. saya baru pertama kali tgk blog akak.saya selalu baca blog uzar. saya ada byk kemusykilan ttg jodoh. sampai sekarang tak pasti apakah jawapannya. saya masih single, berumur 34 tahun, seorg tenaga pengajar di IPTA..seperti org biasa saya juga ingin berumah tangga, namun saya tak berpeluang untuk berkenalan dgn lelaki..saya ada masalah untuk berkenalan..masalahnya zaman sekarang untuk berkenalan dgn lelaki harus keluar bersama, berjumpa untuk kenal hati budi, saya takut cara ini membawa kepada fitnah dan kemaksiatan..lantaran itu saya lebih suka duduk rumah dan ada masa saya berchating di internet.setakat itu sajalah usaha saya mencari jodoh..internet pun bukannya boleh percaya kan...persoalannya, bgmanakah saya akan dapat berjumpa jodoh sekiranya saya hanya duduk di rumah..saya tak minat untuk berdating seperti kebykan org dan saya takut dgn dosa yang mungkin terjadi..tp saya juga dlm dilema kerana ini juga menyebabkan saya tidak berjumpa orang dan tidak bertemu jodoh..saya sudah meminta bantuan org tua dan saudara mara, tetapi tidak berjaya..Mereka juga menyuruh saya keluar dgn lelaki yg mereka "match up" kan yg mana saya tidak menyukai perkara ini..jadi bgmana saya? saya sgt dilema. Allah membantu kita jika kita membantu diri kita bukan? Apakah cara terbaik untuk diri saya dlm mencari jodoh yg baik untuk agama, dunia dan akhirat saya.
terima kasih kerana membaca.
Ws, Dewi.

Pertamanya, simpati dari saya atas apa yang sedang Dewi hadapi.

Tiada kata-kata yang lebih mampu untuk saya berikan buat masa ini selain teruskan berdoa dan jangan berhenti mengharap pada Ilahi.

Saya pernah ada seorang kawan yang mempunyai masalah yang sama seperti Dewi, tapi berkat kesabarannya berdoa dan menjaga batasan syari'at, dia akhirnya bertemu juga dengan lelaki yang baik sebagai bakal suami. Akan berlansung tak lama lagi, InsyaAllah. Adakalanya, apa yang buruk pada tanggapan kita, sebaliknya pula yang Allah sediakan untuk kita di kemudian hari, jadi berbaik sangkalah padaNya.

Saya juga mendoakan yang terbaik dari Allah untuk Dewi.

Harap membantu.
SMM said…
assalamualaikum,
pertama kali saya berkunjung ke sini dan baru selesai membaca semua post. terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu dan kefahaman dengan kami. teruskan menulis! semoga usaha akak diberkati Allah..
Anonymous said…
salam

kalau suami-suami yang soleh atau nak jadi soleh tu ok tapi ni isteri ada keinsafan dan kesedaran tetapi suami ni masih gemar maksiat atau jenis tak berapa pentingkan agama dan tak rasa nak mantapkan lagi ilmu agama. tak kisah tentang agama anak tak mau buat tazkirah kat rumah dan tak minat nak tengok pun rancangan agama dan tak ada kemahuan pun mencari ceramah di surau atau masjid. yang tu pun jadi masalah juga nak sayang dengan orang yang tak pentingkan Allah atau tak minat dengan agama Allah. hmmm..cmna ya..?nak sayang pun susah kerana tak suka dengan sikap suami macam tu nak duduk serumah pun rimas,ada tips yang boleh dikongsikan?
salam, kepada ustazah penulis blog ini,, ana mintak izin copy dan ceduk idea dari artikel ni,,

ana ada ulasan saya sendiri,, jmput membaca di blog ana

ana kagum tulisan ustzah..

teruskan menulis..

ana juga nk kritik, template blog ni tak menarik, susah nk baca,, sebab ustazah suke tulis panjng2 ana cdgkn supya pilih tmplate yg lebih wide utk ruang post..
Salam, Abd Rahman.

Alhamdulillah, boleh..silakan.

Saya memang baru sangat dalam bidang blog memblog ni..banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki..apa pun, terima kasih atas teguran membina itu. Jazakallah khairaljaza'.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA