BUKAN HIBURAN

Mata saya terkebil-kebil memandang papan skrin komputer. Tangan dan jari telah lama bersedia. Hanya menunggu tempo untuk berdansa. Cuma yang tiada adalah jiwa. Tiada rasa, kosong kata untuk ditinta.

“Ya..Allah..mengapa idea tak kunjung tiba?” desir saya sendiri.

Semenjak pulang ke United Kingdom setelah hampir tiga minggu berada di tanahair tercinta, saya bagai kehilangan rentak untuk berkarya. Puas saya berusaha mewujudkan keinginan dalam diri untuk menulis kembali.

Banyak sudah saya melayari laman-laman web atau blog yang saya gemari. Hampir lunyai juga buku-buku kegemaran saya tatapi. Tujuannya hanya satu. Untuk mendapat suntikan motivasi, namun kehadirannya tidak berkala, hanya sesekali.

MASA DAN IDEA
“ Cemburu dengan abang..”luah saya kepada suami. Sengaja saya menunjukkan memek wajah iri dan dengki.

“La..hujan tak ada,ribut jauh sekali..tiba-tiba kata cemburu. Kenapa ni?” suami bertanya dengan ketawa kecil mengiringi.

“Mana tak cemburu..abang ada je idea dan masa untuk menulis. Tapi As ni..ambil masa berhari-hari nak siapkan satu entri,” adu saya lagi.

“Tak ada idea atau tak cukup masa?”suami menyoal semula.

“Hmm..idea tu mungkin ada, cuma masa..” jawab saya lemah. Tidak bertenaga.

Saya akui itu. Selalunya bila datang idea untuk bercerita, ketika itu juga Solehah datang merengek meminta bermanja.

Memilih antara dua, pastilah anak menjadi pilihan saya. Dan bila itu berlaku, saya semakin kekurangan rasa untuk berlama-lama di hadapan komputer.

Kerana itu, kemunculan artikel baru mengambil masa seminggu atau lebih untuk diterbitkan buat tatapan pembaca. Tidak kerap, tidak acap seperti sebelumnya.

WUJUDKAN MASA
“Cuba As wujudkan masa jika itu yang menjadi punca...”suami memberi idea.

“Wujudkan masa..apa maksud abang ?”saya bertanya meminta penjelasan.

“Masa boleh wujud jika diurus dengan betul..” jelas suami. Ringkas tetapi berisi.

“Jika itu maksud abang..rasanya selama ini, As telah cuba sebaik mungkin memanfaatkan masa yang ada dari pagi hingga malam hari. Sambil memasak, As membasuh baju di dapur.Sambil menonton, As melipat baju dan pakaian lain. Begitu juga sambil membaca, As cuba mencari isi dan idea buat melengkap sesuatu cerita,” luah saya. Namun kebimbangan di hati tetap tidak kunjung reda.

“Alhamdulilah dan bagus jika begitu. Wujudkan masa itu juga sebenarnya, menyusun buah fikiran semasa melakukan kerja-kerja rutin harian. Dengan cara tersebut, apabila saja berada di hadapan komputer, mudah untuk menyusun awal, tengah dan hujung penulisan. Lebih penting adalah tentukan dahulu matlamat atau pengajaran. Destinasi perlu jelas. Gaya cerita dan olahan boleh difikirkan kemudian.

Seterusnya, perlu juga menilai dan membezakan antara keutamaan yang sepatutnya didahulukan dan perkara sampingan yang boleh dikemudiankan,” suami menerangkan.

“Hmm..As sebenarnya rasa bersalah pada pembaca-pembaca yang tak jemu berkunjung. Masuk sahaja ke blog Ummuhusna, hanya menatap cerita yang sama. Komentar juga lambat atau tidak berbalas. Serupa sahaja. Itu belum lagi emel-emel yang asyik tertangguh untuk membacanya.

Macam..menjamu tetamu makan tanpa layanan sahaja rasanya, ”luah saya. Masih bernada kecewa.

Saya pandang wajah suami. Dia tersenyum memandang saya.

“Menulis tidak boleh dalam keadaan terlalu tertekan, nanti jadi buntu. Fokus pula sangat penting. Namun usaha mendapatkannya adalah satu cabaran yang besar. Cuba As ambil peluang waktu Solehah tidur iaitu jam 12 tengahari ke atas dan ketika semua anak-anak lain di sekolah untuk menulis.

Selain itu, fokus juga memerlukan pengorbanan. Mungkin sebahagian waktu biasa kita berehat terpaksa dikorbankan, contoh kena bangun lebih awal, tidur lewat sedikit dan seumpamanya.”

Mendengar itu, saya tertunduk malu. Entah mengapa, terasa amat sulit untuk mengatasi kelemahan diri akhir-akhir ini.

TINGKATKAN KEIKHLASAN
“Akhirnya, muhasabah dan nilailah diri. Gilap kembali hati dengan zikir pada Ilahi. Panjangkan waktu untuk bermunajat pada-Nya setiap hari. KepadaNya kita mengadu dan dariNya jualah datang idea dan ilham yang membantu.

Adakalanya, terlalu seronok bercerita, kita terlupa pada jiwa. Syaitan yang tak pernah leka pasti akan memasukkan jarum-jarum yang menimbulkan sakit di jiwa.

Bermacam-macam bisikan diperdengarkan kepada hati. Menulis dan berkarya bukan lagi kerana DIA, tetapi demi memastikan pengunjung setia tidak ke mana.

Hati jadi risau memikir yang bukan-bukan. Bagaimana kalau pembaca yang dahulunya sering berkunjung sudah jemu menunggu. Pengikut setia tidak lagi mahu bersama…

Justeru, jangan biarkan itu berlaku. Sisih ia dari menguasai pemikiran dan hati. Menulislah, semata-semata untuk memperoleh redha Ilahi. Menulis untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pengajaran. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan.

Yakinlah..andai penulis ikhlas memberi, pembaca juga akan ikhlas menerima.

Mereka yang ikhlas tetap akan berkunjung untuk mendapatkan ilmu dan santapan jiwa. Andai cerita baru tiada, kisah lama kan masih banyak pengajarannya?

InsyaAllah,semoga masing-masing akan beroleh manfaat,”panjang lebar suami memberi nasihat.


BUKAN HIBURAN
Saya mendongak kepala. Bagai tanah gersang disimbahi hujan dan cahaya. Rasa segar menular ke jiwa dan raga.

Ya..mengapa saya boleh terlupa peringatan dari Yang Maha Esa. Firman-Nya yang bermaksud :

“... Padahal tidak ada seorang pun memberi suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak nanti dia benar-benar mendapat kepuasan.” (Surah al-Lail ayat 19-21)

Istiqamahlah wahai diri. Engkau hanya menyampaikan, untuk memberi peringatan…bukan untuk memberi hiburan.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

HABAAN MANSURAA..



Malam ini giliran Kak Long memberikan tazkirah. Usai solat Maghrib berjamaah, saya, suami dan anak-anak mulai duduk berhadapan, saling bertentang wajah.


“Tazkirah Kak Long pada hari ini berkenaan dengan...Sayang Allah,” jelas Kak Long sejurus membaca lafaz basmalah.


“Cinta pada bunga, bunga akan layu. Cinta kepada manusia, manusia akan mati. Cinta pada rumah, rumah akan musnah. Tetapi...cinta Allah adalah cinta yang kekal abadi,” luah Kak Long petah dan yakin diri.


Mendengar itu, saya pandang wajah suami sambil mengangkat kening, ‘Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,’ bisik saya di dalam hati.


“Kita mestilah sayang Allah SWT kerana Allah yang bagi kita makan, bagi kita minum dan banyak lagi,” Kak Long menambah sambil melempar senyuman manis kepada kami.


“Kita juga mesti sayang kepada Nabi Muhammad SAW kerana Baginda adalah pesuruh Allah yang terakhir. Nabi Muhammad membawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan utusan Allah bagi seluruh umat di dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." ( Surah al Anbiya’ ayat 107 )

Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah dan wafat di Madinah. Nabi Muhammad adalah seorang Nabi dan Rasul yang sangat istimewa. Baginda adalah Cikgu agama kita,”Kak Long menutup bicara.

BAGAIMANA ?
Telah beberapa lama berlalu sejak saya dan suami memulakan program tazkirah bersama anak-anak di rumah. Ia tidak lain sebagai satu program tarbiah keluarga yang diharapkan mampu menyemarak sakinah, mawaddah dan rahmah.

“ Bagus tazkirah Kak Long,” suami memuji. Saya mengangguk, mengiyakan kata-kata suami.

Kak Long tersenyum ceria. Namun, saya belum berpuas hati. Masih ada perbincangan yang perlu dihadam buat menambah faham.

“Macam mana nak rasa sayang pada Allah dan Rasulullah ye?” soal saya mahu mencambah fikir di minda.

“Buat apa yang Allah dan Rasulullah sukalah Ummi..solat, puasa, ikut cakap ummi dan ayah, baca al Quran..,”Kak Long menjawab pantas.

“Dan jangan buat dosa,” tambah Kak Ngah pula melengkapkan jawapan.

“Ya, itu betul..tapi, bagaimana nak rasakan perasaan sayang kepada Allah dan Rasulullah..tanpa kita pernah bertemu wajah?” tanya saya lagi. Kali ini Kak Long diam, tidak terus memberikan jawapan. Kak Ngah juga senyap, tidak menjawab.

DEKATI AL QURAN DAN SUNNAH
Saya memandang suami. Suami juga memandang saya. Mata kami bertentang. Memahami saya, suami membuka suara.

“Kak Long dan Kak Ngah suka dengar nasyid Sami Yusuf?”suami bertanya. Kak Long dan Kak Ngah mengangguk ceria.

“Selama ini pernah tak Kak Long dan Kak Ngah bertemu Sami Yusuf?” Sekali lagi suami bertanya disambut gelengan kepala kedua-duanya.

“Ha..begitulah contoh mudahnya. Walaupun Kak Long dan Kak Ngah tidak pernah bertemu dengan Sami Yusuf, tetapi Kak Long dan Kak Ngah suka dengar lagu-lagu nyanyiannya,” suami menerangkan.

“Sebab lagu-lagu dia best la ayah..Kak Long suka ‘Asmaul Husna’,”Kak Long mencelah.

“Sama juga macam budak-budak lain yang suka pada Upin dan Ipin, Barnie and friends, Ben 10, Pingu, Nody dan lain-lain watak kartun, sebab mereka selalu menonton cerita-cerita mereka, kanak-kanak sangat meminati mereka. Sehingga kalau ada barangan permainan berjenama kartun itu pun, kanak-kanak akan desak mak ayah beli, itulah bukti pengaruhnya sampai ke hati,” tegas suami lagi.

“Untuk suka dan sayang pada seseorang atau sesuatu perkara, tidak semestinya perlu bermula dengan pernah berjumpa atau tidak. Suka dan sayang boleh hadir cukup dengan hanya melihat dan mendengar bukti-bukti, tanda-tanda dan hasil-hasil dari kehebatan dan kualiti yang ada pada seseorang atau sesuatu perkara.

Allah SWT Maha Berkuasa dan kekuasaan Allah diperlihatkan melalui kejadian alam yang sangat mengkagumkan ini. Indah dan sungguh mempesona. Menghayati kejadian alam dan makhluk-makhluk di dalamnya sudah cukup memercikkan keinsafan ke dalam diri tentang betapa agung dan Maha Besarnya Pencipta kita.

Manakala Rasulullah pula manusia yang hebat dan kehebatan Rasulullah dapat diketahui melalui hadis-hadis dan sirah. Membaca dan menghayati kisah kebaikan akhlak Baginda sahaja sudah cukup menerbitkan rasa cinta dan kagum kita kepadanya. Tapi kalau tak baca, maka Cinderella akan lebih diminati berbanding Rasulullah..bahaya tu !

Jadi, Kak Long dan Kak Ngah perlu banyak membaca al Quran dan dan hadis nabi..tahu sejarah dan perjalanan hidup Rasulullah, hingga rasa seolah-olah hampir dengannya. Hingga nak jadi seperti Rasulullah..hamba Allah yang soleh, berakhlak, berilmu dan sebagainya,”panjang lebar penjelasan suami cuba mengaitkan agar difahami oleh minda anak-anak kami.

BUKAN MUDAH
Telah acap kali rasanya saya menekankan bahawa tugas mendidik anak di dalam dunia akhir zaman ini adalah satu tugas yang sukar dan mencabar. Ramai mengakui dan menyedari, ia bukan semudah menyebut A, B, C atau menghitung 1,2,3 menggunakan jari jemari.

Anak-anak yang dikurniakan Ilahi merupakan amanah dari Yang Maha Esa dan mereka juga adalah harta yang tiada nilai bandingnya di dunia.

Mengurus mereka sebagai satu amanah dan harta yang perlu dijaga dan diawasi adalah dengan memberikan didikan dan asuhan agar mereka membesar dan meneruskan kehidupan sebagai manusia berakhlak, beramal dan beriman.

Justeru, bagi menjayakan itu, tidak dapat tidak ibu bapa berperanan besar untuk menerap ilmu, menanam tauhid dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi di dalam jiwa anak-anak kepada Pencipta yang Maha Esa dari kecil, menginjak remaja seterusnya menuju alam dewasa.

PEMIKIRAN LIBERAL
“Adakah Tuhan akan buang saya ke neraka dengan hanya saya tidak pakai tudung? Atau saya minum arak, tetapi saya tidak mabuk? Saya seorang vegetarian kerana saya tidak mahu bunuh makhluk lain. Saya juga ada membantu kerja-kerja komuniti manusia,”demikian bunyi pertanyaan yang pernah menjengah ke dalam kotak emel saya.

Persoalan seumpama ini bukan baru, malahan semakin merebak dan membarah. Ia menjadi anutan sebilangan besar anak-anak remaja yang sedang menuntut ilmu baik di dalam mahu pun di luar negara. Ramai pelajar yang rosak akhlak, bersekedudukan dengan bukan muslim, minum arak dan bermacam-macam lagi.

“Memanglah Allah SWT tidak akan mencampakkan mereka ke neraka semata-mata kerana tidak bertudung atau minum sedikit arak atau seumpamanya. Banyak penilaian-penilaian lain lagi yang Allah sebutkan di dalam al Quran dan hadis Rasul-Nya untuk menentukan syurga atau neraka,” luah saya ketika berkongsi persoalan ini bersama kaum ibu dan wanita MASLEICS pada usrah kami kali kedua.

“Umpama seseorang yang menjawab soalan dalam peperiksaan. Satu soalan yang salah akan menjarakkannya dari memperolehi markah penuh. Semakin banyak kesilapan, semakin kuranglah markah. Hingga.. mungkin saja dia gagal dek kerana banyak jawapan salah yang diberikan. Sifir mudahnya, kesilapan menjawab dalam peperiksaan merupakan langkah-langkah kepada kegagalan dalam peperiksaan.

Jadi, begitu jugalah dengan orang yang melakukan maksiat kepada Allah. Ia merupakan langkah-langkah yang menghampirkan mereka kepada neraka Allah SWT. Ringkasnya, sekali seseorang mengingkari perintah Allah SWT, bermakna satu jawapannya dalam ‘ujian kehidupan’ dikira salah dan ia merupakan suatu kerugian yang sepatutnya dielakkan oleh orang-orang yang diberikan akal fikiran.

Alangkah malang jika mereka dijemput Tuhan dalam keadaan diri yang masih bergelumang dengan kemaksiatan,”saya menjelaskan dengan dada sesak mengenangkan kedahsyatan azab bagi mereka yang tidak sempat bertaubat.

HABAAN MANSURAA
“Jadi bagaimana dengan kebaikan mereka?”soal seorang ahli usrah kepada saya.

“Kita pulangkan kepada Allah SWT untuk menilainya. Setiap kebaikan menghapus kejahatan..itu yang kita harap dan doakan.

Bimbang jika kebaikan yang dilakukan, sedang dalam masa yang sama mereka berbangga dengan maksiat kepada-Nya; kebaikan itu hanya mendapat pengiktirafan manusia di dunia. Ketika hidup mereka dipuji dan dipuja. Dan saat mereka telah tiada jasa mereka dikenang berkurun lamanya..namun di sisi Allah ia hanya umpama ‘habaan mansuraa’..bagai debu-debu berterbangan di udara, tiada nilainya,”jujur saya menerangkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai.” (Surah al-Furqan, ayat 23)



“Ya Allah, bantulah kami mendidik dan mentarbiah diri. Juga anak-anak dan zuriat keturunan kami. Jauhkan kami dari fitnah yang menyesatkan, sebaliknya hampirkan kami dengan ketaatan.

Bantulah kami melaksanakan amalan kebaikan. Dengan rahmat kasih sayang-Mu..agar amal-amal itu berupa amal soleh yang menjadi syafaat, menjadi penyelamat dari jurang neraka yang amat dahsyat.

Bersihkan hati dan jiwa kami, semoga hidup dan mati kami hanya kerana-Mu..hanya untuk-Mu”.

Mencari dan terus mencari cinta ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

UMMI SUKA SEMUA !

Ummi suka semua!

“ Alamak..banyak lagi doh ni..”saya merungut di dalam hati. Di hadapan saya, beberapa biji kuih donut telah siap saya bentuk menggunakan jari jemari. Oleh kerana tiada pemotong atau acuan donut, saya perlu membentuknya sendiri.

Saya berfikir mencari penyelesaian. Menghabiskan doh yang ada untuk membentuk donut semata, saya rasa bukanlah satu keputusan yang bijaksana. Ini kerana, suami, Kak Long dan Khalil tidak berapa gemar memakan kuih-kuih yang manis dan bergula.

“Oh..ya..inti karipap masih ada. Sambal tumis ikan bilis juga ada sedikit yang masih bersisa..”bisik saya sambil menguntum senyuman lega.

Pantas saya mengambil inti karipap dari peti sejuk beku, saya panaskan dan saya ambil doh untuk membentuk kuih pau berinti kari ayam dan kentang dipotong dadu.

Seterusnya, doh yang masih berbaki saya bentukkan bulat. Setelah digoreng, bahagian tengahnya dibelah sedikit untuk dimasukkan sambal tumis ikan bilis dan potongan timun bulat.

BERBEZA
“Kak Long ni asyik baca buku je..tolonglah Kak Ngah kemas mainan ni,” suara Kak Ngah tiba-tiba kuat kedengaran dari ruang tamu. Mendengar itu, ketenangan saya memasak sedikit terganggu.

Saya kuat sedikit pintu dapur lalu menjengulkan kepala. Mengintai-intai sambil mendengar bual anak dara berdua.

“Ala..bukannya banyak pun.. kemas sorang pun boleh..”balas Kak Long tanpa menoleh.

“Tapi..Kak Long pun ada main juga malam tadi..so, kenalah kemas sama-sama,”tukas Kak Ngah, tidak mahu mengalah.


“Eleh..itu pun nak berkira..,” cebik Kak Long lantas meletakkan buku di atas meja. Mereka mula mengemas bersama-sama walau wajah masing-masing masam mencuka.

Saya menarik nafas lega dan kembali ke dapur untuk melangsaikan gorengan kuih yang masih ada.

Mujur saya dapat menenangkan diri dan tidak bertindak reaktif terhadap pertengkaran mereka.

“Memang mereka berbeza..”bisik saya.

HEBATNYA UMMI!
“Ummi buat apa tu..Kak Ngah laparlah,” Kak Ngah menyapa ramah. Di belakangnya, Kak Long dengan wajah yang masih memuncung.

Saya hanya tersenyum sambil menyorotkan pandangan mata ke dalam kuali.

“Wah! Seronoknya. Ummi buat donut dan pau…nyum..nyum!”jerit Kak Ngah riang bercampur geram. Kecur lidahnya melihat kuih kegemaran.

“Suka betul makan manis-manis...”sindir Kak Long, masih tidak puas hati. Mungkin malas mahu memulakan pertengkaran, Kak Ngah cepat-cepat menjauhkan diri. Mengambil tempat di sebelah saya yang masih sibuk mengisi inti.

“Banyaknya..mcam-macam ada. Donut, pau dan..ini kuih apa ni, Ummi ?” soal Kak Ngah membelek satu persatu kuih di depan mata.

“Burger Malaysia. Tadi ada lebihan doh donut..Ummi pun buat la pau dan kuih tu sikit. Ayah dan Kak Long, kan tak suka manis,” saya menjelaskan. Kak Long tersenyum.

“Senangkan..dari doh yang sama, Ummi boleh buat tiga jenis kuih yang berbeza..”tambah saya.

“Wah! Hebat la Ummi..”puji Kak Ngah sambil menggelengkan kepala.

ALLAH LAGI HEBAT!
“Allah lagi hebat..sebab…”saya berhenti seketika. Terlintas idea untuk meredakan ‘perang’ rasa jiwa anakanda berdua.

“Sebab..dari perut Ummi yang satu ini, lahir empat orang anak yang berbeza perangai dan rupa. Mata Kak Long dan Kak Ngah agak sepet sedikit..ikut mata ayah. Khalil pula agak bundar mewarisi mata Ummi, dan Solehah...tengah-tengah..campuran mata Ummi dan ayah, maka jadilah ‘bunpet’,”celoteh saya sebagai mukadimah.

“Bunpet..? Apa tu?”Kak Long bertanya tersengih-sengih.

“Singkatan bundar dan sepet la.”Saya menjawab sambil ketawa kecil.

“Dan yang lebih hebatnya, kesemuanya ada sikap dan perangai yang berbeza. Kak Long suka baca buku manakala Kak Ngah pula suka menolong dan membantu. Khalil pendiam tapi agresif juga, Solehah pula ramah dan asyik mintak susu.

HORMAT DAN BERTOLAK ANSUR
Jika kuih tadi, dari satu doh boleh jadi tiga jenis kuih yang berlainan rasa. Ada pedas, lemak berkari dan manis bergula..anak-anak Ummi ni lagilah, macam-macam ada. Hebat betul Allah ni kan?”jelas saya lagi disambut anggukan kepala mereka. Mudah-mudahan mereka menangkap maksud kata-kata saya.

“Jadi, perbezaan yang ada seharusnya dihormati. Jangan kerana tidak sama citarasa, Kak Long dan Kak Ngah asyik bertengkar dan tak mahu bekerjasama. Bertolak ansur kan lebih baik dan mulia,”nasihat saya. Kak Long dan Kak Ngah saling berbalas pandangan mata.

“ Lepas ini, kalau Kak Ngah nak minta Kak Long bantu sama, minta dengan cara yang lebih elok dan Kak Long berikan kerjasama. Seterusnya, bila Kak Long baca buku…ajak Kak Ngah membaca juga. Tentu lebih seronok dan semua gembira,”saya mengakhiri bicara.

UMMI SUKA SEMUA!
“Ok, jom makan. Ummi pun dah lapar ni,”saya mempelawa. Kak Ngah segera mencapai dua biji donut kegemarannya manakala Kak Long mengambil sebiji pau dan sebiji burger Malaysia. Manakala saya meletakkan setiap satu ke dalam pinggan.

“Eh..Ummi ambil tiga-tiga sekali?” bagai serentak, Kak Long dan Kak Ngah bertanya.

“He..he..Ummi suka semua!”jawab saya disambut senyum dan ketawa mereka.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

MUHASABAH CINTA



Entah kali ke berapa saya menatap wajah lembutnya. Wajah yang suatu ketika dulu indah berseri dengan senyuman bak gula, kini suram dan kelam dengan pelbagai rasa yang terpendam.

Saya cuba menarik perhatiannya dengan menyanyi-nyanyi kecil lirik nasyid: Isteri cerdik yang solehah. Namun dia terus membisu. Tidak berkata walau sepatah.

“Ehemm..”saya berdehem. Kelihatannya dia bagai tenggelam dalam lamunan yang amat dalam.

“Ehemm..sahabat !” kali ini saya menguatkan suara. Sedikit, sekadar untuk memastikan dia mendengar dan memberi perhatian.

Panggilan saya berbalas pandangan. Dia melempar senyum, malu-malu. Mungkin baru tersedar sudah beberapa detik pertemuan kami ini hanya bersulam diam.

Saya membalas dengan senyuman. Dari hati. Penuh empati. Bukan baru sehari dua kami saling mengenali.

Dia, sahabat yang dahulunya sentiasa ceria dan tinggi keyakinan diri. Kata-katanya petah berisi. Bahasanya dari hati, meninggal bekas kepada sesiapa yang mendengar. Tanda sampainya juga jauh ke lubuk jiwa.

Tetapi hari ini, tatkala melihat dia sering mengelamun sendiri, bagaikan dia bukan lagi sahabat yang amat saya kagumi. Suatu ketika dahulu, ketika di alam kampus universiti.

CINTA PUDAR, BENCI MEMUGAR

“ Mengapa..sahabat?”soal saya memecah senyap dan sunyi yang lama membaluti pertemuan kami. Dia memandang sambil melepas keluhan. Berat sekali.

“ Bukankah lebih baik mengubat luka dari membiarkannya terus berdarah sehingga bernanah..tidak dijaga. Mengapa membiarkan cinta pudar berganti benci yang kian memugar?” saya menyambung tanya. Saya tahu dia memahami apa maksud saya.

“ Ana dah cuba…tapi semuanya tetap begitu. Ana jadi bosan..” dia meluah rasa.

“ Sahabat belum cuba sehabis daya..”saya berkata. Mendengar itu, dia mengalih pandang. Masam. Mungkin tersinggung dengan kata-kata saya tadi. Bagai tuduhan tanpa bukti.

“ Ukhti tak tahu apa yang ana rasa…Ana ingatkan dia seorang yang menjaga kesempurnaan. Ibadahnya diambil berat. Hubungan dengan perempuan lain dikawal ketat..dan yang lebih penting, perasaan ana sebagai isteri dipegang erat. Ana merajuk. Dia memujuk. Ana sedih, dia segera menghilangkan pedih….tapi..”dia berhenti. Pandangannya sekali lagi dilempar jauh. Kolam matanya mula bergenang air jernih.

Saya mendengar. Cuba memahami pilu hati sahabat yang kini bergelar isteri. Mengahwini seorang lelaki yang dahulunya bergelar pemimpin pelajar.

PEMBIMBING

“ Sahabat terlalu mengharap kesempurnaan. Tiada manusia yang sempurna serba serbi. Kita sebagai isteri juga banyak kelemahan diri..”luah saya lembut. Saya pegang bahunya. Moga dia mengerti.

“ Bukan begitu…”dia menafikan. Airmatanya yang tumpah dibiarkan laju menuruni pipi.

“Dahulu, saat dia melafazkan: Aku terima nikahnya, ana terlalu gembira. Bersyukur, memperolehi seorang suami yang mampu menjadi pembimbing dan pendamping setia. Tetapi..kini, setelah bertahun hidup bersama..apa yang ana impikan jauh dari kenyataan…dia bukan sebagaimana yang ana harapkan. Ana pula yang banyak menegur salah dan silap suami,” dia bersuara. Sebak dan sayu. Pilu.

“Itulah yang bagus..menegur salah pasangan, tanda masih ada kasih. Tidak membiarkan dia terus berdosa, lambang sahabat masih punya cinta,”saya memberi semangat. Dia bagai terkejut mendengar bicara saya. Saya tersenyum.

“ Sahabat…sebagai manusia, setiap dari kita mengalami turun naik iman di dada. Pahala semakin sirna berganti khilaf dan dosa. Justeru, sebagai suami atau isteri, kita sewajarnya bukan hanya melihat kelebihan pasangan sebagai keistimewaan yang mampu membahagiakan, tetapi juga menerima kelemahannya sebagai hadiah dari Yang Maha Esa.” Saya menambah rencah nasihat dengan nada sebak memenuhi jiwa. Nasihat saya kepadanya, adalah juga peringatan untuk diri saya yang sering lupa.


HADIAH

“Hadiah…bagaimana tu?” Dia bertanya. Sudah ada sinar pada renungan matanya. Hati saya berbunga ceria.

“Hadiah berupa peluang dan ruang agar kita MELIPATGANDAKAN amalan, ibadah dan usaha untuk memperbaiki diri. Semakin mendekatkan diri pada Ilahi. Adakalanya kita lalai dan leka..hanya melihat kelemahan dan kesilapan pasangan, tanpa lebih dulu menilai kesilapan diri sepanjang tempoh perkahwinan. Terlalu banyak alasan yang kita cipta hanya untuk menampakkan kita betul dan benar belaka. Kerjaya, anak, rutin rumahtangga dan berbagai lagi.

Kesibukan itu..menyebabkan kita membiarkan pasangan tanpa layanan. Dan yang paling malang, kesibukan itu, menjadikan kita semakin jauh dari Tuhan.

Solat tidak lagi di awal waktu. Tergesa-gesa sahaja.

Doa juga tidak lagi panjang dan penuh pengharapan seperti dulu.

Ibadah tidak lagi menjadi makanan yang enak dan sihat kepada ruh yang dikurniakan Ilahi, tetapi telah bertukar basi dan mengundang penyakit pada diri. Ruh kita sakit dan menderita..Bila semua itu berlaku, jiwa kita jadi kacau..tak menentu. Lalu, masalah yang kecil diperbesar-besarkan, pasangan disalahkan dan akhirnya saling berjauhan,”tambah saya penuh keinsafan.

Dia tunduk, menekur kepala. Ada titisan yang menitik ke lantai. Buat ke sekian kali, tangisan sayunya memecah hening sunyi.

MUHASABAH CINTA

“As…bangun sayang..dah subuh ni.”Sayup-sayup saya mendengar satu suara. Saya membuka mata. Suami tersenyum memandang saya.

“Astaghfirullah..mimpi rupanya..”bisik saya sendiri. Saya memicit kepala berulang kali. Betapa saya memikirkan cerita dan masalah rumahtangga yang banyak mengisi ruang kotak emel, hingga terbawa ke alam lena.

Melihat suami yang telah bersedia untuk ke masjid, saya bersegera ke bilik air. Membersihkan diri dan bersuci.

Usai solat, saya menadah tangan ke hadrat Yang Esa. Munajat saya berisi muhasabah cinta. Doa saya:

“Wahai pemilik cinta yang hakiki, pandulah kami..bimbinglah kami. Jangan biarkan kami sendiri melayari kehidupan ini. Biarlah kesakitan yang ENGKAU berikan sebagai kaffarah dosa dan silap kami. Sakit yang nampak di mata, jua sakit yang menyelinap ke dalam jiwa. Bantulah kami untuk mensucikan ruh dan hati. Izinkan kami menyintai dengan Cinta dan Kasih yang suci dari-Mu..sesungguhnya cinta, kasih dan sayang kami hanya kerana-Mu, Ya Rabbi.”


Ameen..ameen.





Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

KUNCI BAHAGIA, RUMAH KITA


Gambar : Sebahagian kitab rujukan di rumah

“ Alhamdulillah..selesai pun,” bisik saya sendiri sambil tangan mengelap peluh yang meleleh di dahi. Saya melihat sekeliling. Mata meliar dan tajam memandang sudut-sudut terpencil. Kalau-kalau masih ada serpihan-serpihan makanan dan sampah-sampah kecil yang saya terlepas pandang.

Melihat tiada lagi yang tersisa di lantai, saya tersenyum puas hati. Rasa berbaloi bangun awal pagi. Selesai sahaja kewajipan pada Ilahi, tugas-tugas seorang suri pula telah sedia menanti.

Lalu saya mulai dengan mengemas serta membersihkan ruang tamu yang bersepah hasil kreativiti empat permata hati. Saya kutip mainan yang bersepah di lantai. Kemudian, saya kemas pula buku-buku yang berselerak di ruang bacaan dan saya bersihkan kaca meja makan yang melekit dengan sisa makanan dan minuman.

Selanjutnya, barulah saya meneruskan kerja-kerja menyapu dan mengemop lantai. Syukur,kudrat ini masih ada dan mampu melakukan segalanya tanpa bantuan.

Selesai semua itu, saya duduk melepaskan lelah. Mata melebar, menatap segenap ruang tamu yang agak besar itu. Sepenuh hati, seluruh jiwa yang satu.

RINDU YANG TERPENDAM
“ Kenapa Ummi menangis ?”Kak Ngah menyapa tiba-tiba. Kelibat anak-anak yang lain tidak kelihatan, mungkin masih melayan tidur dek keletihan dengan pelbagai aktiviti malam semalam. Saya yang agak terkejut, menoleh dan melempar senyuman hambar.

“ Tak ada apa-apa..” jawab saya perlahan, antara dengar dan tidak. Saya menyeka air mata. Entah bila saya menangis, saya sendiri tidak menyedarinya.

Kak Ngah masih terkebil-kebil memandang saya. Agaknya dia kehairanan. Tertanya-tanya melihat air mata Ummi yang tumpah di hujung Ramadhan yang mulia. Saya membalas dengan senyuman manis. Kali ini lebih ceria, tanda tangisan saya sebentar tadi bukan kerana sedih dan kecewa.


“Ummi rindu pada rumah kita,” luah saya sambil mendakap erat bahunya. Ya, itulah sebab saya menangis. Sekian lama memendam rindu, kepulangan ke Malaysia kali ini melerai rasa.

Umpama kerinduan seorang isteri yang setia menanti kepulangan suami tercinta. Tidak dapat digambarkan rasa resah dan rindu yang terubat ketika bertentang mata setelah sekian lama tidak bersua. Suatu perasaan yang sukar diterjemahkan dengan apa jua perkataan, hingga tanpa sedar air mata gembira mewarnai pertemuan.

BUKAN
“ Oo..Ummi sayang rumah kita ni, ya?” soal Kak Ngah meneka. Saya mengangguk mengiyakan.

“Ummi sayang rumah ni sebab ia lebih besar dari rumah di UK kan?”telah Kak Ngah lebih ramah. Saya tersenyum. ‘Bukan, bukan kerana itu, nak..’ suara hati saya bergema. Kali ini saya menggeleng kepala.

“ Ummi rindu dan sayang rumah ni sebab rumah ni banyak nilai kasih dan cinta di dalamnya,” saya menjelaskan.

“Tak faham la, Ummi..”luah Kak Ngah jujur. Mata saya tepat memandang ke wajahnya yang kebingungan.

“Ummi sayang rumah ni sebab ia dibina dari hasil titik peluh ayah bekerja dan berusaha. Kerana cintanya, ayah gigih bekerja mencari biaya untuk membina rumah yang selesa buat kita. Walaupun ayah sibuk dengan pelbagai urusan kerja dan ceramah di sini sana, tapi ayah tetap meluangkan masa untuk memastikan rumah ini siap sempurna untuk kita semua.“Ujar saya lagi dalam nada sebak mengenang jerih payah suami ketika fasa pembinaan dan pengubahsuaian rumah ini.

Kak Ngah diam, tekun mendengar butir-butir kata.

BALASLAH CINTA
“Jadi, sebagai membalas kasih dan cinta ayah, Ummi, Kak Long, Kak Ngah dan adik-adik perlu berusaha mewujudkan ceria dan bahagia di dalam rumah kita,” tambah saya.

“Ooo…macam tolong Ummi ayah jaga kebersihan rumah, ya Ummi?”Kak Ngah bertanya.

“ Ya..itu antaranya. Ada banyak lagi. Kebersihan rumah bukan hanya fizikal sahaja, tetapi secara rohaninya pun kena jaga juga,” jawab saya.

“ Macam mana tu?” soal Kak Ngah. Berkerut-kerut dahinya memikirkan kata-kata saya.

“Kebersihan secara rohani tu ialah dengan menjaga ibadah dan adab di dalam rumah seperti bersegera mengerjakan solat lima waktu, solat sunat dan banyak membaca al Quran serta mengamalkan ajarannya. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (Riwayat Imam Muslim)

“Jangan malas dan leka dengan menonton televisyen atau bermain sahaja. Bila bergaduh, segera minta maaf dan berbaik semula. Berkongsi apa yang ada. Sikit sama sikit, banyak sama dirasa. Bila itu semua dilakukan dengan sempurna, barulah rumah kita jadi syurga di dunia. Bukan kerana besar atau kecil, mewah atau sederhana. Tetapi kerana kita rasa seronok, tenang dan bahagia,”nasihat saya.

KUNCI BAHAGIA, RUMAH KITA

Gambar : Ruang tamu rumah kami

Kak Ngah meminta diri naik ke atas. Mungkin mahu membangunkan Kak Long dan adik-adiknya yang masih lena. Sudah biasa bersama, manakan seronok bermain berseorangan.

Saya masih duduk di sofa. Melayan ketenangan diri dengan membuka lembaran buku ‘Untukmu Wanita’ hadiah dari suami. Sebaik saya menyelak kulit buku, tangan terhenti pada helaian pertama. Mata terpaku pada tulisan tangan suami tercinta. Ada kata-kata yang ditujukan kepada saya sebagai renungan :

KHAS BUAT ISTERI TERCINTA, NORASLINA JUSIN.
Yang dipendam, hapuskanlah. Jangan membarah.
Yang ditangisi, lupakanlah. Jangan dikenang.
Yang dikesali, maafkanlah. Jangan difikir lagi.
Kunci bahagia, rumah kita.
Pendamlah keimanan dan ingatan manis,
Kenangilah tangisan syukur,
Semoga cinta terus mekar dalam Redha Ilahi
SUAMIMU.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

DETIK-DETIK YANG BERLALU

Rumah ayah saya


Kemeriahan meraikan 1 Syawal 1430 Hijriah di kampung halaman, di Felda Gedangsa masih terbayang di depan mata. Kenangan manis bagi saya kerana buat pertama kalinya setelah berkahwin dan beranak pinak, saya dan lapan adik beradik berkumpul bersama.

Along dan keluarga di Tapah. Kak Kam di Melaka, abang Fuad di Telok Gong, Kak Eton di Bukit Subang, kembar saya Nora di Paya Jaras, adik saya Ija di Ipoh dan adik bongsu, Faridah atau lebih dikenali sebagai Acu di kalangan adik beradik dan anak saudara, semuanya pulang meraikan hari yang mulia.

Hanya abang kedua, Jaafar, isteri dan tiga anaknya tidak dapat bersama. Mereka kini menetap di Kelantan dan menyambut lebaran di sana.

Memang riuh rendah jadinya bila lapan orang anak, lapan orang menantu dan dua puluh sembilan orang cucu ayah berkumpul bersama.

Kak Long, Kak Ngah dan Khalil riang bermain bersama sepupu-sepupu yang sedang membesar dan meningkat remaja. Gelak tawa, telatah dan tangisan mereka memeriahkan suasana di ruang hadapan rumah. Mujur lantai rumah lama itu kini bersimen dan berdinding batu. Jika tidak, bergegar dan berdentum-dentum bunyi rumah yang dahulunya berlantai kayu bila ‘hero-hero’ yang bilangan mereka lebih ramai dari ‘heroin’ berkejar-kejaran sambil membuka silat lagak pahlawan Melayu.

Yang tua pula duduk di dapur, saling berkongsi cerita sambil menjamu selera. Sesekali pecah ketawa semua bila ayah mengimbau kenangan lama.

‘WOW !’
“Ina dulu, balik je sekolah…lepas letak beg, terus ke dapur buka tudung saji, “ kata ayah membuka kisah lama.

“Yang seronoknya, kalau bawah tudung saji tu ada makanan sedap..’wow!’, perkataan tu dulu la yang keluar dari mulutnya,” cerita ayah lagi sambil ketawa kecil. Tersipu-sipu saya dibuatnya, disambut ketawa abang, kakak dan anak saudara yang ada. Saya menjeling suami. Tersenyum-senyum sahaja dia melihat wajah merah saya. Aduh! Malu juga rasanya.

Tidak pernah pula ayah mengenang kisah yang satu ini. Kenangan lama yang baru terimbau kembali bagi saya setelah hampir dua puluh tahun berlalu masa remaja.

TETAP BERLARI
Dalam kesibukan orang lain menyambut lebaran, suami seperti biasa tetap ‘berlari’ ke sana dan sini memenuhi ruang untuk berdakwah kepada masyarakat. Salah satu rancangan yang dijayakannya ialah rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ yang menjadi tatapan ramai kini di TV9.

Sunnguh pun begitu, suami masih punya ruang membawa saya dan anak-anak berziarah ke rumah sahabat taulan yang mengenali. Juga yang paling penting kunjungan ke rumah Kak Su, kakak suami yang terletak di Bukit Jelutong untuk bersama meraikan hari raya bersama sebelas orang adik beradik dan sejumlah besar anak-anak saudara sebelah suami.

Seperti biasa, masa bersama ini dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk beramah mesra, saling bertanya khabar dan mendengar nasihat yang mendidik jiwa melalui slot tazkirah dari suami tercinta.

Keceriaan berterusan, kemeriahan berpanjangan walau waktu yang ada untuk kami di Malaysia terbatas dan amat terhad.

Alhamdulillah, semoga ada pertemuan lagi seumpama itu selepas ini, InsyaAllah.

KEMBALI
Kini, saya dan keluarga telah kembali semula ke bumi United Kingdom. Sudah lama saya berehat dari melakar sesuatu untuk tatapan pembaca setia juga sahabat-sahabat yang berkunjung ke blog ini. Bukan tidak mahu menulis, akan tetapi hambatan tanggungjawab di rumah, di tambah pula ‘jet lag’ yang masih bersisa dalam diri, niat itu saya tangguhkan dahulu.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyapa di alam maya dengan ucapan yang membangkitkan rasa dan jiwa. Walaupun tidak pernah bersua, namun ayat-ayat yang mesra dan ceria terasa bagaikan telah kenal bertahun lama.

Tidak dilupa kesempatan membuka ruangan komentar terkini beberapa hari lalu menemukan saya dengan sapaan mesra dari Syafiqah, salah seorang anak murid yang dahulunya pernah menjadi sebahagian dari hari-hari saya sebagai seorang pendidik.

Saya merindui mereka. Saya juga berharap akan bertemu mereka semula suatu ketika nanti. Dan yang pasti, saya akan tetap mengenang mereka. Mendoakan kejayaan mereka di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Justeru, di ruang yang ada ini, ingin saya paparkan sebuah nasyid yang tidak sempat saya nyanyikan kepada anak-anak murid yang sentiasa di hati, bersama kenangan yang mekar di dalam jiwa.


DETIK-DETIK YANG BERLALU
Detik-detik terus berlalu, meniti kehidupan,
Permukiman inikan berakhir, meninggalkan kenangan.
Kepiluan mencengkam hati, tak sanggup mengenangkan,
Amanah yang tak terlaksanakan, hasrat tak kesampaian.

Dunia Islam kini kehilangan, ketandusan jiwa yang memahami,
Perjalanan bagai tak berkemudi, terkapai lemas di sudut jahiliyyah,
Tiada daya lagi mengulangi kisah silam.

Suasana makin suram, generasi kian lesu,
Keindahan kini hilang, kerana kegersangan iman,
Hati bagaikan terkunci, dari hidayahMu Rabbi,
Hanyut dalam kelalaian, alam remaja yang mengasyikkan.

Apakah mentari masih sudi, memancarkan sinarnya,
Mungkinkah kebahagiaan semalam bisa hadir kembali.

Islam kini menanti kebangkitan, peribadi penerus perjuangan,
Usahlah dibiarkan berterusan, lirikan senyuman syaitan memanjang,
Sedarlah wahai teman, dari nikmat mempesona.

Masanya kini hampir tiba, untuk melangkah pergi,
Hanya sekalung doa dariku, agar kau subur kembali
.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Semoga jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA

Ramadhan 1430 Hijriah bakal pergi. Menghitung Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya jadi sedih. Namun, peluang yang berbaki untuk memburu dan menjejak Lailatulqadr tidak harus dipersia. Dapat atau tidak bagi saya biarlah DIA yang menentukannya, siapakah gerangan insan-insan bertuah yang dianugerahkan kesempatan untuk bertemu malam yang berkah.

Bagaimanakah puasa kita ? Tepuklah dada, tanyalah hati dan budi. Iman yang menjawab atau masih ada suara-suara nafsu merajai jiwa.

Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh keampunan dari-Nya, dan alangkah rugi bagi mereka yang hanya merasai lapar dan dahaga sepanjang melaksanakan perintah Yang Maha Esa.


NASIHAT DAN KEMAAFAN
Cukuplah dalam menyambut Aidilfitri yang menyusul tiba, nasihat melalui nasyid di bawah ini akan sentiasa menjadi ingatan dan pedoman kita.



Seterusnya, mengenangkan kesempatan yang mungkin tiada untuk menulis dan menyapa sahabat-sahabat maya sebaik sampai di Malaysia, saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon kemaafan.

Jika ada kata yang mengguris rasa lewat penulisan saya, janganlah ia menjadi jarak yang memisahkan hati-hati kita. Akan tetapi, anggaplah ia sebagai nasihat dan tanda kasih dari saya buat semua.

Sesungguhnya, kita bersaudara. Dan Rasulullah menegaskan, hanya orang-orang yang beriman sahaja akan menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya.

SALAM LEBARAN. TAQABBALALLAH MINNI WA MINKUM SOLEHAL’AMAL


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI


“ Abang! Husna..!” saya bersuara cemas. Belum sempat menghabiskan ayat, air mata lebih dulu turun bercucuran. Saya panik. Betul-betul tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

“ Kenapa As ?” soal suami dari tempat duduk depan, sedang memandu di lebuh raya. Sempat suami menoleh sekilas. Melihat saya menangis, segera suami memberi isyarat ke tepi lantas memberhentikan kereta.

“ Husna bang..dia tak boleh bernafas..” jawab saya dalam sedu sedan. Cemas melihat wajah anak kecil di dalam pangkuan yang telah mula membiru. Tidak bernafas.

“Ya, Allah!” Suami juga kelihatan cemas melihat keadaan bayi sulung kami yang masih terlalu kecil. Baru berusia 2 hari.

“Cuba As terbalikkan badannya..tepuk perlahan-lahan..” pantas suami mengarahkan. Saya segera melakukan itu.

Sejurus, terdengar bunyi batukan diiringi sedikit lendir yang keluar dari hidung dan mulut si kecil. Segera saya membersihkan lendir-lendir berwarna kekuningan yang keluar.

“Alhamdulillah..” terpacul kalimah tahmid di bibir saya dan suami. Tangisan saya reda. Hanya kesyukuran yang dapat saya panjatkan pada-Nya.

KENANGAN SEDEKAD
Peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya. Kenangan sepuluh tahun yang lalu. Ketika masih baru bergelar ibu. Masih cetek pengalaman dan ilmu.

Ketika itu kami dalam perjalanan menuju ke kampung halaman saya di Felda Gedangsa. Pulang untuk berpantang selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan.

Masih terasa cemas dan paniknya waktu itu. Menatap bayi yang baru mengenal dunia bersama tangisan yang tidak berhenti sebaik keluar dari wad bersalin di Pusat Rawatan Kohilal, Taman Melawati.

Puas saya menyusukannya. Menyangka air susu yang keluar tidak mencukupi, saya suakan pula botol susu formula. Namun, tangisannya tetap sama. Nyaring dan panjang. Menyayat rasa dan jiwa.

“ Perut dia kembung agaknya,” kata suami.

“ Tak taulah bang. As dah sapu minyak bayi pada perutnya...” jawab saya.

“ Dia buang air kot..” teka suami, masih belum puas hati.

“Dah tengok..masih kering. Baru je As ganti tadi,” jelas saya sedikit kecewa.

Penat saya memegang, suami pula mengambil giliran. Dari tingkat bawah, dibawanya ke tingkat atas. Bernasyid sudah, berzikir pun sudah. Akan tetapi, si kecil masih belum diam. Cuma ketuk pintu sahaja yang tidak dibuat, kerana tidak mahu kelak digelar Husna al-Albab !

Keesokan paginya, walau masih mengantuk dek tidur-tidur ayam pada malamnya, saya dan suami bertolak pulang ke kampung halaman. Suami memandu sementara saya memangku bayi kecil kami di tempat duduk belakang. Dan semasa dalam perjalanan tersebutlah peristiwa itu berlaku.

FIKIRKAN TANGGUNGJAWAB
Di kampung, si kecil tetap menangis. Tangisannya semakin menjadi-jadi dari jam sepuluh malam membawa ke subuh hari.

Namun, saya bersyukur suami tidak putus asa dan terus berusaha mendodoikan si manja. Berkat kesabaran, akhirnya suami berjaya. Walau terpaksa tidur dalam keadaan duduk sambil memangku si kecil yang juga telah terlena.

Itulah cabaran awal bagi sebuah perkahwinan dan rumahtangga. Perit dan pedih apabila suatu ketika saya pernah terbaca, bagaimana ada bayi yang didera oleh ibu bapa atau penjaga kerana tidak mampu mendengar laungan dan tangisan bayi mereka. Alangkah !

Lantaran itu, jangan sekadar memikirkan keseronokan nafsu apabila memasuki gerbang perkahwinan, tetapi timbang-timbangkan juga tanggungjawab dan kesabaran yang ditagih dek ragam dan gelagat anak-anak, juga pasangan tentunya.

SOLAT YANG BAIK
“ Alhamdulillah..Kak Long dah besar sekarang. Dah sepuluh tahun, “ kata saya girang usai solat Subuh berjemaah. Seperti biasa, Kak Long tersenyum. Kak Ngah pula hanya diam mendengar.

“ Lepas ni Kak Long kena solat betul-betul. Lebih tenang dan khusyuk,” nasihat saya. Sengaja saya kuatkan nada pada perkataan tenang sambil membulatkan mata. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil melihat telatah saya.

Bukan sengaja berlawak jenaka, tetapi sekadar mengingatkan mereka tentang kewajipan menjaga dan menunaikan solat sebaiknya.

“ Cuba Kak Long dan Kak Ngah bayangkan..ketika bercakap di depan cikgu. Kak Long, Kak Ngah bercakap sambil pandang sini sana. Kemudian, garu pula pipi, muka, lutut dan peha. Tak pandang pun muka cikgu, agak-agaknya bagaimana penerimaan cikgu tu?” soal saya cuba mencambah fikir di dalam diri anakanda berdua.

“Tak sopan la kalau macam tu Ummi,”jawab Kak Long pantas.

“Ha..pandai pun. Jika bercakap di depan cikgu perlu dengan rasa hormat, dalam solat lagilah perlu buat begitu. Sebab bila solat, kita seolah-olah bercakap dengan Allah. Perlu beri tumpuan. Baca betul-betul bacaan dalam solat, tentu Allah suka” jelas saya memberi galakan.

“Tapi sebelum solat, ada satu perkara penting yang Kak Long dan Kak Ngah mesti ingat dan buat...”Saya berhenti. Mahu melihat reaksi mereka. Kelihatan mereka sudah bersedia mahu bangun memandangkan jarum jam sudah menganjak ke angka lima.

“Ingat apa Ummi ?” tanya Kak Ngah ingin tahu.

“Periksa dulu ‘seluar kecik ‘ tu setiap kali sebelum ambil wudhuk..Pastikan bersih,” jawab saya sambil sekali lagi menjegilkan mata. Faham dengan ‘jegilan’ mata kali kedua ini, mereka tersenyum malu-malu sambil beredar ke bilik untuk menyambung beradu.

BERATNYA AMANAH
Semakin anak-anak membesar, semakin saya merasai beratnya tugas mengasuh dan mendidik. Mereka amanah yang tiada nilaiannya dari Yang Maha Esa.

Jika dahulu tangisan mereka boleh ditebak dan dihadapi sewajarnya. Mungkin kembung, panas, lapar, dahaga atau pun lampin pakai buang yang sudah penuh, penyebab tidak selesa. Akan tetapi, tangisan mereka di usia menuju remaja sukar dijangka sebab dan puncanya.

Untuk tahu, perlu berbicara dan bersemuka. Melihat wajah yang tidak ceria, pasti ada peristiwa yang menghadirkan duka. Melihat tiada senyuman mesra, pasti ada cerita yang menghilangkan tawa.

DENGARKAN
“ Kenapa Kak Long sedih ?” saya bertanya melihat wajah suram Kak Long selepas membaca al-Quran. Kak Long senyap tidak menjawab.

“ Kak Long penat ?” soal saya meneka. Dia menggeleng kepala.

“Kak Long ceritalah pada Ummi,”saran saya mahu meredakan persoalan di dalam jiwa. Saya tidak senang melihat dia diam. Biasanya riuh rendah rumah dengan bual dan perbincangan hangatnya bersama Kak Ngah. Perang mulut tentang sesuatu topik yang pasti memerlukan pandangan saya dan suami sebagai orang tua.

“ Kak Long tak boleh nak hafal surah yang ayah minta tu,” luah Kak Long hampir menitiskan airmata. Mendengar itu, saya menarik tubuhnya ke dalam dakapan. Saya gosok belakang badannya dan mengelus lembut kepalanya.

Masalah yang kecil menurut nilaian orang dewasa, mungkin dianggap besar bagi anak-anak seusia mereka. Justeru, pertimbangan yang adil bersumber sudut pandang mereka sangat perlu diambil perhatian oleh ibu bapa agar mereka terus rasa dihargai dan dihormati.

GANJARAN ATAS USAHA
“Boleh..surah-surah sebelum ni mudah je Kak Long hafal. Yang ini tentu boleh, cuma panjang sikit je,” pujuk saya.

“Kak Long baca semua ayat terlebih dahulu. Kemudian, cuba hafal tiga ayat pertama. Bila dah hafal tambah pula ayat seterusnya. Sikit-sikit..lama-lama Kak Long akan hafal semua, InsyaAllah” cadang saya. Kak Long mengangguk sambil mengesat airmata. Terpancar kelegaan pada sinar matanya.

“Bila Kak Long dapat hafal surah ni, ayah akan bagi hadiah. Allah pun akan beri hadiah juga,” pujuk suami pula.

“Allah pun bagi hadiah? Hadiah macam mana ayah?” soal Kak Long semakin ceria. Hati manusia, rasa bahagia bila diganjari. Rasa gembira bila usahanya dihargai, apa lagi penghargaan itu berbentuk hadiah sebagai tandamata.

“Hadiah dari Allah tu…pahala. Tak boleh nampak di dunia ni. Nanti di akhirat sana,” suami menerangkan.

“Hadiah dari Allah ni lebih kekal dan tak akan habis selama-lamanya. Tak macam hadiah di dunia, coklat, kek yang bila dimakan sedapnya sekejap sahaja, kemudian beberapa jam nanti, dibuang semula di lubang tandas. Tapi, pahala akan terus berguna dan tidak habis ” tambah suami lagi meniup semangat di jiwa anak sulungnya. Kak Long dan Kak Ngah tergelak mendengarnya.

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Selagi saya dan suami masih bernafas, selama itulah perjuangan membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak tidak akan selesai. Dari anak pertama hingga kini sudah empat cahaya mata penyeri hidup kami berdua.

Jalannya masih jauh dan panjang.

Destinasinya dipenuhi kesukaran yang bukan sedikit. Hanya kesabaran, kerjasama, tolak-ansur dan doa yang tidak putus kepada-Nya sahaja akan membawa usaha ini sampai dengan jaya ke matlamat akhirnya. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang disesuaikan dengan peredaran masa.

Semoga penekanan kepada solat yang sempurna sejak kecil, diiringi kesedaran dan galakan yang berterusan mampu mencorak diri mereka untuk menjadi generasi yang soleh dan solehah untuk ummat dan agama pada masa hadapan. Bukan sekadar angan-angan dan impian. Akan tetapi harapan yang berpandukan kejayaan generasi akhirat zaman silam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. ( Surah al Baqarah ayat 128 )

Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. ( Surah Ali-Imran ayat 38 )

Dan firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. ( Surah Ibrahim ayat 40 )

Ameen..Ya Rabbal ‘alamin.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

MANA MILIK KITA..



Bukan sekali, malah telah banyak kali soalan tersebut ditujukan kepada saya. Dan setiap kali itu juga, muka saya akan merona merah sebelum memberikan jawapannya.

Merah bukan kerana marah. Akan tetapi wajah yang memerah itu adalah manifestasi dua rasa yang sedang sarat bergelora dalam jiwa. Rasa malu berbaur ragu dan cemburu. Malu untuk menyatakan pandangan, walau pendirian saya dari sudut hukum telah jelas sebagaimana yang disyari’atkan agama.

Ragu bersulam cemburu, kerana sebagai seorang perempuan, sifat yang satu ini pasti ada sebagai bukti saya juga wanita biasa yang memiliki akal yang satu dan sembilan emosi dalam diri. Darinya lahir kelebihan dan kekurangan seorang wanita bergelar ibu dan juga isteri.

BUKAN MUDAH
Kali ini, soalan yang sama ditanya pada ruangan komentar di dalam blog saya. Janji saya untuk menyatakan pandangan sekaligus memberikan jawapan.

“ Bukan mudah sebenarnya untuk berpoligami.” Demikian jawapan awal suami bila saya memulakan perbincangan kami kepada soal yang dianggap ‘taboo’ dalam masyarakat hari ini. Suatu isu fiqh turun temurun yang sangat kontroversi bila membicarakannya.

“ Kenapa abang kata, bukan mudah ? Kalau begitu, mengapa ramai lelaki hari ini yang seakan-akan merasa senang untuk bernikah satu lagi? “ soal saya agak provokatif.

“ Senang melafazkan akad pernikahan, tetapi bukan senang dari sudut melangsaikan tanggungjawab selepas perkahwinan,” jelas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“Andai sebelum berkahwin buat pertama kali seorang lelaki perlu berfikir dua tiga kali, inikan pula untuk berpoligami. Sepatutnya kena fikir sepuluh kali, atau lebih lagi. Fikir berpuluh kali itu bukan untuk mencari jalan menyembunyikannya dari isteri tapi memikirkan cara pelaksanaan tanggungjawabnya” tambah suami.

Saya menerima penjelasan suami dengan anggukan yang bertali. Ye, bukan mudah bagi seorang lelaki untuk berpoligami, jika neraca pertimbangannya adalah tambahan tanggungjawab dan amanah yang hadir bersama satu lagi lafaz, ‘aku terima nikahnya’. Juga bukan mudah untuk seorang isteri menerima poligami, jika pertimbangan emosinya mengatasi akal dan rasional yang satu. Bukan menafikan hukum, tetapi meragukan kemampuan diri menampung rasa cemburu.

Itu belum lagi ditambah dengan penerimaan anak-anak. Sungguh, panjang ceritanya.

KEPELBAGAIAN MANUSIA
“ Bagaimana pula pandangan abang, jika ramai wanita mengatakan hanya mereka yang mengetahui kemampuan suami. Layak atau tidak untuk berpoligami?” saya bertanya, masih mahu melanjutkan perbincangan.

“ Pandangan tersebut juga tidak tepat. Mampu bagaimana yang dimaksudkan? Kalau dari sudut kewangan, mungkin sahaja seorang suami memiliki sumber kewangan lain yang di luar dari pengetahuan isteri. Jika kemampuan dari sudut nafkah batin, keserabutan minda di waktu tertentu boleh memberikan kesan kemampuan batin seseorang lelaki. Ia juga boleh menyebabkan turun naik. Isteri sukar mengukurnya” tingkah suami menjawab persoalan saya sebentar tadi.

“ Tak patutlah macam tu. Sewajarnya, tiada rahsia antara suami dan isteri dan juga suami sepatutnya beritahu isteri jika ada kekurangan dalam rumahtangga mereka,” luah saya tidak puas hati. Menggeleng kepala saya memikirkannya.

“ Ye, itu yang ideal, yang sepatutnya. Tapi, bukan semua orang boleh mendedahkan segala perkara kepada pasangannya. Malah Islam juga mengajar untuk menyimpan beberapa perkara yang dikira lebih membawa banyak mudarat berbanding manfaat kepada rumahtangga. Bukan saja itu, malah dibenarkan pula menyembunyikan beberapa perkara dari pasangan di dalam keadaan tertentu. Manusia ni pelbagai ragam dan sifatnya, As ” kata suami mengingatkan saya.

“ Hmm..sebab itu, sukar untuk berjumpa dengan poligami yang berpandukan sunnah dari meraikan nafsu hari ni, kan bang,” keluh saya, masih menggeleng kepala.

“ Ye, itu betul. Tapi kerana meraikan nafsu itulah salah satu sebab Islam menghalalkan poligami. Sebagai agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan, poligami adalah jalannya. Agar gelora yang membara itu disalurkan pada yang halal, dan bukan sebaliknya. Bukan sekadar untuk kepuasan diri, tapi juga untuk mengawal nafsu agar dia terus dapat beribadah dengan sempurna. Apa cacatnya pada niat dia kalau begitu? Dia bukan serakah tapi berniat menutup pintu gangguan hati “ kata suami saya dengan tenang.

“Tapi kena ingat juga, bukan semua poligami berpunca dari kehendak nafsu malah banyak lagi sebab lain yang amat bertepatan dengan fitrah manusia dan kepentingan umum, malah kepentingan isteri yang pertama juga. Yang ini panjang kalau nak dihurai dan ia kena didengar dan dibaca dengan aqal berpandu iman bukan emosi bersalut nafsu, baru boleh faham“ sekali lagi suami mengingatkan sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala mengiyakan, walau jiwa amat berat menerima kenyataan.

TAMBAH ILMU
Saya merenung jauh ke dalam diri. Mengenang nasib wanita-wanita di luar sana yang masih belum bersuami, dan tidak kurang juga para isteri yang telah kehilangan dahan bergantung untuk meneruskan kehidupan ini. Ketika tiada lelaki-lelaki bujang yang datang melamar, menyatakan persetujuan untuk menggalas peranan yang telah ditinggalkan, saya bersimpati. Hati wanita saya terusik. Naluri keimanan saya turut berbisik, ‘kerana itu Islam menyediakan jalan keluar..poligami.’

Namun, menjadikan bisikan itu sebagai suatu perlaksanaan tidak semudah yang dirasakan. Jiwa bertarung antara nafsu dan iman. Saya tahu, sukarnya menundukkan rasa cemburu dan ragu yang bukan-bukan.

“ Ada baiknya, kita, juga semua pasangan suami isteri hari ini menambah ilmu tentang perlaksanaan poligami. Bukan sekadar membicarakan hukum, tetapi dari sudut pelaksanaan sebagai jalan keluar yang benar-benar mendatangkan manfaat buat masyarakat. Umpama ubat yang menyembuhkan, bukan racun yang mendatangkan kebinasaan,” saran suami.

“ Abang ada cadangan buku yang baik dan sesuai untuk itu?” soal saya. Bagi saya, sebarang pandangan tentang perlaksanaan poligami yang harmoni dan berjaya sewajarnya datang dari pengalaman individu yang telah dan sedang melaluinya, bukan dari angan-angan semata-mata.

“ Ada..buku Dr. Basri Ibrahim, tajuknya : Hidup Bahagia dengan poligami. Melihat kepada tajuk dan kebiasaan penulisnya, abang yakin kupasannya bukan sekadar ilmiah dan kontemporari, tetapi ia juga bersumber dari pengalaman beliau sendiri sebagai pengamal poligami” jawab suami.

MANA MILIK KITA…
Soalan ini akan terus ditanya. Jawapan saya, serahkan sahaja pada Yang Esa. Biarlah Allah SWT yang menentukannya. Lantaran sejak melangkahkan kaki di usia awal pernikahan saya dan suami, saya memohon dari-Nya apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat saya sekeluarga.

Kepercayaan saya bulat terhadap suami. Perasaan hormat, sayang dan cinta saya kepadanya bukan membuta tuli tanpa berpandukan panduan agama. Saya yakin sebarang keputusannya adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan kami bersama. Bukan sekadar di dunia, tetapi yang lebih penting sehingga ke akhirat sana.

Pada saya, layanan istimewa dan khusus yang saya lakukan buat suami bukan untuk menjauhkan kami dari ruang poligami; akan tetapi itulah tanggungjawab dan curahan bakti seorang isteri buat suami. Sebagaimana yang diperintahkan Ilahi. Saling menerima dan memberi dalam ikatan rumahtangga bahagia. Bukan atas alasan memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana-Nya.

Cukuplah saya melaksanakan tugas ini sebaiknya, selebihnya saya serahkan atas ketentuan yang Maha Esa.

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan buat yang bertanya. Yang baik dari Allah jua, yang buruk dari kelemahan saya sebagai manusia biasa.

Mana milik kita..tidak ada milik kita. Semua yang ada, Allah yang punya..

Wajah saya masih merona merah tatkala mengakhiri bicara ini.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Baca selanjutnya...

UNTUKMU...

“ Wah! Cantiknya. Ini yang cemburu ni…” luah saya sambil mengerling suami di sisi. Ketawa kecil suami mendengar kata-kata saya tadi.

Sememangnya saya tidak dapat menafikan kecantikan yang terpampang di depan mata. Ini kali pertama saya melihatnya. Sungguh mempesona. Kena dengan penilaian saya sebagai seorang wanita dewasa.

Kulitnya merah-merah hati. Berhias pula dengan bunga mawar berwarna merah darah yang indah. Gabungan citarasa yang sungguh menyerlah.

“ Macam mana, ok tak?” suami menyoal buat kesekian kalinya. Tersenyum-senyum dia memandang saya. Makin cemburu saya dibuatnya.

“ Cantik la ayah,” balas Kak Long dan Kak Ngah. Kali ini, senyumannya melebar ke pipi. Sungguh puas hati.

BUKAN HAK MILIK
Dari awal pernikahan lagi, saya sudah menerima bahawa suami bukan hak milik saya seorang. Saya masih ingat, ketika usia perkahwinan kami baru menginjak 4 hari. Saya dan suami berjauhan buat pertama kali selepas bergelar suami isteri. Saya ditinggalkan bersama sahabat-sahabat universiti di rumah sewa mereka, manakala suami menjayakan satu program nun jauh di utara.

“As masih ingatkan, hadis nabi yang menjadi pegangan hidup abang..” suami membuka kata bila melihat saya diam membisu. Saya akan ditinggalkan pergi dalam suasana masih berbulan madu. Mulut saya bagaikan berat untuk meluahkan apa yang terbuku.

“Abang tahu As sedih, tapi inilah jalan perjuangan seorang isteri di sisi suami. Meniup semangat juangnya. Rela melepaskannya berpergian untuk menjalankan tanggungjawab agama. Menyeru orang lain kepada yang ma’ruf dan mengajak mereka meninggalkan yang mungkar,” nasihat suami.

Saya mengangkat kepala memandangnya. Saya tahu suami mahu saya mengerti. Sabda Rasulullah SAW yang menjadi motto perjuangannya kemas tersemat di dalam hati.

"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." ( Hadis Riwayat Muslim )

Saya berusaha memujuk diri. Mendengar kata-katanya yang sarat berisi ruh perjuangan, mengingatkan kembali diri yang mulai lupa kepada impian dan harapan perjuangan. Lupa pada nafsu yang sering mengajak kepada kemaksiatan, dan lupa pada iman yang perlu disubur dengan baja mujahadah dan pengislahan.

Melihat kesungguhannya mahu meninggikan martabat deen yang mulia ini; yang semakin dilupa dan dianaktiri oleh penganutnya sendiri, menjadikan saya ikut termotivasi.

Seorang isteri yang menjadikan suaminya seorang pejuang agama, tiada lain yang lebih mulia melainkan ganjaran pahala yang sama banyaknya. ‘Saya mahu bantu suami dan diri sendiri,’ bisik saya memujuk hati.

MANUSIA YANG BERMANFAAT
Jika direnung sedalam-dalamnya, setiap manusia sebenarnya telah dibekalkan Allah dengan kelebihan yang tersendiri untuk dikongsi bersama orang lain di sekelilingnya. Seorang pelukis, mampu merobek keangkuhan manusiawi lewat lakaran alam yang indah ciptaan Ilahi. Demikian juga, seorang penulis, dapat menggunakan kemahiran penulisannya untuk menghasilkan tulisan berisi peringatan agar manusia kembali ke jalan Allah yang Maha Esa. Kembali menghambakan diri kepada Pencipta mereka.

Ada senarai panjang kemuliaan yang menanti orang-orang yang menjadikan dirinya berguna untuk orang lain di luar sana. Antaranya, Allah SWT menyintai mereka yang berbuat kebaikan ( ihsan ) sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

” Sesungguhnya Allah swt mencintai orang–orang yang berbuat baik. ” ( Surah al Baqarah ayat 195 )

Kebaikan yang hasilnya dirasakan orang lain pastinya lebih bermanfaat dan tinggi nilaiannya dari kebaikan yang hanya dirasai oleh diri sendiri sahaja.

Karena itu para sahabat silam jika ingin melakukan sesuatu kebaikan, mereka akan bertanya terlebih dahulu kepada Rasulullah. Amalan apakah yang paling baik untuk dikerjakan. Pasti, jawapan Baginda menjurus kepada sesuatu yang lebih mendatangkan faedah dan kebaikan buat semua. Dari sebesar-besar amal yang boleh dilakukan seperti menggali perigi ketika musim kemarau menjengah tiba hinggalah kepada sekecil-kecil amal seperti membuang duri di jalanan.

UNTUKMU…
“As cemburulah dengan abang,” luah saya masih menatap lakaran kulit buku terbaru suami.

Walaupun, suami kini tidak lagi sering keluar menjayakan program-program ilmu dan kemasyarakatan, namun masanya tetap banyak diluangkan menekuni helaian-helaian buku bagi menghasilkan tulisan yang dapat dimanfaatkan bersama.

Dan sebagai seorang isteri, saya hanya membantu dengan memberikan kelapangan waktu yang sebanyaknya kepada suami untuk menjayakan itu.

Buku terbaru beliau ini khusus ditujukan untuk kaum wanita yang mempunyai peranan cukup besar dalam menentukan halatuju umat sepanjang masa beredar.

Sebagai ibu, isteri dan rakan seperjuangan kaum lelaki dalam menegakkan perintah dan larangan Islam di atas muka bumi. Rosaknya wanita membawa seribu satu macam bencana buat dunia. Rosaknya wanita pasti akan meruntuh institusi keluarga dan membawa kehancuran sebuah negara. Wanita boleh menjadi punca dan sumber iman bagi kaum lelaki, boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan.

“Bila la masanya akan tiba, As pula dapat menghasilkan buku seperti abang,” tambah saya lagi mengingatkan diri.

“ InsyaAllah, As sedang berusaha ke arah itukan ?” suami memujuk.

“ Ye, suatu masa nanti, InsyaAllah,” saya menyemat azam. Mudah-mudahan dengan memberikan ruang yang selapangnya kepada suami menghasilkan buku-bukunya ini, akan dihitung di sisi Allah SWT sebagai salah satu amal soleh suami dan saya, sebagai isteri. Juga, moga-moga akan datang ketika dan saatnya, saya juga mampu menghasilkan buku sebagai bekalan amal soleh untuk kebahagiaan di akhirat sana.

Justeru, sebagai berkongsi manfaat yang ada, sebagai ole-ole di dalam Ramadhan dan Syawal yang akan menjelma, saya dengan rasa syukur dan rendah diri menampilkan buku terbaru suami : UNTUKMU WANITA. Semoga ada keberkatan dan rahmat yang kita perolehi melaluinya, ameen.



Dalam Kelembutanmu Suburkan KetegasanBerlandaskan ilmu Keredhaan Ilahi.Terimalah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi ,InsyaAllah.

Baca selanjutnya...